Wednesday, March 25, 2009

Oh anak bangsaku yang bakal pemimpin!


Oh anak bangsaku yang bakal pemimpin!

Dua hari lepas, terkejut dan sedikit kekecewaan pada saya apabila seorang pemimpin pelajar Melayu yang saya tanya tidak tahu mengenai “EARTH HOUR 60”. Mujurlah salah seorang rakannya yang berbangsa China mengetahui hal semasa ini dan terus menerangkan kepada pemimpin pelajar ini.

Bukan untuk membanggakan diri, anak lelaki saya seorang itu mula berkempen semenjak minggu lepas lagi di kalangan rakan-rakan sekolahnya malah kepada anak-anak jiran tetangga untuk sama-sama mematikan semua suis lampu pada 28 Mac 2009 jam 8.30 malam hingga 9.30 malam. Bukan saya yang mengilhamkan semua ini kepadanya tetapi saya yakin dia mengetahuinya melalui pembacaan akhbar dan juga selingan iklan di tv.

Malah dia juga meminta keizinan saya untuk mencetak dan membuat salinan photostat untuk edaran. Saya melarangnya dengan nasihat, edaran bahan bercetak itu juga punca pemanasan global akibat lupusnya sumber.

Alhamdulillah cepat anak saya mengerti. Kelibatnya di petang hari apabila bermain bola atau badminton di hadapan halaman rumah, saya mencuri pandang. Diambilnya seminit dua untuk memaklumkan tentang kempen EARTH HOUR 60 dan isu pemanasan global kepada anak-anak jiran tetangga. Tanpa peduli sama ada sebaya atau yang lebih besar prihatin atau yang lebih kecil mengerti. Saya pasti perkara yang sama dilakukannya di sekolah.

Seingat-ingat saya usia anak saya semenjak empat, lima tahun, dia sudah bertanya dan cuba memahami apa itu pemanasan global. Pembacaannya meluas dengan diminta membeli buku-buku atau majalah-majalah berkaitan persekitaran, kitar semula dan sebagainya.

Semoga jiwanya sebagai ”environmentalist” ini kekal dalam jasadnya apabila besar kelak. Kekal dan membesar serta lebih memahami serta menghayatinya.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Bahan bacaan yang berkaitan;

EARTH HOUR.
Oleh IzalPutra

Pada 28 Mac 2009 jam 8.30pm, bandar raya-bandar raya dan bandar-bandar merentasi dunia dijangka akan mengambil tindakan memadamkan lampu-lampu selama satu jam. .

“Earth Hour’ membawa satu mesej global yang bermakna untuk mengambil tindakan yang mungkin dalam menangani isu pemanasan global iaitu memadamkan lampu secara serentak di peringkat dunia. .

Dengan mengambil langkah hanya semudah menutup suis lampu dan menggalakkan bandar raya secara menyeluruh untuk menjalankan tindakan ini, satu mesej yang bermakna dapat dikeluarkan tentang keperluan segera untuk isu perubahan iklim, dan menunjukkan bahawa sejumlah ramai orang berpeluang melakukan satu kelainan. .

‘Earth Hour 2009’ dijangka akan menjadi satu panggilan yang berkesan untuk tindakan bagi sejumlah ramai individu, kerajaan dan organisasi perniagaan dalam mengambil tanggungjawab dan memainkan peranan secara bersama. Bangunan-bangunan ikonik dan mercu tanda merentasi Eropah, Asia Pasifik, Timur Tengah dan Amerika dijangka akan bergelap buat seketika. .

‘Earth Hour’ adalah satu pesanan yang mengharapkan satu tindakan. Bayangkan apa yang akan kita dapat lakukan jika kita bertindak bersama? .

Sertai ‘Earth Hour 2009’: http://earthhour.org.my/

Sumber asal
dari sini.


Apakah itu Pemanasan Global?
Oleh IzalPutra

o Peningkatan purata suhu atmosfera permukaan bumi secara global dan disebabkan oleh aktiviti manusia atau secara semulajadi.

Bagaimanakah pemanasan global terjadi?

o Apabila gas-gas seperti karbon monoksida, karbon dioksida, kloro flourokarbon (CFC), metana dan nitrus oksida menyerap sinaran daripada matahari dan mengeluarakan semula sinaran tersebut, suhu purata atmosfera bumi akan meningkat.

Gas-gas ini juga menyerap tenaga haba yang dikeluarkan daripada sistem atmosfera bumi. Ini secara kolektif akan meningkatkan lagi suhu purata atmosfera bumi.

o Aktiviti-aktivi manusia seperti penjanaan tenaga elektrik, peningkatan pengangkutan dan penggunaan CFC untuk tujuan pengawalan udara (airconditioning) dan sebagai ‘propellant’ dalam bekas aerosol, telah menyebakan pengeluaran gas – gas tersebut meningkat. Sumber gas-gas seperti ini yang disebabkan oleh aktiviti manusia dinamakan gas-gas ‘anthropogenic’.

o Antara gas-gas rumah hijau yang paling banyak menyerap radiasi tenaga haba daripada bumi adalah CFC. CFC pula bertindak dengan gas ozon daripada lapisan ozon dan meyebabkan penipisan lapisan ozon. Lapisan ozon bertindak melindungi kehidupan bumi daripada radiasi merbahaya seperti sinaran ultra lembayung (UV)B. Penipisan lapisan ozon seterusnya akan menyebabkan radiasi sperti UVB sampai ke bumi dan akan menyebabkan peningkatan dalam kanser kulit dan penyakit mata.

Apakah akibat pemanasan global?

o Cuaca dan iklim bumi sangat dipengaruhi oleh perbezaan suhu dan kandungan wap air. Peningkatan purata suhu atmosfera bumi akan mengubah cuaca (climate change) di bumi. Pemanasan global juga akan menyebabkan pencairan ais dan glasier di kawasan Artic dan Antartika. Ini akan menyebabkan peningkatan dalam aras laut. Kawasan-kawasan dan bandar-bandar tepi laut seperti New York dan Rotterdam sudah mula mengalami kenaikan aras laut. Negara-negara pulau (island states) seperti Vanuatu telah kehilangan beberapa pulau-pulau kecil akibat kenaikan aras laut.




o Ada juga jangkaan bahawa perubahan cuaca akan mempengaruhi kekerapan dan ‘intensity’ribut. Salah satu contoh adalah kekuatan dan kebinasaan yang disebabkan oleh rebut Katrina di Amerika Syarikat pada tahun 2005 dan banjir yang dialami di Malaysia di hujung tahun 2006 hingga awal tahun 2007.


o Mengikut model matematik perubahan cuaca suhu purata global akan meningkat 1 hingga 2 darjah Celcius pada tahun 2030 disebabkan peningkatan dalam pelepasan gas-gas rumah hijau.

o Adalah dijangka dengan perubahan cuaca, kawasan-kawasan di utara
Khatulistiwa akan menjadi lebih panas dan tempoh musim sejuk akan berkurang. Negara-negara di selatan Khatulistiwa pula akan menjadi lebih panas dan suhu musim kemarau akan meningkat. Tempoh kemarau juga akan berpanjangan. Dengan itu adalah dijangka kawasan-kawasan seperti ini akan mengalami kekurangan bekalan air. .



o Perubahan cuaca bumi akan menyebabkan perubahan dalam kandungan
kelembapan tanah dan seterusnya perubahan dalam jenis tumbuhan yang sesuai untuk ditanam. Ini akan mempengaruhi industri pertanian sesebuah negara. .

o Peningkatan purata suhu global, perubahan cuaca dan peningkatan aras laut akan menyebabkan perubahan dalam kehidupan manusia. Negara-negara yang kaya dijangka berupaya menangani masalah-masalah yang akan timbul. Negara-negara miskin dijangka akan menghadapi masalah yang lebih ketara. .



Apakah gas rumah hijau atau ‘green house gases’?

o Gas-gas rumah hijau adalah gas-gas yang menyerap sinaran daripada matahari dan mengeluarkan semula sinaran tersebut dan jika terlalu banyak gas-gas tersebut di atmosfera, suhu purata atmosfera bumi akan meningkat. Contoh-contoh gas tersebut adalah, karbon dioksida, karbon monoksida, CFC dan nitrus oksida. .

Bagaimanakah gas rumah hijau ini bertindak menyebabkan pemanasan global?

o Gas-gas ini akan menyerap dan memerangkap sinaran daripada matahari ke bumi dan mengeluarkan semula sinaran tenaga tersebut. Gas-gas ini juga memerangkap sinaran tenaga haba daripada bumi. Pemerangkapan tenaga haba oleh gas-gas rumah hijau ini menyebabkan peningkatan purata suhu atmosfera bumi secara global. .

Apakah sumber-sumber gas rumah hijau?

o Pembakaran sumber tenaga fosil seperti arang batu dan petroleum menyebabkan pengeluaran sebanyak 5.4 billion tan metric gas karbon dioksida (CO2) setahun. Penebangan hutan pula menyebabkan pengeluaran sebanyak 1.6 billion tan metrik karbon dioksida setahun.


o CFC yang digunakan dalam pengawalan suhu, cat dan sebagai ‘propellant’ dalam tin aerosol adalah gas yang sangat memudaratkan. Disamping bertindak sebagai agen dalam pemanasan global, ia juga bertindak dengan ozon pada lapisan ozon stratosfera. Ini menyebabkan penipisan lapisan ozon dan seterusnya membenarkan kemasukan sinaran ultra ungu B (UVB) yang membahayakan sel hidup. .

Bagaimanakah saya sebagai pengguna dapat mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau?

o Oleh kerana sebahagian besar jumlah gas-gas rumah hijau di atmosfera
disumbangkan oleh aktiviti manusia, kita sebagai pengguna harus
memberhentikan penggunaan bahan yang mengandungi CFC. Apabila membeli tin-tin aerosol, baca label dan pilih produk dalam tin aerosol yang tidak menggunakan CFC. .

o Kebanyakan pengeluaran ‘athropogenic’ gas-gas rumah hijau adalah disebabkan pembakaran bahan api fosil seperti arang batu dan petroleum. Oleh kerana itu sebagai pengguna kita harus mengurangkan permintaan terhadap bekalan elektrik dengan mengamalkan penjimatan bekalan elektrik. Ubah cara hidup kita untuk mengurangkan pergantungan kepada pengangkutan – seperti memandu ketika kurang kesesakan lalulintas, pastikan kenderaan diselengara mengikut kekerapan tertentu. Anda juga boleh mengurangkan pergantungan kepada kenderaan persendirian dan menggunakan pengangkutan awam dan berjalan atau berbasikal untuk perjalanan jarak dekat. .

o Kurangkan penjanaan sampah dan pastikan sampah dibuang dengan
bertanggunjawab. Pereputan sisa-sisa organik mengeluarkan gas-gas rumah hijau seperti metana. .

o Kita harus membeli dan seterusnya menggalakkan penggunaan produk kayu-kayan, di mana sumber kayu untuk produk-produk sedemikian datang daripada hutan yang diurus secara lestari dan mengamalkan penanaman semula hutan. .

o Secara keseluruhan kita harus menggunakan sumber-sumber bumi dengan penuh bertanggungjawab. Fikir dahulu sebelum guna / membeli. .

Apakah yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau?

o Di peringkat negeri pelbagai undang-undang boleh digubal untuk mengurangkan pembalakan dan penebangan hutan. Pengurusan hutan yang lestari juga harus diamalkan. Pembalakan dan industri berasaskan sumber –sumber hutan harus mengikuti garis panduan yang telah dibangunkan untuk tujuan pembangunan industri berasaskan hutan secara lestari. Contoh-contoh garis panduan tersebut adalah seperti pensijilan FSC (Forest Stewarship Council). .

o Di peringkat kebangsaan dan dengan kerjasama kerajan negeri dan tempatan pelbagai usaha-usaha pemantauan dapat dilakukan untuk mengalakkan industri-industri menggunakan peralatan seperti motor yang efisien dan mengurangkan penggunaan tenaga elektrik. .

o Infrastruktur dan sistem pengangkutan awam harus diperluaskan ke kawasan perumahan supaya penggunaan kereta persendirian juga boleh dikurangkan. Sistem pengangkutan awam juga harus selamat untuk pengguna, terutamanya bagi kaum wanita. .

o Kerajaan juga boleh menjadikan pelabelan kecekapan tenaga bagi peralatan eletrik seperti lampu, peti sejuk dan lain-lain perkakas elektrik wajib atau mandatori. Seterusnya mengenakan tindakan untuk mengelakkan penjualan perkakas elektrik yang tidak mempunyai label atau penyalahgunaan label-label tersebut. .

o Pihak kerajaan juga harus meningkatkan kajian terhadap penggunaan sumber tenaga alternatif yang boleh diperbaharui bagi pengangkutan dan penjanaan tenaga elektrik. Kita harus mengurangkan pergantungan terhadap bahan api fosil." .

Sumber asal
dari sini.

No comments:

Post a Comment