Tuesday, June 30, 2009

Demam Babi Hutan di Taiping!

Setiap sabtu ahad sesak depan BP ini bas-bas dari luar!

Tarikan pelancongan terbaru di Taiping.

Demam Babi Hutan di Taiping!

Semalam waktu basuh kereta di Mala belakang Pejabat Pos Kamunting tepi All Saint itu aku terjumpa Ragu. Ragu ini sekelas dengan aku di Sekolah Rendah Long Jaafar. Lepas sekolah menengah dia masuk Air Force di Butterworth dan baru pencen tahun lepas, Sekarang dia bawa van pusat membeli belah perabut. Rasa-rasanya hampir 20 tahun aku tak berjumpa dengannya.

Hakim, apa lu bikin sekarang?”, Ragu memanggil aku Hakim (sebenarnya bapa dia yang mula memanggil aku Hakim semasa kami sama-sama tinggal di Jalan Wat Siam dahulu).

”Aku cikgu la sekarang. Lu punya bapak cakap lu ada menega juga.”

”Aku nega sikit-sikit saja. Full time bawa van ini.”, sambil menunjukkan van kuningnya itu.

”Aku mau tanya sikitlah Hakim. Itu hari aku jumpa lu punya bapak. Dia cakap lu incharge safety and health kilang. Tarakpun dia cakap lu jadi cikgu. Lu mesti boleh tolong punya.”

”Dulu memang aku kerja kilang. Baru 2 tahun aku jadi cikgu. Apa lu mahu tanya?”

”Itu selsema babi datang dari babi. Kemudian orang sakit. Tapi kalu orang selsema boleh kena pada babi ka?”

”Apa yang lu tanya ni Ragu? Aku tak fahamlah!”

”Ini macam, lu tahu itu babi hutan belakang bukit Tesco. Aku ada menega kacang puteh sana. Kalu sabtu ahad kurang-kurang mesti 400, 500 orang datang. Itu 1 Mei dulu MPT punya orang, polis pun ada cakap lebih 70 bas datang. Sekarang sabtu ahab semua hotel, rumah tumpangan, bilik full house tau!”

’Apa pula kena-mengena dengan orang sakit?”

”Itu apa, itu H1N1 tv cakap datang dari babi kemudian kena sama orang. Tapi itu babi oversea punya babi. Babi belakang Tesco babi hutan. Ini babi tak boleh kena sakit punya. Tapi sekarang itu Tok Sami sudah takut orang datang ada sakit jadi nanti itu sakit kena sama itu babi. Habis semua kalu itu babi sakit, tokong tak ada income, aku punya bisnes kacang puteh itu tak boleh jalan.”

”Ramai ka orang pergi sana Ragu?”

”Lu pergilah satu hari tengok. Ini depan datang mesti ramai punya orang. Bulan lepas Siam punya orang ada angkat filem untuk Siam punya tv. Metro pun ada cerita keluar.”

”Ada orang Melayu pergi ka?”

”Semua bangsa dan agama ada pergilah. Kita “One Malaysia”lah”.

Aik, tiba-tiba Ragu ni masuk “One Malaysia” pula!.

“Betulkah orang Melayu ada pergi?”

”Itu ada satu Melayu duduk dot dot dot (kena censor) kena RM 180 ribu. Dia ada buat makan-makan, kasi duit sama orang lagi.”

”Iyakah Ragu? Lu pernah tengokkah orang Melayu pergi?”

”Itu hari ada ramai Haji pergi aku sendiri tengok. Tapi itu Haji bukan mau kasi makan itu babi ataupun mau sapu duit pada babi. Dia mahu cari orang Melayu. Tapi orang Melayu yang pergi semua pakai helmet ataupun pakai topi.”

”Itu Melayu pegang juga itu babi ka?”

”Oiiii.... mana boleh! Aku pun tahu Melayu cakap itu haram! Itu Melayu dia pakai sarung tangan doktor. Bila dia sapu itu duit pada babi punya badan dia buang itu sarung tangan!”

”Oh! Itu macam ka? Itu atas seat depan dalam lu punya van banyak beras apa bikin? Mau kenduri kena nombor ka?”

“Tadaklah! Aku kena sikit saja. Itu beras untuk aku punya bisnes baru. Ini minggu aku sudah stop menega kacang puteh. Aku mahu jual nasi. Lagi untung jual nasi. Satu bungkus satu ringgit. Lauk tak payah masak.”

“Sapa mahu makan nasi tak ada lauk?”

”Itu nasi bukan orang mahu makan. Babi juga makan. Dulu itu Tok Sami bagi orang bawa nasi atau makanan dari rumah. Tapi sekarang itu Tok Sami takut ada kasi racun sama itu babi. Jadi baru punya rules tak boleh bawa nasi dari rumah. Kena beli situ juga.”

”Pandai betullah lu bisnes Ragu.”

”Cari makan sikit-sikitlah Hakim. Kalu lu mahu pergi lu telefon sama aku!”

"Lu tadak jawab aku punya soalan. Orang punya sakit boleh kena sama babi ka?"

"Aku sendiripun tidak boleh jawablah Ragu. Lu kena tanya doktorlah. Apasai lu banyak concern?"

"Tadak. Kalu boleh orang punya sakit boleh kena sama babi, aku mahu cakap sama Tok Sami suruh dia pasang macam itu airport punya scanner. Kalu orang lalu mesti boleh scan dia orang ada sakit ka."

"Itu mesin manyak mahallah ragu!"

"Lu tak tahu Hakim. Itu Tok Sami pun sudah kaya raya tahu!"


lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/


Melayu peluk babi
Harian Metro 15 Mei 2009


TAIPING: Cetek pengetahuan agama dan percayakan khurafat menyebabkan segelintir umat Islam sanggup membelai dan memeluk babi hutan semata-mata untuk mendapatkan tuah, termasuk memenangi hadiah utama judi nombor ekor, sekali gus meraih kekayaan segera.

Perbuatan jahil itu yang semakin menarik minat orang Melayu dari dalam dan luar negeri ini dilakukan di sebuah kuil di kaki bukit berhampiran sebuah pasar raya terkemuka dekat sini.

Mereka datang untuk mencuba nasib biarpun perbuatan itu dilaknat Tuhan.

Difahamkan, kuil berkenaan memang dikenali di kalangan masyarakat Cina dan India hingga ada yang datang dari jauh, termasuk Singapura untuk melihat tarikan utamanya iaitu kehadiran babi hutan 30 hingga 50 ekor pada satu-satu masa di kawasan khas setiap malam.

Malah, keunikan kuil berkenaan pernah disiarkan dalam satu program saluran televisyen berbayar beberapa bulan lalu hingga menyaksikan pertambahan pengunjungnya saban hari.

Majoriti pengunjung hanya mempunyai satu tujuan iaitu membawa slip nombor ekor, geran kenderaan, wang kertas yang digunakan untuk membeli nombor ekor untuk diusapkan ke badan babi hutan terbabit kerana percaya ia mampu membawa tuah, termasuk memenangi hadiah utama judi nombor ekor.

Yang menyedihkan, kepercayaan itu menular di kalangan orang Melayu di daerah ini sebelum merebak ke luar Perak.

Seorang penduduk, Abdul Karim Yusop, 51, ketika ditemui Harian Metro berkata kegiatan itu semakin menjadi-jadi sejak awal tahun ini.

“Saya tidak kisah ia dilakukan golongan bukan Islam, tetapi kesal apabila seorang rakan bukan Islam memaklumkan ada orang Melayu turut melakukannya.

“Rakan saya bertanya adakah perbuatan menyentuh babi itu dibenarkan dalam agama Islam dan saya memberitahunya ia perbuatan berdosa bagi umat Islam.

“Mendengar jawapan saya, dia terkejut dan memberitahu terdapat ramai orang Melayu menyentuh dan memeluk babi hutan di kuil berkenaan,” katanya.

Dia yang tidak berpuas hati kemudian ke kuil berkenaan kira-kira dua minggu lalu dan mengucap panjang apabila melihat beberapa orang Melayu terselit di kalangan pengunjung bukan Islam sedang mengusap babi hutan.

Abdul Karim yang tinggal di Gunung Semanggol, tidak jauh dari kuil berkenaan, berkata dia mengetahui individu terbabit orang Melayu apabila salam diberikannya disambut mereka.

“Apabila saya cuba bertanya lebih lanjut mengenai perbuatan itu, mereka mengelak sebelum beredar. Saya sedih kerana percaya ramai lagi orang Melayu, terutama dari luar negeri ini datang melakukan perbuatan terkutuk dan berdosa besar itu.

“Justeru, saya berharap Jabatan Agama Islam Perak menyiasat kerana risau jika dibiarkan berlarutan ia boleh menyebabkan akidah umat Islam tergugat,” katanya.

Dakwaan Abdul Karim menarik minat wartawan Harian Metro yang meninjau ke kuil berkenaan baru-baru ini selama sehari suntuk bersama jurugambar dengan menyamar sebagai pengunjung.

Terbukti, kehadiran orang Melayu di kuil berkenaan bukan perkara asing terutama di kalangan petugasnya.

Jumlah pengunjung mula bertambah mulai jam 7.30 malam apabila babi dari hutan berhampiran mula memenuhi kawasan khas yang disediakan.

Selain kereta, beberapa bas pelancong termasuk dari Singapura kelihatan hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di jalan utama memasuki ke kuil berkenaan, manakala pihak kuil turut menjual nasi lemak yang dibuat khas untuk diberikan kepada babi.

Kira-kira jam 9.30 malam, perhatian wartawan mula terarah kepada dua lelaki Melayu yang datang dan kelihatan di tangan mereka beberapa keping kertas dipercayai slip nombor ekor.

Tanpa membuang masa, dua lelaki terbabit menuju ke arah beberapa ekor babi berhampiran mereka sebelum mengusapnya dengan kertas di tangan mereka.

Sebaik berbuat demikian, mereka terus beredar dan apabila dihampiri wartawan yang bertanyakan mengenai perbuatan mereka, ini jawapan mereka:

“Apa salahnya mencuba nasib. Saya dengar ada orang kena nombor ekor hingga ratusan ribu ringgit apabila mengusap kertas nombor ekor atau wang digunakan untuk membeli nombor ekor kepada badan babi itu,” kata seorang daripada mereka sebelum beredar.

Kepercayaan karut itu dan kehadiran orang Islam di kuil berkenaan diakui beberapa pekerja di kuil terbabit sambil memberi contoh antara 100 pengunjung yang datang, 10 daripadanya orang Melayu.

“Semua itu (kepercayaan memegang babi membawa tuah) terpulang kepada diri masing-masing. Kami tidak pernah menghalang sesiapa masuk ke kuil ini. Tetapi setahu saya, perbuatan memegang babi salah bagi orang Islam.

“Namun mungkin mereka (orang Melayu) yang datang mempunyai alasan tersendiri. Asalkan pengunjung tidak melakukan perkara tidak elok, kami tidak boleh menghalang mereka memasukinya,” kata seorang petugas di kuil yang hanya mahu dikenali sebagai Ravi, 32

No comments:

Post a Comment