Wednesday, August 12, 2015

Kalaulah tahun 70an dahulu ada FB. Bapa dan buku-bukunya.


Kalaulah tahun 70an dahulu ada FB. Bapa dan buku-bukunya.

Bapa saya (kini terlantar di atas katil semenjak tiga tahun lalu) agak tegas orangnya terutama kami tiga beradik masih bersekolah rendah. Kadang-kala tegasnya tanpa sebarang penjelasan.

Bapa membaca. Setiap hari dia mesti membeli akhbar harian. Dia membaca seawal pagi. Kemudian bersambung seketika sewaktu tengahari. Bapa memuktamad bacaan akhbar sejurus sebelum Berita Nasional RTM jam 6.00 petang.

Tiada sesiapa pun boleh menganggu siaran berita ini. Hak mutlak bapa. Malah walaupun tidak secara terang-terangan, bapa mahukan kami tiga beradik bersama-sama menonton berita.

Begitu juga sewaktu Azan Magrib bergumandang, tiada sesiapa boleh menutup tv atau mengubah siarannya.  Malah kami dimestikan menghormati Azan Magrib dengan mesti berada dalam rumah sebelum Azan Magrib, tidak makan-minum, tidak membaca dan tidak berbual semasa Azan dilaungkan. Akhir sekali Berita Jam 8.00 malam, siarannya menjadi milik bapa.

Selain dari membaca, bapa juga membuat “newspaper cutting” artikel-artikel berkatan motivasi dan career development. Malah bapa juga menulis (menyalin semula?) kata-kata hikmah di dalam buku rampaian sekali.

Masih teringat saya akan satu ungkapan yang bapa terbalikkan. Bapa menulis, “buat baik jangan sekali, bat jahat berpada”. Ketika itu saya terasa aneh bapa menulis sebegitu. Apabila dewasa baru saya sedar akan kebenarannya juga.

Bapa banyak membeli buku sewaktu beliau bekerja sebagai askar terutama di sewaktu berkhidmat di Sabah dan Sarawak. Kebanyakannya buku Indonesia dan pilihan utamanya ialah karya Hamka genre kemasyarakatan dan adalah sebuah-dua genre agama.

Tidak seperti arwah adik bapak (yang juga tentera dan minat yang sama dengan buku), bapa agar “mengawal” genre buku-buku yang dibelinya. Malah bapa juga “mengawal” buku-buku bacaan yang kami bertiga beli atau baca.

Teringat saya pada suatu kejadian apabila saya membuat tugasan kerja sekolah Darjah 6 dengan mengumpulkan keratan akhbar berkenaan wanita.  Ada di antara keratan akhbar dan majalah itu berkaitan dengan gejala social wanita yang memuatkan beberapa gambar yang agak menjolok mata. Bapa mengarah saya membakar scrap book itu dan pada masa yang sama kena juga seliang-dua bedalan tali pinggang askar milik bapa.

Tanpa pengetahuan bapa, saya menelaah beberapa buku yang mendebarkan ketika itu di rumah pakcik saya. Pakcik saya (arwah) agak terbuka dalam hal ini. Malah dia meminjamkan saya beberapa buku termasuklah  Sofia karya Yahya Samah ini. Rasanya saya sorokkan di tempat rahsia di dalam rumah! Apabila remaja ada juga beberapa buku Yahya Samah yang saya beli.

Pada saya, tulisan Yahya Samah tidaklah begitu erotic tetapi bapa begitu tegas dalam hal sebegini.

Saya tidak dapat bayangkan kalaulah tahun 70an dahulu ada FB, bagaimana bapa hendak mengawalnya?

Kemungkinan rumah kami tiada computer! TV hitam-puteh pun hanya dibeli pada tahun 1979. Itupun sudah berapa kali hand-hand agaknya.

Apapun ketegasan bapa terutama dalam tabiatnya (amalan?) membaca, merujuk dan menulis serta mengawal Berita TV, Azan Magrib dan juga cerewet menjaga (membalut) buku-buku kepunyaan kami, adalah ajaran yang tidak dapat tidak kami tiga beradik terutama saya melupakannya.


Bagaimana anda mengawal anak-anak anda berintraksi dengan bahan bacaan melalui media social sekaran ini?

No comments:

Post a Comment