Thursday, May 06, 2010

Kenalan luar negara



Kenalan luar negara

Entah mengapa aku dan keluarga aku; orang rumah aku seorang itu dan anak jantan aku seorang itu mudah bergaul dan diterima (bukan menerima!) sebagai kenalan oleh orang luar terutamanya dari luar negara.

Malah sekarang di tempat aku juga, aku ditugaskan "menjaga" hampir 10 orang "Pak Hitam" yang terdiri dari negara Arab, Nigeria, Afrika, dan sebagainya. Di samping itu sudah menjadi kebiasaan di sebarang aktiviti seperti majlis berbuka puasa, keraiaan perayaan lain, aku akan sentiasa bersedia untuk berada di kelompok mereka ini.

Tiga tahun lepas umpamanya aku sentiasa bersama-sama dengan kelompok pelajar Muslim dari Tanah Besar Cina semasa berbuka puasa. Di antara hampir 20 orang mereka tersebut hanya seorang dua sahaja yang boleh berbahasa Inggeris. Lainnya hanya tersenyum dan menggangguk sebagai pemanis mulut. Malah walaupun beragama Islam, ada di antara mereka yang tidak tahu membaca Fatehah.

Alhamdulillah, dua tahun lepas sewaktu berbuka puasa, kami bersua semula. Di antara 20 orang ini sudah ramai yang boleh berbahasa Inggeris malah mampu memahami dan mengucapkan perkataan-perkataan mudah bahasa Melayu. Apa yang lebih membanggakan lagi mereka yang sebelum ini tidak tahu membaca Fatehah kini sudah menghafalnya dengan lancar. (Tahun lepas aku sebulan berbuka puasa di rumah).

Di samping itu kami sekeluarga berpeluang mengenali ramai juga kenalan melalui internet terutama warga veteran yang terdiri dari bekas-bekas askar British yang pernah berkhidmat di Taiping. Ada juga di antara mereka ini adalah anak-anak kepada bekas-bekas tentera ini yang lahir di Hospital Tentera BMH di Kem Kamunting ataupun semata-mata ada kenangan atau pengalaman pernah tinggal di Taiping seketika dahulu.

Salah seorang dari mereka ialah Catherine atau nama sebenarnya Yow Ah Choy. Gambar di atas ialah Catherine dan teman lelakinya, John dari UK yang mengunjungi kami di Taiping pada tahun 2004. Catherine yang berasal dari Bukit Kiara Selangor pernah menetap di Taiping pada tahun 1943 0 1948.

Catherine lari dari rumahnya di Bukit Kiara Selangor semasa berumur 15 tahun (tahun 1943). Dia kemudiannya dimasukkan ke pusat jagaan remaja (Army Salvation Camp) di Ipoh. Catherine kemudiannya melarikan diri sekali lagi ke Taiping. Di Taiping beliau bekerja di sebuah kedai menjual pakaian kepunyaan seorang Pakistan. Beliau berkahwin dengan seorang askar British, Derek Norkes. Catherine kemudiannya mengikuti Norkes kembali ke UK pada tahun 1948. Kisah selanjutnya di sini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment