Sunday, July 05, 2009

Warung Z-J Bahagia di Permatang Tok Kandu, Seberang Prai






Warung Z-J Bahagia di Permatang Tok Kandu, Seberang Prai

(Selepas makan Ikan Bakar Din Kepala Batas, kami tiga beranak merumuskan Ikan Bakar Tasek Raban dan Ikan Bakar Warung Z-J Bahagia di Permatang Tok Kandu, Seberang Prai lagi mengancam. Rasanya perencah perapan pada ikan, sotong, udang, ayam dan daging yang membezakan kesedapan ikan bakar di warung masing-masing.

Klik di sini untuk satu lagi posting menarik Ikan Bakar Din dalam Bahasa Inggeris)

Warung Z-J Bahagia di Permatang Tok Kandu ini lebih dikenali dengan Warung Ikan Bakar Masjid Batu atau Warung Ikan Bakar Permatang Tok Kandu. Warung ini dibuka setiap hari kecuali Selasa. Waktu operasinya seawal 7 pagi hingga 5 petang. Walaupun begitu menu penuh seperti di dalam gambar boleh mula dinikmati seawal 11 pagi.

Landmark warung ini ialah kedudukannya di sebelah kawasan perkuburan Masjid Batu. Berhampiran dengan Masjid Batu ini juga terdapat sebuah masjid di seberang jalan iaitu Masjid Papan.

Selain ikan bakar pelbagai jenis, terdapat sotong, ayam dan daging bakar bercecahkan air asam. Rasanya Air Asam di sini lebih menyelerakan jika dibandingkan dengan Air Asam Ikan Bakar Din Kepala Batas.

Selain lauk yang dibakar, menu-menu lain tak kurang hebatnya. ”Sampai tak muat meja”, kata pelayan warung.

Pelbagai menu lauk-pauk serta makanan laut seperti ketam, udang, lala dan siput. Begitu juga dengan pelbagai masakan sayur dan ulam-ulam kampung. Salah satu menunya yang menjadi pilihan utama anak jantan seorang saya itu ialah ”Coleslaw”.

Bagaimanapun kalau mengajar di Prai, seboleh-bolehnya saya mengelak untuk menjamu selera makan tengahari di sini bersama-sama pelajar saya. Ini kerana ramai yang hendak membayarnya!. Malah telah menjadi kebiasaan saya tidak akan makan tengahari pada hari saya mengajar sama ada di Prai atau KL setelah ”heavy breakfast” di hotel di awal paginya.

Menu ringkas yang saya pernah makan di sini pada awal tahun ini ialah sepinggan Nasi setengah, seekor Ikan Kembung Bakar, Anak Tamban Goreng, Ulam Bendi dan Petai Rebus, Sambal Belacan dan Air Asam. Harganya RM 5.20 tidak termasuk minuman.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Posting akan datang :-

Makan Sotong Janggut dan Kari Kepala Ikan Bawal di Warung Permai Tepian, Kampung Pertama, Seberang Prai
.





























No comments:

Post a Comment