Friday, April 17, 2009

Tribute to Kulim (Siri 1, 2 & 3)





Tribute to Kulim

Tribute 1: Kenduri kambing di Taman Rekreasi


Semalam aku ke Kulim. Lebih tepat Taman Rekreasi Kulim Hi-Tech. Aku dijemput kenduri kambing. Dulu (2004/2006) sekali dalam sebulan atau dua bulan kami (geng Celestica) buat kenduri di taman ini. Pakat kutip seorang sepuluh-dua. Kambing panggang dari Mahang. Hj Muda Subki (la ni dia Engr. Intel) yang handle. Kambing pangggang berpotong ini dihantar panas-panas oleh Pak Menakan dia selepas waktu pejabat. Tulang dan meneka isi perut dibuat gulai campur Umbut Pisang, Kacang Panjang, Terung dan Karot. Bila order siap dibagi free Roti Canai 30-40 keping.

Puak lain ada assignment masing-masing. Zahari HR dari Pulau bawa awai pagi lima enam ketul Roti Benggali. Edi HR pula dengan Teh-O, Sirap, plastik sampah dan paper lama. Mie Engr. Facility bawak limau nipis buat potong lemak. Kambing ada lemak ka?

Syukri la ni di Infineon bawa dua, tiga bilah pisau. Aku pula biasanya bawa segala maneka bekas pinggan, mangkuk, cawan kertas.

Hj. Rosman (la ni kontraktor dan supplier besar) biasanya jadi Ketua Bentara. Sama naik riuh mulut dengan ringan tulang.

Ramai lagi adalah pakat bawak apa yang patut termasuklah yang usung perut saja!

Walaupun sudah hampir empat tahun aku tinggalkan Kulim, puak-puak ini mesti jemput aku kalau ada kenduri kambing. Setahun di Ipoh jenuh beri alasan tak boleh mai. Begitu juga hampir dua tahun di Sintok ada saja alasan dibuat. Alasan sebenarnya jauh nun nak mai. Beratus kilometer satu hala! Pergi-balik dah lebih dua ratus kilo! Jemputan kali ini sukar ditolak sementelah khas dibuat selepas waktu pejabat hari Khamis yang kebetulan adalah masa perjalanan aku balik ke Taiping.

Semalam kenduri di-sponsor oleh Azhar (la ni Manager Intel). Kenduri doa selamat nak pergi umrah. Orang lain bersila kenduri di surau atau duduk elok-elok atas kerusi bawah khemah depan rumah, kami makan kenduri bercangkung di taman!

Tapi semalam tak ada kambing panggang. Semua buat gulai. Mungkin sebab jemaah makin ramai. Menu tetap sama dengan empat, lima tahun dulu. Seperiuk besar berasap Gulai Daging Kambing campur Umbut Pisang, Kacang Panjang, Terung dan Karot. Roti Canai 30-40 keping dalam termos. Azhari dengan lima enam bungkus Roti Benggali. Menu tambahan pula Seri Muka dengan Tapai. Aku mari dari Sintok sebagai tetamu bawa dua sikat Pisang Berangan.

Kami makan kenduri dimulai dengan doa makan saja. Risau juga nak buat tahlil ke apa yang patut. Manalah tau ada yang report kat pejabat agama kata ada geng kilang ”beratib” di taman!


Tribute 2: Syurga makanan

Di tengah kepesatan bercambahnya restoran mamak dan tom yam Thai, Kulim masih gah dengan masakan Melayunya.

Kalau hari Jumaat, masjid yang hendak dituju oleh geng kerja kilang di Hi Tech sentiasa disinonimkan dengan warung yang hendak disinggah. Kalau Masjid Politeknik boleh perkena dulu di cawangan Warung Sila Oh Sila berseberang jalan UniKL MIS. Kalau lajak ke Masjid Sungai Ular boleh perkena Ikan Bakar Pak Su sebelah JPJ. Dulu gerai kecil sahaja Pak Su ini. Sekarang sudah beraleh ke korner lot kedai. Depan kedai pula ada dua, tiga pondok kecil beratap dengan replika lambang ikan.

Kalau ke Masjid Padang Cina boleh makan Nasi Ekonomi bawah pokok kelapa sawit berhadapan kilang First Solar.

Kalau ke Masjid Jalan Kilang Lama, boleh makan dulu di Warung Pak Omar di Panglima Besar. Sebelah Pak Omar ini pun ada warung lain yang jual ikan bakar.

Jauh jalan lagi ke Masjid Kulim boleh makan Nasi Padang di tempat letak kereta seberang jalan masjid ini. Sambal Sotong, Perut Masak Lemak dan Bergedelnya tak boleh miss. Perkena pula dengan Air Nyior.

Betulnya tak payah tunggu hari Jumaat, mana-mana haripun boleh. Tapi hari Jumaat meriah sikit. Terutama ada yang berhajat nak kenduri overtime!

Hari lain kekadang ke Sungai Kob perkena Nasi Ayam Periuk Besar. Asalnya gerai ini kecil sahaja di Pekan Karangan kemudian pindah ke Sungai Kob betul-betul tepi sungai. Gerai ini merata cawangannya nun di Taiping, Ipoh, Sungai Petani tapi heran tempat lain macam tak menjadi. Taiping pun sudah tutup.

Jemu Nasi Ayam boleh lajak ke Simpang Tiga Karangan selepas Pusat Serenti. Gerai lepas simpang ini banyak juga menunya. Lepas makan nasi kalau perut boleh isi lagi boleh perkena Cucur Udang.

Kalau jemu Ikan Bakar Pak Su boleh lajak ke Labu Besar. Ikut Simpang Sungai Ular dan Taman Tiong lalu Petronas Taman Kenari. Jangan kona kiri ke pekan Kulim ikut Seri Malaysia tapi jalan terus. Di sini Warung Selera Junjung sendat dengan peminat Keli Bakar, Pari Bakar, Kembung Bakar, Tilapia Bakar dan pelbagai lauk lagi. Warung atap zink ini sentiasa sejuk disiram oleh renjisan air paip. Taklah berpeluh dahi dan hidung semasa cicah air asam pedas tu.

Tepi warung ini sederet kedai ada cawangan Restoran Pak Mail. Biasanya kami pergi makan petang atau makan malam di Restoran Pak Mail di Jalan Kilang Lama. Di sini kami selalu makan Chicken Chop dengan Nasi Goreng.

Kalau dulu-dulu ada function besar sikit kami pergi Warung Pokok Manggis di Jalanraya Kulim selepas Masjid Kulim. Kat sini bolehlah nak perkena Siakap Tiga Rasa atau Bawal Stim.

Lajak jauh lagi ada pula Restoran Pokok Buluh sebaris dengan kedai-kedai repair dan service kereta ini. Khabarnya restoran ini ada cawangan utamanya di Pematang Pauh.

Kalau ada pelawat atau gomen datang kilang boleh lajak bawak ke Warung Selera Gemilang betul-betul kepala simpang traffic light Kastam tu. Budak kilang panggil warung yang terkenal dengan ikan dan ayam bakar ini dengan nama “Warung Soros”. Boleh tahan harga makanannya!

Kalau rasa nak makan Kari Kambing boleh perkena Warung Tolak Roda Tiga Pak Berahim di Taman apa nama sayur itu. Menu di sini hendak hampir sama dengan Nasi Kandar. Pak Berahim anak beranak dengan bini diapun mamak!

Kalau nak makan Kari Bawal boleh singgah warung selepas Masjid Jalan Lunas.

Petang Rabu lajak ke malam boleh pergi Pasar Malam Taman Selasih. Petang Khamis di Jalan Kilang Lama sesak dengan budak Poli dan UniKL. Geng kilang pun sama banyak.

Pagi Ahad sayut ke petang boleh beli ikan dan barang basah di Pasar Hari Padang Serai. Tauke Kilang Kopi Hang Tuah di Sungai Dua pun selalu ke sini dengan orang rumah barunya.


Tribute 3: Daerah Auto Kulim

Bunyi dia lebih kurang Auto City Juru!

Aku mula “mesra” dengan Kulim penghujung tahun 90an hinggalah awal 2000an. Di Karangan atau lebih tepat Estet Sungai Dingin, aku terbabit menganjurkan beberapa rally dan enduro. Di sinilah salah satu kawasan khas (special stage) untuk Vintage Car Rally London-Sydney Marathon 2000 diadakan. Di sini jugalah satu-satu Asia Rally 4x4 yang diadakan pada waktu malam.

Waktu tengahari kami terpa di sebuah warung kecil pekan Karangan. Warung asal Nasi Ayam Periuk Besar. Sekali itu Dato Razak Dawood (Pengurus Karamjit PERT) belanja semua orang yang makan di situ ketika itu. Dato Razak ini juga pernah belanja aku makan di sebuah restoran Jepun di Johor Bahru yang self-service celup dan grill atas meja. Lupa lak nama dan lokasi restoran itu tapi 12 orang makan harganya seribu lebih!

Kalau terdesak nak beli barang, pekan Kulimlah kami terpa. Peserta rally pula ada yang menginap di Seberang Prai sementelah Seri Malayia dan rumah rehatnya penuh.

Sebenarnya bukan saja rally yang terkenal di Kulim ini. Geng enduronya hebat juga. Terutama Geng Enduro Sungai Ular. Ada beberapa ahlinya nun sampai ke Jepun pergi ber-enduro. Pernahlah aku sekali dua ber-enduro dengan geng-geng ini sampai ke Sumpitan dan Air Ganda.

Geng scrambler Lunas pun ada tapi aku tak sempat berkenalan dengan mereka. Sama juga dengan geng Superbike. Ada dua, tiga superbike di sini. Azizan dan kapten apa nama tu dari Northern Biker. Depa ini rajin juga dulu masuk Malaysian Super Series di Sepang. Ada juga Geng Kulim Hi-Tech Superbikers. Geng ini kalau masuk kerja malam hari sabtu terus sambung pagi Ahad ride ke Kolam Air Panas Baling.

Di Kulim ini pun terkenal dengan Mekanik Peugeot. Workshop kereta berkepala singa ini ada dua buah kedai sebaris dengan ibupejabat TCE Sea Tackle di Jalan Lunas. Tak kiralah Workshop AM Lion atau Workshop Intergriti, depa dua-dua ini satu geng. Pelangganlah mai nun dari Ipoh dan KL pun ada. Aku pernah jumpa En. Manan boss bomba Bagan Serai dengan Peugeotnya di sini.

Geng Mini dan kereta kura VW pun berlambak di Kulim. Kalau depa nak buat konvoi pi Kelantan atau Terengganu mesti berkumpul di Petronas BKE.

La ni lak hebat dengan MTB. Geng kayuh gerek ini tua muda ini baru saja buat jambore bulan lepas. Dengar cite melaut penyertaan. Nun dari Melaka ka atau Johor, depa mai satu bas.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment