Monday, July 06, 2009

Pak Hameed nak tumpang pergi Sepang!

Pak Hameed nak tumpang pergi Sepang!

Malam tadi aku dan orang rumah aku seorang itu sampai rumah di Kamunting jam hampir 9 malam. Masa buka pintu pagar aku disapa jiran yang baru balik surau. Lewat pula dia ini balik surau. Biasanya Ahad malam Isnin tak ada Tok Guru.

Baru nak kunci pintu pagar dengar sayup-sayup bunyi motor Ajij menghala ke rumah. Rezeki kenduri Masjid Kamunting lagi ke malam ini?

”Saya dah dua kali datang rumah abang.” Ajij ini rasanya hanya muda setahun dari aku tapi dia memang berbahasa aku abang dari dulu lagi.

”Kenapa Ajij?”

”Pak Hameed cari abang. Dia nak tahu abang pergi Trek Sepang tak hujung minggu ini. Kalau abang pergi dia cadang nak tumpang abang.”

La, bila pula Pak Hameed minat racing? Entah-entah dah mula minat ”umbrella girl’ pula. Buang terbiat ke Pak Hameed ini.

Pak Hameed ini aku kenali semenjak pertengahan 90an. Semasa itu aku masih bujang dan tinggal di perumahan Desa Jana. Hampir setiap petang Pak Hameed bersama-sama beberapa geng Tabligh lagi akan menghujungi rumah ke rumah di perumahan Desa Jana ini. Ada saja yang di-tazkirah-kannya!

Mulanya aku memang menyorok kalau nampak geng Tabligh! Duduk diam-diam dalam rumah. Salamlah sepuluh kali pun tak menjawab aku!

Lama kelamaan aku berkawan dengan Pak Hameed. Sebelum ini aku sering dimomokkan dengan geng Tabligh yang ”merempat” di surau, kebersihan tidak dijaga dengan seluar dalam disidai merata, pinggan mangkuk yang diguna dicuci ala kadar dan sebagainya. Permergian mereka meninggalkan anak-isteri di rumah tanpa sebarang bekalan nafkah zahir dan batin. Tetapi perkenalanan aku dengan Pak Hameed merubah pandangan aku terhadap geng Tabligh.

Pak Hameed walaupun bergeladangan tiada rumah tetap untuk diinap tetapi pakaiannya baju Melayu dan Kain Palekat bersarungkan Seluar Panjang sentiasa bersih, berbau wangi dan kerap bersalin. Begitu juga dengan beg pakaian kecil yang sentiasa dibawa dalam bakul basikal tuanya itu.

Rupa-rupanya setiap kali dia membersihkan bilik air dan tandas masjid atau surau yang dia menginap, dia akan mengambil kesempatan membasuh kain bajunya untuk disalin. Begitulah ”pembayaran” duit sewa tempat penginapanya untuk bermalam di mana-mana masjid atau surau sekitar Taiping dan Kamunting serta kadang-kadang ”keluar kawasan” hingga ke Bukit Gantang dan Changkat Jering.

Melalui Pak Hameed jugalah aku mengetahui lebih mendalam pergerakan Tabligh ini yang sering disalah-ertikan oleh masyarakat. Banyak pergerakan dakwah mereka tidak difahami masyarakat. Walaupun mereka ini selalu ”keluar berdakwah”, tanggungjawab duniawi tidak mereka lupakan.

Berbalik kepada Pak Hameed.

Keluarga Pak Hameed? Memang Pak Hameed ada berkongsi cerita tentang ”kesilapan” yang telah dilakukannya semasa beliau masih muda dan bertugas sebagai anggota polis dahulu. Biarlah cerita itu hanya di antara Pak Hameed dengan aku.

Persahabatan Pak Hameed dengan aku memang unik. Setiap kali berjumpa dengannya, selepas ala-kada menjamu selera, inilah doa yang akan dibacakan dan diaminkan olehnya.

”Ya Allah, ya Tuhanku! Murahkan rezeki anakku ini. Limpahkan kekayaan kepadanya semoga dia boleh belanjakan ke jalan yang diredhaiMu. Rahmatilah kesihatannya semoga dia boleh berbakti kepada pekerjaan yang diredhaiMu. Amin.”

Di samping itu nasihatnya yang tidak pernah dilupakan setiap kali berhubungan dengan aku ialah; Taatilah dan sayangi ibubapa semasa mereka masih hidup. Jagalah dan limpahkan kasih sayang kepada isteri dan anak.

Pagi tadi aku keluar melilau mencari Pak Hameed. Biasanya kalau tak ada di Masjid Kamunting, dia ada di Masjid Maimon, Kampung Pinang. Sesekali dia ada di Masjid Tabligh berhadapan Sekolah TMGS Taiping.

Akhirnya aku berjumpa Pak Hameed di Masjid Tabligh ini.

Rupa-rupanya dia berhajat untuk menyertai Ijtimak Tabligh Sedunia akan diadakan di tapak berhampiran masjid Kuaters KLIA 9-12 Julai 2009 di Sepang. Ijtimak ini melibatkan 100,000 orang lebih ahli jemaah Tabligh seluruh dunia. Perhimpunan para pendakwah sedunia adalah perhimpunan kedua terbesar selepas wukuf di Arafah. Di Ijtimak India dan Pakistan sebelum ini anggaran yang hadir melebihi sejuta umat Islam dari seluruh dunia.

Kebetulan pada hujung minggu ini ada Cub Prix di Litar Sepang. Mungkin kerana inilah Pak Hameed menganggap aku akan ke Sepang.

Bagaimanapun hajat Pak Hameed untuk berpergian bersama aku ke Sepang tidak dapat ditunaikan. Aku terlibat dengan satu khemah kerja bina diri kanak-kanak di Taiping di sepanjang hujung minggu ini.

”Tidak mengapalah Tuan. Pak Hameed tumpang kawan lain saja untuk ke sana. Pak Hameed doakan amalan Tuan dengan kana-kanak ini berjaya dan diberkati Allah, amin”, sayup saja bunyi suara Pak Hameed yang sememang membahasakan diri aku ”tuan” walaupun sudah banyak kali aku membantahnya.

Terasa sedih pula aku kerana tidak dapat membantu Pak Hameed.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/


No comments:

Post a Comment