Tuesday, August 11, 2009

Kari Udang Galah dan Roti Stim Tanjung Berembang





Kari Udang Galah dan Roti Stim Tanjung Berembang

Apa ni? Ayam Goreng? Puyuh Goreng? Kata anak jantan seorang aku tu, sebijik macam Ayam Goreng Merah Nasi Ganja di Jalan Yang Kalsom Ipoh.

Sebenarnya ianya adalah isi Udang Galah dimasak Kari. Udangnya dibelah belakang dan dimasak sekali dengan kulit untuk mengekalkan kemanisannya. Udang ini kemudiannya disiram oleh kuah kari yang terasa lemak santannya yang pekat.

Menariknya pula menu utama di kedai kampung di Tanjung Berembang, Sungai Aceh ini hanyalah Kari Udang Galah dan Roti Stim. Ada jugalah menu sampingan seperti Nasi Putih dan Ikan Goreng. Biasanya Ikan Kembung dan Bawal saja. Tetapi rata-rata penghujung yang datang hanya memilih Kari Udang Galah dan Roti Stim.

Aku diperkenalkan Kedai Kari Udang Galah Lim Yeou Tiang ini pada penghujung 90an. Pegawai Penjaga Balai Bomba Parit Buntar yang membawa dan membelanja aku makan di sini setelah aku membantu mereka menganjurkan suatu sukan bermotor.

Ada banyak laluan ke kedai ini. Boleh ikut Simpang Empat Parit Buntar (Tanjung Piandang), Sungai Bakap ataupun Nibong Tebal. Ikut saja mana-mana Papan Tanda menghala ke Sungai Aceh. Apabila sampai di selekoh Tanjung Berembang, terus ke tepi jambatan tepi sungai tersebut. Rujuk peta.

Kedai ini biasanya dipenuhi oleh penduduk-penduduk Tanjung Berembang Melayu dan China untuk bersarapan minum kopi sambil perkena Nasi Lemak Bungkus atau kuih-muih. Menjelang tengahari, laluan kecil hadapan kedai ini akan penuh dengan deretan kereta-kereta mewah yang datang sejauh dari Pulau Pinang dan Ipoh malah dari KL untuk menikmati Kari Udang dengan Roti Stim ini.

Kari Udang Galah mula boleh dimakan seawal 10 pagi dan biasanya habis sekitar jam 2 petang. Kalau anda melalui laluan jalan lama Parit Buntar dan Nibong Tebal, bolehlah singgah untuk merasa Kari Udang ini. Boleh telefon dahulu untuk pastikan kunjungan anda berbaloi!

Sebenarnya hanya orang rumah seorang aku itu saja yang gemarkan udang, manakala aku dan anak jantan seorang aku itu tidak begitu “berahi”. Aku tidak berahi kerana terutamanya Udang Galah ini isinya liat manakala anak jantan aku seorang itu malas nak kopek kulitnya. Tetapi berbeza dengan Kari Udang Galah Lim ini, isinya lembut dan cara ianya dibelah dan mengekalkan kulit, menyebabkan isinya mudah dijamah.

Menurut seorang rakan yang pernah makan di sini, kuah karinya standing dengan Kuah Kari Udang (atau Kepala Ikan) di Restoran Kari Kepala Ikan Stadium suatu masa dahulu. Cuma yang membezakan udangnya lebih manis, mungkin ianya segar diambil dari sungai berdekatan.

Udang Galah mentah juga boleh dibeli di sini. Ada saja penduduk kampung yang datang menghantar ke kedai ini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Kari Udang Galah di sini dijual secara timbang bermula dengan 500 gram, 1 kilo dan seterusnya. Kunjungan kami baru-baru ini memilih 500 gram dengan 11 ekor udang siap dimasak ialah RM 28.00. Makan 6 ekor untuk 3 beranak, lagi 5 ekor bungkus bawa balik.

Amacam Xplorer? Cuba mai singgah try di sini!

Selepas makan, order lak Kopi-O!














No comments:

Post a Comment