Wednesday, June 03, 2009

Tukang Urut Kucing



Tukang Urut Kucing

Antara “kejadian yang tidak boleh saya lupakan” ialah secara “bidan terjun” aku menjadi Tukang Urut Kucing pada tahun 1982 di sebuah sekolah asrama di Ipoh.

(Posting ini ekoran dari surat seorang pembaca NST 1 Jun 2009 – rujuk gambar di atas dan juga posting terbaru dari Blog Nukilan kehidupan kasih … )

Memang aku akui semenjak dua menjak ini aku menjadi peminat setia Sinar FM terutama siaran pagi yang dikendalikan oleh Salih Yaakob, Khairil dan Raja Azura.

Aku menjadi pengikut siaran radio semenjak tahun 2004 apabila hampir dua tahun pada setiap pagi dan petang berperjalanan sejauh lebih 100 km berulang-alik harian dari Taiping ke Kulim dan kemudiannya hampir setahun pula berperjalanan hampir 100 km berulang-alik harian dari Taiping ke Ipoh sebelum kini sekurangnya-kurangnya sekali dalam seminggu berulang-alik dari Sintok Taiping KL.

Walaupun aku tidak bersetuju dengan watak “abang Jam” Salih Yaakob aku masih terhibur dengan keletahnya bersama-sama Khairil dan Raja Azura.

Bagaimanapun aku “terlepas” dari mengikuti celoteh mereka dengan tajuk “kejadian yang tidak boleh saya lupakan” pada Khamis lepas dan hanya membaca mengenainya di dalam NST dua hari lepas.

Dan sudah tentu aku sama sekali tidak berpuas hati (dan marah!) sekiranya Salih dan Khairil tidak menasihati atau “menegur” pendengar radio yang semasa kecilnya telah membaling seekor kucing yang mengandung dari tingkat 16 semata-mata untuk mengetahui kebenaran kata-kata bahawa kucing itu mempunyai sembilan nyawa!

Kejadian ini hampir sama berlaku kepada diri aku pada tahun 1982 yang ketika itu aku berumur 15 tahun.

Entah mengapa ada seekor kucing ini suka sangat berpeleseran di atas katil aku di bilik asrama. Bukan setakat berpeleseran malah sudah beberapa kali kencing di atas cadar dan tilam aku itu.

Satu hari di waktu senja ketika aku baru sahaja balik dari bermain bola, aku ternampak kucing ini sedang nyenyak tidur di atas katil aku. Mungkin kerana marah, aku mengangkat kucing dan berlari ke koridor tingkat dua asrama itu dan terus mencampaknya ke tanah. Mujurlah kucing ini jatuh ke atas tanah!

Entah mengapa aku menjengok ke arah kucing tersebut. Terselepuk kucing tersebut dengan kepalanya mendongak ke atas merenung aku.

Aku ketakutan! Aku ketakutan amat sangat. Aku berselindung di balik tiang tapi kucing tersebut masih merenung aku tanpa bergerak-gerak.

Aku berlari masuk ke dalam bilik mengambil minyak dan terus turun ke bawah. Dengan keputusan secara spontan itu aku menyapu minyak angin ke keempat-empat kaki kucing tersebut. Anehnya kucing tersebut tidak membantah. Ia hanya mendiamkan diri.

Aku mengurut-urut keempat-empat kaki kucing tersebut. Ia masih mendiamkan diri. Rasanya setelah hampir 20 minit aku mengurutnya dengan tiba-tiba ia bingkas bangun dan beredah meninggalkan aku yang masih dalam ketakutan. Selang beberapa langkah, ia menoleh ke belakang dengan renungan yang panjang. Mungkin pengelihatan aku kabur akibar langit mula gelap, aku terasa kucing itu “tersenggih” memandang aku!

No comments:

Post a Comment