Saturday, February 07, 2015

GEMUK - Kenapa perlu “dipersendakan” ciptaan Allah?





GEMUK - Kenapa perlu “dipersendakan” ciptaan Allah?

Teringat aku sekitar tahun 1987, aku bersama sekumpulan penunggang Superbike berkunjung ke Felda Sungai Tengi memenuhi permintaan seorang remaja yang lumpuh (akibat kemalangan motosikal) yang ingin melihat dengan mata sendiri akan superbike ini.

Tersenyum aku apabila aku disalah-sangka seorang makcik yang ingatkan aku “Penjual Kopi Bermotosikal” kerana Suzuki GS500 yang aku tunggang ketika itu lengkap dengan windshield besar dan peti kiri kanan!

Kenangan yang aku tidak boleh lupakan ialah sewaktu bersiap hendak pulang, seorang kanak-kanak kecil yang berselindung di belakang ibunya, mengejek aku dengan suara yang amat perlahan.

“Gemuk! Gemuk! Gemuk!”, kata anak ini antara dengar dan tidak dengar.

Ibunya dengan segera memarahi anaknya itu sambil memulas telinganya.

Aku hanya tertawa kecil dan menegur ibu tersebut.

“Kak! Anak Kak itu cakap betul. Saya tak marah dia kalau dia kata saya gemuk! Sebab memang saya gemuk. Tapi saya akan marah dia kalau dia kata saya – kurus! Kurus! Kurus!”.

Itulah hakikatnya. Sebagai kanak-kanak, dia bercakap dengan jujur sejujur-jujurnya! Tetapi bagaimana kita sebagai orang dewasa?

Sebagai seorang yang “gemuk”, saya telah melalui semua “persendaan” ini.

Semasa kecil bayi yang gemuk (montel?) diuli-ulikan dan dicubit-cubit pipinya. Di tabika dan di sekolah rendah akan dipersenda-sendakan oleh rakan sebaya. Malah ada guru yang tumpang sekaki.

Di kolej hinggalah di alam pekerjaan, masih lagi dipersendakan lagi tapi dengan nada sedikit lembut!

Pastinya bila umur sudah senja atau sudah berkerusi roda ataupun sudah terlantar di atas katil, barulah mereka yang gemuk ini dikasihani!

Cukup-cukuplah  Abam (Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan) mempersenda-sendakan diri sendiri. Cukup-cukuplah Acey (Mohd Nasir Hj Hamzah) dan Fad (Muhamad Fadzlie Bin Mohd Nizam) mempersendakan Abam jika masih dalam satu kumpulan Bocey selepas ini.

Gunakan isu lain dalam berlawak ini!



Kredit gambar Bocey - Cikgooden

1 comment:

  1. Gemuk, kurus, cantik, hodoh, tinggi, rendah dan seumpamanya, bukan tiket untuk jadi penghinaan kepada orang lain.

    Dalam dunia hari ini, kita dimomokkan dengan kecantikan fizikan sehingga kita lupa bahawa kecantikan hakiki adalah akhlak dan iman..

    ReplyDelete