Warga Kilang Jalan-jalan Masuk Kampung 1 Mei 2010
Alhamdulillah hari ini bersempena Cuti Hari Pekerja, aku dan anak jantan aku seorang itu berpeluang bersama NGO Warga Kilang dalam aktiviti amal mereka iaitu Warga Kilang Jalan-jalan Masuk Kampung. Itupun hanya dua hari lepas aku mengesahkan penyertaan aku kepada Sdr. Wahab dan Sdr. Monier, Orang Kuat WK ini setelah dipastikan tiada sebarang kelas ganti atau perjumpaan dengan pelajar yang dijadualkan pada hari ini.
(Rujuk di siri i, siri ii, siri iii, siri iv, siri v, siri vi, siri vii dan siri ix serta gambar 1 dan gambar 2 untuk Aktiviti Jalan-jalan Masuk Kampung 1 Mei 2008 yang turut aku sertai)
Oleh kerana aku dimaklumkan sumbangan dari sesama komuniti berupa barang makanan sudah agak banyak, aku menawarkan diri untuk membuat sumbangan peralatan pembersihan badan seperti ubat dan berus gigi, sabun mandi, tuala mandi dan sikat termasuk barangan mencuci pakaian seperti serbuk pencuci, cecair pencuci pinggan-mangkuk, berus, baldi dan pencebuk.
Kami berkumpul di Susur Keluar Gunung Semanggol sekitar 9.45 pagi. Sebanyak 3 kenderaan (2 buah pacuan 4-roda Triton dan 1 buah Ford Focus) dari Utara iaitu Prai dan Kulim dan sebuah Wira dari KL menyertai aku dan anak jantan aku seorang itu dengan MyVi di sini.
Semua kenderaan yang hadir sarat dalam bonet masing-masing dengan barangan makanan seperti beras, minyak masak, gula, susu, sadirn, ikan kering, ikan bilis, mee segera, kicap, teh, kopi, milo, biskut, makanan ringan, minuman botol dan lain-lain. Rasanya untuk sekeluarga 5 – 6 orang boleh tahan beberapa bulan dengan stok sumbangan ini.
Setelah taklimat ringkas pemakluman rumah-rumah yang akan dikunjungi oleh Sdr. Hamid, WK yang menetap di Gunung Semanggol, kami bermula mengunjungi dua buah rumah di Parit 5, Tebuk Matau, Bagan Serai.
Dari sini kemudiannya kami menuju ke Jalan Gula melalui Kampong Tua sebelum berpatah semula ke Bagan Serai.
Kami berkunjung ke Sungai Kepar dan Batu 12 1/4 , Jalan Taiping sebelum memasuki laluan sempit ke Telok Seribu.
Kemudian kami ke Kampung Depan Balai berhampiran Pekan Bagan Serai sebelum berpatah balik ke Taiping.
Kami singgah di Sungai Baru Selinsing sebelum mengakhiri siri aktiviti Jalan-jalan Masuk Kampung ini dengan menunaikan satu jemputan kenduri pasangan pengantin di Desa Jana 2, Kamunting, di mana kedua-dua mereka bekerja di kilang yang sama dengan Sdr. Wahab di Pulau Pinang.
Perjalanan kami ke Kamunting disimbahi hujan lebat seolah-olah turun semata-mata untuk mencuci kenderaan kami yang diselaputi lecak ketika mengunjungi 8 buah rumah untuk membuat sumbangan. Bagaimanapun hujan ini berhenti ketika kami tiba di rumah kenduri jam 3 petang.
Alhamdulillah masih banyak berbaki lauk-pauk yang menyelerakan untuk jamahan kami. Memang rezeki kami.
Antara kami yang terlibat dalam siri aktiviti Jalan-jalan Masuk Kampung hari ini termasuklah kaum ibu dan beberapa orang remaja dan anak kecil.
Kami yang hadir hanyalah yang berpeluang untuk bersama-sama menyampaikan sumbangan. Terima kasih kepada semua yang telah membuat sumbangan sama ada secara langsung sebagai komuniti Warga Kilang ataupun tidak. Semoga sumbangan ikhlas anda semua ini diberkati-Nya.
lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com
Untuk catatan berkaitan, boleh lawat di sini.
Mereka yang telah kami kunjungi hari ini–
1. En. Remli Alang, Parit 5, Tebuk Matau, Bagan Serai.
Walaupun hampir kesemua di antara kita bercuti pada Hari Pekerja hari ini, En. Remli tiada di rumah kerana bertugas sebagai pegawai keselamatan di Bukit Merah Lake Town Resort. Salah seorang anak remajanya hari ini sedang mengalehkan anak padi dari tapak semaian bersama ibunya.
Di sebuah rumah yang hanya berdinding bata murah dan tidak bersimen, tinggal keluarga 9 beranak ini.
2. En. Hamsan Rejuly, Parit 5, Tebuk Matau, Bagan Serai.
Rumah besar yang berjiran dengan rumah En. Remli umpama rumah tinggal denga kepingan dinding papan menanti rebah. Ketika kunjungan kami pagi tadi hanya ada 2 orang anak yang masih bersekolah rendah. Manakala En, Remli, yang menyarai keluarga 7 beranak dengan membuat tapai, dan isterinya serta anak mereka yang lain yang masih kecil berkunjung ke rumah orang tua mereka.
Terasa sayu melihat deretan kain-baju serta kain lampin yang tersidai. Hati tersayu lagi melihatkan beberapa lampin pakai buang yang dibasuh semula sedang dikeringkan untuk dipakai semula.
3. En. Zulkifli Abdullah, Jalan Gula, Bagan Serai.
Walaupun menginap di rumah sewa yang agak sempurna, En. Zulkifli ayah kepaa 4 orang anak yang masih bersekolah yang mengalami kesukaran untuk berjalan akibat kakinya patah turut menerima sumbangan kami.
4. Puan Nor Azmah Abd Rahman, Sungai Kepar, Bagan Serai.
Di sini menginap Puan Nor Azmah, seorang OKU yang baru kematian suaminya mempunyai seorang anak perempuan yang masih bersekolah menengah dan 2 orang anak lelaki bersekolah rendah.
5. Puan Rohani Idon, Batu 12 ¼, Jalan Taiping.
Bagai jatuh ditimpa tangga. Setelah kehilangan kaki akibat Kencing Manis, Puan Rohani yang mempunyai seorang anak OKU ini ditinggalkan suaminya. Kini beliau kembali tinggal bersama-sama ibunya.
6. Puan Amasiah Amin, Telok Seribu, Bagan Serai.
Kunjungi kami ke Teluk Seribu dibantu oleh En. Alias Mohd, penduduk tempatan. Laluan sempit batas tali air ini sudah menjadi kesulitan untuk kami tetapi tidak sesulit bagaimana Puan Amasiah, seorang ibu tunggal yang mempunyai 4 orang anak dengan yang bongsunya ditakdirkan down-syndrome. Mujurlah yang sulong sudah bekerja dan membantu membiayai persekolahan 2 orang adik-beradiknya lagi.
7. Puan Maznah Mat, Kampung Depan Balai, Bagan Serai
Puan Maznah, ibu tunggal yang kematian suaminya menyarai 3 orang anaknya dengan membuat kerisik di rumah.
8. Puan Ramziah Rashidi, Sungai Baru, Selinsing
Puan Ramziah, ibu tunggal yang kematian suaminya menyarai 5 orang anaknya dengan membuat kuih.