Wednesday, February 04, 2009

Bukan ikut sedap telan saja!




Bukan ikut sedap telan saja!
(Posting asal, klik di sini)

“Man, Maklong Huduh tanya bila nak balik jenguk dia? Dia anak beranak demam Cikugunya.” Mak aku telefon tengahari tadi.

La, baru Sabtu tu Maklong Huduh aku ini bonceng aku pergi Taiping Sentral, aleh-aleh deman Cikugunya pula hari ini.

“Hari itu Maklong Huduh kata dia ada ubat kampong apa nama Pokok Putarwali dan Hempedu Tanah ni. Tak serasi jugakah?” tanya aku balik.

“Dia anak beranak makan ubat tu ikut suka saja. Habis muntah hijau!” Kata mak aku lagi.

Petang tadi aku start motor balik Batu Kurau.

Sampai laman rumah Maklong Huduh aku ini, berdebar juga aku tengok kasut selipar bersepah kat anak tangga kayu bulat itu. Budak-budak macam biasa berlari ke sana sini bawah rumah. Yang kejar ayam pun ada, macam tak pernah tengok ayam tu!

Aku cuba pasang telinga kut-kut dengar bunyi orang baca Yasin. Apa yang aku dengar pula gelak mengekek dari ruang tengah rumah. Dari belah dapur aku dengar orang kukur nyok. Panjang umur lagi Maklong Huduh aku ini, kata aku dalam hati.

Aku beri salam. Dua tiga kepala menjenguk serentak ikut muka pintu.

“Mu ka Man! Naik-naik! Panjang umur mu. Maklong mu ini baru cerita mu belanja dia makan Ubi Keledek Bakar Shah Rukh Khan minggu lepah (lepas).” Kata Pak Da Din, abang kepada Maklong Huduh ni.

Patutlah aku dengar gelak sakan rupanya dok bersembang pasai makan.

“Mu tak beli Ubi Keledek Shah Rukh Khan tu ka hari ini? Pak Da pun nak merasa juga.”

“Tak Pak Da. Man baru sampai dari Kedah tadi. Ni terus datang nak tengok Maklong.” Aku beri alasan tapi sebenarnya semalam lagi aku sudah balik Taiping.

“Maklong apa khabar? Demam lagi ka?” Aku memanis mulut.

“Maklong mu sihat saja. Semalan (semalam) dia overdoh (overdose)!”

“Overdose? Overdose macamana Pak Da?” tanya aku keheranan.

‘Dia naik bukit sorang-sorang cari Akar Putarwali dan Hempedu Bumi (ada yang panggil Hempedu Tanah). Bila dah dapat dia buat ubat sendiri. Memanglah aruah Paklong mu handah (handal) tapi Maklong mu tak ngaji habis. Pakai ikut dan saja.” Terang Pak Da Din.

“Akar Putarwali itu ambik sejuris saja. Rendam dalam kole. Kalau rendam dalam belanga alamat belanga tu jadi belanga Putarwali sajalah. Pahit dia lekat tak habis. Kalah Tongkat Ali. Masak gula berkati hingga kering hanggus dengan pandan sepokokpun tak hilang pahit dia. Kalau masak Gula Kabung mungkin boleh hilang sikit pahit dia.”

“Hempedu Bumi pula sehelai saja. Inipun macam Daun Ketum juga. Kalau rendam seranting boleh mabuk stim!”,
panjang lebar Pak Da Din menerangkan kepada aku.

Pak Da Din ini juga belajar banyak dari Tok Jantan aku setelah bapak aku “lari” masuk askar. Sebenarnya ramai yang ingat bapak aku akan “mewarisi” kepandaian Tok Jantan aku.

“Jadi itulah Maklong “overdose”?” tanya aku.

Ubat kampong ini bukan ikut sedap telan saja! Dia macam ubat doktor juga. Ada yang kena ambik sebelum makan. Ada yang kena ambik selepas makan. Ada kena telan sebutir. Ada yang kena telan dua, tiga butir sekali. Ini tak, Maklong mu ikut dan saja rendam sampai sebuku akar Putarwali dan dua, tiga helai daun Hempedu Bumi. Ingat nak baik cepatlah tu. Tu yang jadi “overdoh”!”

“Kak Hawa mu pula minum air tu dengan perut kosong. Habis muntah keluar air hijau! Sebab itu ubat doktor banyak yang kena ambik selepas makan. Perut kena isi sikit, kalau kosong masuk angin.”

“Pak Da yang tahu sikit-sikit ni pun kalau sakit pening la ni pergi Klinik atas Bukit tu (Klinik Kesihatan). Kalau takpun pergi Klinik Indran kat Pekan tu. Pak Da teringin juga nak pergi Klinik Dr. Azhar anak Ustaz Mahmud Zuhdi kat rumah mu di Kamunting tu. Ramai yang dok cerita kat Pak Da, Dr. Azhar tu dok cakap pekat Batu Kurau kita ni. Bila bagi ubat pula siap dengan doa. Abang Awang mu (anak Pak Da yang sulong) kata Dr. Azhar dari universiti apa nama Abedin (Scotland, Aberdeen University Medical School) Katanya kalau dari universiti ini handal-handal belaka!”

Aku mengangguk panjang.

Dari dapur Kak Hawa dan Kak Mek (kakak kepada Kak Hawa) muncul dengan talam besar. Terisi dalamnya pinggan-pinggan yang masih berasap lagi dengan piring-piring kecil. Bila talam diletak atas lantai nampaklah pinggan ketul-ketul Ubi Kayu Rebus. Manakala dalam piring-piring kecil tu terisi Nyok Kukur (kelapa parut) yang sudah tentu cukup gula dan garamnya. Ada juga piring berisi Ikan Kedera Masin dan Sambal Belacan. Langkah kanan aku rupanya hari ini.

“Mari dah! Mari dah! Ini bukan Ubi Keledek Shah Rukh Khan. Ini Ubi Kayu Zaman Jepun!” pelawa Pak Da Din kepada semua yang ada.

Aku menjeling Maklong Huduh aku yang bersimpul atas tilam kekabu salut tampalan pecal kain itu. Mulutnya mencebik sikit.

Walaupun Maklong Huduh aku tak bersuara tapi aku tahu apa yang hendak diluahnya.

“Bila mu boleh beli Ubi Keledek Bangla tu Man? Kalau Maklong pergi sekali dengan mu baguh (bagus) juga, boleh Maklong jumpa Bangla tu!”

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment