Monday, March 29, 2010

Nasi Lemak Bungkus Daun Pisang R&R Rawang




Nasi Lemak Bungkus Daun Pisang R&R Rawang

Sememangnya aku seorang Hantu Nasi Lemak! (Hantu dipanggil seorang juga ke?). Nasi Lemak ini sememangnya kesukaan aku terutama berbungkuskan daun pisang dengan pakej standard iaitu Sambal Tumis (Sambal Bawang saja pun ok saja!), Ikan Bilis Goreng, sejuris Telur Rebus (kalau sekeping kecil Telur Goreng pun ok!) dan optional Kacang Goreng.

Teringat aku semasa kecil dan berstatus bujang dahulu. Kalau mak aku masak Nasi Lemak mesti dia bungkuskan juga dalam daun pisang walaupun sekadar untuk makan di rumah.

Aku memang boleh hidup dengan hanya memakan Nasi Lemak Bungkus. Begitu juga semasa bergelandangan di Kuala Lumpur dahulu, inilah makanan asasi aku siang malam. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana seorang kenalan yang mengamal diet telah berjaya mengelakkan dirinya dari menjamah Nasi Lemak dan Roti Canai bermula 1 Januari 2009 hingga ke hari ini!

Semalam dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Taiping, aku dan orang rumah seorang aku itu singgah di R&R Rawang. Sebenarnya R&R inilah yang paling kurang kami singgah mungkin kerana jaraknya berdekatan dengan Kuala Lumpur. Oleh kerana semasa sarapan di Hotel Kualiti kami hanya menjamah sedikit makanan dan tidak mengambil makan tengahari, kami bercadang untuk mengalas-perut seala-kadar di sini sebelum merancang untuk berhenti Ipoh.

Bagaimanapun semasa dalam progam Master UKM hujung minggu tahun 2003 dan 2004 dahulu, bersama 3 rakan yang lain kerap juga singgah di sini. Antara menu yang menjadi pilihan ketika itu ialah Yong Tau Foo Sup dan Mee Kari. Yong Tau Foonya memang enak. Tetapi aku tidak begitu mengemari Mee Kari di sini sebabnya ianya mirip Gulai Ayam!

Tanpa disangka kunjungan semalam menemukan kami Nasi Lemak Bungkus Daun Pisang. Menariknya masih terasa panas lagi nasi lemak tersebut. Ketika itu jam sekitar 3.30 petang. Harganya pula hanya RM 1.00 sebungkus. Sedangkan di R&R lain harga Nasi Lemak Bungkus adalah sekitar RM 1.20 hingga RM 1.50.

Tidak cukup sebungkus seorang untuk kami. Bukan kerana isinya sikit tetapi keenakannya membuatkan kami menghabiskan 2 bungkus seorang!

Kalau anda melalui R&R Rawang, bolehlah berhenti minum petang di sini. Nasi Lemak Bungkus ini di Gerai No. 4 (Gerai Esiah Bt. Ismail) dan Yong Tau Foo Sup di Gerai No. 6.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/




No comments:

Post a Comment