Sunday, October 26, 2014

Broadsheet “lipat-lipat” ke stail tabloid dan tablet




Broadsheet “lipat-lipat” ke stail tabloid dan tablet

Secara jujur saya mengaku saya bukanlah pelanggan (pembeli?) surat khabar Utusan Malaysia. Kalau tersedia di atas meja kedai makan yang dikunjungi sudah pasti juga saya tidak melepaskan peluang menatapnya. Kadang-kadang saya membeli juga Mingguan Malaysia (hari Ahad) terutama apabila terasa hendak membaca rencana-rencananya bukan kerana berita semasa. Untuk berita semasa,saya lebih suka membaca dari akhbar-akbar bersaiz tabloid yang lain.

Dalam MM pilihan utama saya sudah tentu dalam sisipan utama kolum Merrepak (Johardy Hashim) yang bersahaja dengan catatan santainya ditambah dengan rujukan internet. Sisipan kedua bertemakan kesihatan walaupun kandungannya rojak turut menjadi pilihan saya. Selain dari itu saya juga tidak melepaskan peluang membaca kolum-kolum penulis jemputan selebriti media elektronik sekarang seperti kolum Jom Audit (odit?) Dr Muhaya Muhammad dan kolum Cer Kome Tanye Ustaz Kazim Elias (UKE). Kolum-kolum lain seperti politik, hiburan dan gossip kadang-kadang terbaca juga walaupun ketara sangat alirannya.

Sebagai seorang yang terlibat dalam Inovasi dan Kreatif, saya ingin mengucapkan syabas kepada UM/MM yang kini tampil masih dengan stail broadsheet tetapi dalam format dengan konsep lipat. Broadsheet dengan konsep lipat ini “didakwa” mudah dipegang dan dibaca secara format tabloid ataupun tablet! Malah didakwa yang pertama dalam industri akhbar di dunia!

Ketika kebanyakan akhbar lain termasuk di Malaysia menukar stail broadsheet ke stail tabloid, UM/MM masih mengekalkan identiti broadsheetnya. Maaf cakap stail broadsheet ini menyukarkan pembaca untuk menatap muka helaian akhbar ini. Cuma kalau di kedai makan, stail broadsheet ini amat “mudah dipecahkan” menjadi tiga sisipan yang boleh dibaca oleh tiga orang serentak.

Pada saya mengekalkan stail broadsheet ini adalah antara punca UM/MM bukan lagi pilihan kepada pembaca muda yang sentiasa bergerak (on-the-move) ketika ini kecuali kepada mereka yang veteran hendak bersantai menegeuk secawan kopi di laman rumah.

Saya masih tidak dapat mengaitkan “significant” nya dakwaan kelarisan stail broadsheet ini ketika Malaysia diuji dengan kejadian Lahat Datu, MH370 dan MH17 seperti yang didakwa oleh seorang editornya. Mungkin ada statistik yang menyokongnya!

Tetapi stail broadsheet ini masih lagi menjadi pilihan ketika ia menjadi “paper lama” sebab saiznya yang besar memudahkannya menjadi alas pinggan untuk orang bujang bersantap bersila di lantai sahaja. Juga ia menjadi pilihan untuk dijadikan pembalut barangan disebabkan saiznya yang besar. Selain dari itu pengusaha kedai cat kereta (spray) suka sangat akhbar stail broadsheet ini!

Malangnya syabas saya “kusangkakan panas berpanjangan, rupanya rupanya gerimis mengundang”, format mudahalih ke tabloid dan tablet bukan sepenuhnya lagi. Merujuk MM ahad lepas, hanya beberapa helaian awalnya sahaja dari kesemua 44 muka surat yag tersedia untuk “lipat-lipat” ke tabloid dan tablet! Helaian selainnya masih lagi belum tersedia dalam template empat bahagian dalam satu muka surat broadsheet. Patutlah dalam beberapa gambar mempromosikan format baru ini hanya kelihatan pembaca menelaah (memegang?) muka surat hadapan sahaja! Ini termasuk gambar yang mempaparkan barisan orang kuat UM!

Pada pandangan saya, untuk membolehkan kesemua helaian broadsheet tersedia “dilipat” untuk stail tabloid dan tablet, satu template khas perlu disediakan bukan sahaja untuk paparan berita semasa dan rencana tetapi meliputi pengiklanan dan sebagainya.

Apapun tahniah (dan separuh syabas) kepada pihak pengurusan UM/MM amnya dan kepada Karyawan Grafik UM khususnya dalam penghasilan (mengekalkan) stail broadsheet dengan format “lipat-lipat. Dan saya menunggu untuk “melipat-melipat” kesemua sekali helaian broadsheet ini dari mukan surat depan hingga ke muka surat belakang sekali. Ketika itu mungkin selepas ini UM/MM akan tersenarai dalam akhbar yang akan saya beli. In sya Allah.


http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment