Wednesday, August 12, 2015

Seorang Tua di Kaki Gunung




Seorang Tua di Kaki Gunung

Koleksi peribadi sahaja. Bukan untuk dijual

Sudah lama saya mencari buku Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi Hj. Abdullah ini. Merata ceruk di rumah emak sudah saya punggah berkali-kali.  Ingatkan ada yang pinjam dan tidak mengembalikan. Ataupun sudah lunyai dikerjakan oleh anak-anak saudara yang masih kecil ketika dulu.

Saya yakin ada buku ini seawal tahun 80an lagi, malah saya yakin ada lebih dari satu naskah.

Salah satu dari naskah itu tersebut diperolehi samada berjaya menduduki kedudukan tertentu semasa peperiksaan di sekolah ataupun dalam pertandingan bahas atau syarahan. Kalau bukan saya yang mendapat hadiah buku tersebut, mungkin kakak atau adik perempuan saya yang memperolehinya, juga cara yang sama melalui peperiksaan ataupun pertandingan bahas dan syarahan.

Terkejut apabila  semalam saya mendapat tahu naskah terpakai buku ini sudah menjangkau RM 50.00 harganya, hari ini saya membuat operasi mencari buku ini habis-habisan.

Rupanya selama ini buku ini sudahpun berada dalam rak buku di rumah saya. Oleh kerana ia berbalut kemas dengan kertas hadiah menyebabkan saya tidak menjumpainya.

Menjadi kebiasaan kami tiga beradik akan membalut buku-buku hadiah yang kami terima sama  ada menggunakan kertas balut hadiah ataupun kertas minyak. Plastik jarang-jarang sebab harga agak mahal sewaktu itu. Ada juga yang dibalut dengan hanya kertas majalah yang tebal dan berkilat itu. Ini adalah “arahan” bapa kepada kami bertiga.

Sekarang dalam operasi mencari senaskah lagi. Dan selepas ini akan cuba melengkapkan koleksi karya Azizi Hj. Abdullah ini.


Ada sesiapa yang masih membalut buku bacaan sekarang ini?

No comments:

Post a Comment