Broadsheet “lipat-lipat” ke stail tabloid dan tablet
Secara jujur saya mengaku saya bukanlah pelanggan (pembeli?)
surat khabar Utusan Malaysia. Kalau tersedia di atas meja kedai makan yang dikunjungi
sudah pasti juga saya tidak melepaskan peluang menatapnya. Kadang-kadang saya
membeli juga Mingguan Malaysia (hari Ahad) terutama apabila terasa hendak
membaca rencana-rencananya bukan kerana berita semasa. Untuk berita semasa,saya
lebih suka membaca dari akhbar-akbar bersaiz tabloid yang lain.
Dalam MM pilihan utama saya sudah tentu dalam sisipan utama kolum
Merrepak (Johardy Hashim) yang bersahaja dengan catatan santainya ditambah
dengan rujukan internet. Sisipan kedua bertemakan kesihatan walaupun
kandungannya rojak turut menjadi pilihan saya. Selain dari itu saya juga tidak
melepaskan peluang membaca kolum-kolum penulis jemputan selebriti media
elektronik sekarang seperti kolum Jom Audit (odit?) Dr Muhaya Muhammad dan
kolum Cer Kome Tanye Ustaz Kazim Elias (UKE). Kolum-kolum lain seperti politik,
hiburan dan gossip kadang-kadang terbaca juga walaupun ketara sangat alirannya.
Sebagai seorang yang terlibat dalam Inovasi dan Kreatif,
saya ingin mengucapkan syabas kepada UM/MM yang kini tampil masih dengan stail
broadsheet tetapi dalam format dengan konsep lipat. Broadsheet dengan konsep
lipat ini “didakwa” mudah dipegang dan dibaca secara format tabloid ataupun
tablet! Malah didakwa yang pertama dalam industri akhbar di dunia!
Ketika kebanyakan akhbar lain termasuk di Malaysia menukar
stail broadsheet ke stail tabloid, UM/MM masih mengekalkan identiti
broadsheetnya. Maaf cakap stail broadsheet ini menyukarkan pembaca untuk
menatap muka helaian akhbar ini. Cuma kalau di kedai makan, stail broadsheet
ini amat “mudah dipecahkan” menjadi tiga sisipan yang boleh dibaca oleh tiga
orang serentak.
Pada saya mengekalkan stail broadsheet ini adalah antara
punca UM/MM bukan lagi pilihan kepada pembaca muda yang sentiasa bergerak
(on-the-move) ketika ini kecuali kepada mereka yang veteran hendak bersantai
menegeuk secawan kopi di laman rumah.
Saya masih tidak dapat mengaitkan “significant” nya dakwaan kelarisan
stail broadsheet ini ketika Malaysia diuji dengan kejadian Lahat Datu, MH370
dan MH17 seperti yang didakwa oleh seorang editornya. Mungkin ada statistik
yang menyokongnya!
Tetapi stail broadsheet ini masih lagi menjadi pilihan
ketika ia menjadi “paper lama” sebab saiznya yang besar memudahkannya menjadi
alas pinggan untuk orang bujang bersantap bersila di lantai sahaja. Juga ia
menjadi pilihan untuk dijadikan pembalut barangan disebabkan saiznya yang
besar. Selain dari itu pengusaha kedai cat kereta (spray) suka sangat akhbar
stail broadsheet ini!
Malangnya syabas saya “kusangkakan panas berpanjangan, rupanya
rupanya gerimis mengundang”, format mudahalih ke tabloid dan tablet bukan
sepenuhnya lagi. Merujuk MM ahad lepas, hanya beberapa helaian awalnya sahaja
dari kesemua 44 muka surat yag tersedia untuk “lipat-lipat” ke tabloid dan
tablet! Helaian selainnya masih lagi belum tersedia dalam template empat
bahagian dalam satu muka surat broadsheet. Patutlah dalam beberapa gambar mempromosikan
format baru ini hanya kelihatan pembaca menelaah (memegang?) muka surat hadapan
sahaja! Ini termasuk gambar yang mempaparkan barisan orang kuat UM!
Pada pandangan saya, untuk membolehkan kesemua helaian
broadsheet tersedia “dilipat” untuk stail tabloid dan tablet, satu template
khas perlu disediakan bukan sahaja untuk paparan berita semasa dan rencana
tetapi meliputi pengiklanan dan sebagainya.
Apapun tahniah (dan separuh syabas) kepada pihak pengurusan UM/MM
amnya dan kepada Karyawan Grafik UM khususnya dalam penghasilan (mengekalkan)
stail broadsheet dengan format “lipat-lipat. Dan saya menunggu untuk “melipat-melipat”
kesemua sekali helaian broadsheet ini dari mukan surat depan hingga ke muka
surat belakang sekali. Ketika itu mungkin selepas ini UM/MM akan tersenarai
dalam akhbar yang akan saya beli. In sya Allah.
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment