Friday, March 12, 2010

Bukit Larut; akan ku kota janjiku!



















Bukit Larut; akan ku kota janjiku!

Berbekalkan berjalan kaki 4 km selama tiga minggu berturut-turut bulan lepas mengelilingi Taman Tasek Taiping, pagi tadi aku mendaki Bukit Larut. Sebenarnya pagi semalam rancangan asal. Entah “mengkarung” jenis apa dan dari mana datangnya yang “menarik” betis aku malam sebelumnya hingga ke tengahari terasa sakitnya.

Jadi pagi tadi selepas sahaja menghantar anak jantan seorang aku itu ke sekolah dan peluk-cium mengiringi isteri seorang aku itu ke tabikanya, aku menuju ke Bukit Larut.

Rupanya masih ramai pekerja Pejabat Daerah yang menyenggarakan Bukit Larut ini mengenali aku walaupun rasanya sudah bertahun-tahun tidak mengunjunginya. Pemandu-pemandu Land Rover Defender 110 sedang sibuk memeriksa kenderaan masing-masing sementara menunggu trip pertama pendakian mereka bermula pada pukul 8.00 pagi.

Hajat besar di hati hendak mendaki menggunakan laluan pintas jalan denai tapi tanah yang basah dek embun dan tapak kasut jogging aku yang agak haus menyukarkannya. Biasanya aku mendaki menggunakan jalan denai dan menuruninya kelak menggunakan jalan bertar. Minggu depan aku mesti pakai kasut hiking aku.

Mungkin kerana lama tidak mendaki, perjalanan baru bermula tapi aku sudah terasa penatnya. Agak-agak sampai tak ke Pondok 1 iaitu hanya 1 ½ km dari kaki bukit. Itulah yang bermain-main di kepala aku.

Langkah semakin perlahan. Rasanya baru 3 selekoh pertama, maknanya baru setengah km berjalan.

Sudah ramai pendaki termasuk yang berumur lanjut memotong aku seorang demi seorang. Egoku sudah tercabar. Apatah lagi ada di antara mereka ini menegurku bertanyakan ke mana menghilang selama ini. Aku hanya tersenyum. Tidak mampu menjawab kerana kemengahan!

Akhirnya aku sampai ke satu selekoh tajam dan curam yang aku pasti tinggal hanya dua atau tiga selekoh lagi akan ternampaklah Pondok 1. Di sini aku terduduk. Apabila terdengar bunyi kenderaan ataupun tapak kaki pendaki lain, aku bingkas bangun kemaluan!

Jauh bezanya pada 10 tahun lalu, setakat Pondok 2 iaitu 3 km dari kaki bukit ataupun kaki Air Terjun selepas Pondok 2 itu begitu mudah sekali aku mendakinya. Setiap petang Rabu selepas habis kerja di Kilang Tayar di Kamunting itu pasti aku ke sini.

Bagaikan langit dan bumi pada 15 tahun dahulu, Pondok 3 (5 km) dan Tea Garden (6 km) juga tidak terasa penatnya. Sementelah pendakianku ditemani oleh ehem-ehem yang bekerja sekali! Sambil mendaki kami berbual pelbagai topik, tanpa disedari satu demi satu pondok dilepasi!

Dulunya juga kalau di hujung minggu, kalau tiada aktiviti motorsport di luar kawasan, aku akan mendaki hingga ke puncak setinggi 13 km. Mendaki seawal 7 pagi dan tiba sekitar tengahari. Ambil angin sejam dua ataupun melelapkan mata beralaskan rumput biasanya di Taman Base (semasa perjalanan turun), barulah terfikir untuk turun ke kaki bukit.

Pernah juga aku dan beberapa teman berkhemah di Gunung Hijau. Ketika itu (rasanya penghujung 90an), kami terpaksa memikul bekalan air bersih untuk minuman dan memasak kerana tiada bekalan air di sana. Tidak pasti statusnya sekarang ini.

Rasanya pendakian aku hari ini (pada umur 42 tahun!) hanya mencapai ketinggian 1 km dari kaki bukit. Kemudian turun sejauh 1 km lagi. Maknanya hanya ber-exercise 2 km!

Berdikit-dikit lama jadi bukit. Minggu depan (atau minggu sekali lagi!), akan ku daki sekurang-kurangnya hingga ke Pondok 1.

Bukit Larut; akan ku kota janjiku!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Catatan

Aku pernah menulis mengenai Bukit Larut ini dalam forum (Bahasa Inggeris) TaipingTalk. Tulisan ini dibuat melalui Pejabat Daerah yang menyediakan seorang pemandu khas untuk membawa aku menjelajah ke semua tempat dan rumah-rumah penginapan yang ada di atas Bukit Larut termasuklah tempat-tempat larangan seperti Kawasan Pemancar dan sebagainya.

Sedikit mengenai Bukit Larut.

Bukit Larut, dahulunya dikenali sebagai Bukit Maxwell telah dibuka lebih 100 tahun dahulu oleh George Maxwell, Residen British di Perak dan merupakan Bukit Peranginan tertua di Malaysia.

Tingginya 1,250 meter dari paras laut dan jauhnya sekitar 13 km dari kaki bukit. Jalan bertarnya telah dibina selepas perang tahun 1948.

Terdapat 108 selekoh dengan 72 selekoh tajam. Perjalanan menggunakan Land Rover mengambil masa 30 minit untuk sampai ke Stesen Atas iaitu 1,036 meter dari paras laut.

Tambang Land Rover ke Stesen Atas (dan Banglo Beringin/Permai View) ialah RM 6.00 Dewasa / RM 3.00 Kanak-kanak. Manakala ke Banglo Angkasa, Cendana, Tempinis, Gunung Hijai dan Nest ialah RM 7.00 Dewasa / RM 4.00 Kanak-kanak.

Sebuah Land Rover hanya boleh dinaiki seramai 11 orang. Sewa trailer untuk mengangkut barang-barang ialah RM 15.00.

Perjalanan mendaki Land Rover ialah setiap satu jam bermula 8.00 pagi dengan perdakian terakhir pada 3.00 petang. Manakala perjalanan menurun juga setiap satu jam bermula 8.00 pagi dan penurunan terakhir pada 4.00 petang.

Kadar sewaan banglo dengan kemudahan memasak seperti berikut:

Nama Banglo / Jumlah Bilik / Jumlah Orang / Ketinggian (m) / Kadar Sewa

Bukit Larut/4/10/1,036m/RM 120.00
Beringin/2/10/1,036m/RM 200.00
Tempinis/4//10/1,143m/RM 180.00
Gunung Hijau/4/10/1,113m/RM 120.00
Permai View/3/10/1,034m/RM 150.00

Terdapat Banglo Sri Kayangan khas untuk VIP dan Tapak Perkhemahan di Gunung Hijau yang perlu mendapat kebenaran daripada Polis dan Jabatan Hutan.

Suhu waktu siang 15 darjah Celcius dan sekitar 10 darjah Celcius pada waktu malam. Ini membolehkan tanaman Strawberry dan Tulips hidup segar di sini. Terdapat penguasa Bunga Tulips di sini iaitu Syarikat Bunga Mekar (05-8066 789) yang turut menyediakan banglo untuk disewa.

Untuk pertanyaan lanjut dan tempahan banglo penginapan, hubungi: 05-8077 241 / 05-8077 243.






























Tuesday, March 09, 2010

Bukan untuk mengaib! Jauh sekali bersifat dengki


Bukan untuk mengaib! Jauh sekali bersifat dengki

Sama ada melalui blok OKOB ini ataupun blog OSH The Journey, agak kerap aku memberi kritikan yang lebih bersifat membina ataupun menampakkan ruang untuk penambahbaikan. Sasarannya pula tidak memilih, dari kedai makan, pusat servis perkhidmatan dan sebagainya.

Sehingga kini pelbagai restoran dan kedai makan telah ditegur, dipuji dan dikritik. Perkhidmatan pula dari pusat servis kereta (Perodua Kamunting dan Proton Edar Juru), pusat perkhidmatan pengguna lain (KLIA dan Plus) dan juga hospital (Klinik Kesihatan Taiping).

Hampir kesemuanya memberi maklumbalas positif sama ada dari pihak pengurusan sendiri ataupun dari pemilik peniagaan sendiri. Ada juga dari mereka yang hanya pekerja ataupun yang tidak terlibat secara dengan organisasi-organisasi ini. Kebanyakannya mereka ini berterima kasih dan menyatakan kesediaan mereka untuk menambahbaikan segala kekurangan yang ditegur. Syabas kepada organisasi-organisasi sebegini!

Bagaimanapun ada juga organisasi yang langsung tidak memberi maklumbalas sama ada mereka enggan melayan blog "kecil" ini ataupun sememangnya teguran-teguran itu tidak kesampaian (atau tidak disampaikan) kepada mereka ini. Antaranya ialah Plus dan Proton Edar Juru.

(Klik di link berikut untuk teguran-teguran sebelum ini kepada Proton Edar Juru; 26 Oktober 2009, 6 Mei 2009, 26 Disember 2008, 25 Disember 2008, 20 Disember 2008, dan 17 Disember 2008)

Sama ada kebetulan ataupun sememangnya akibat teguran aku itu, dari sehari ke sehari pelbagai penambahbaikan terujud di Proton Edar Juru ini.

Kemuncaknya pada dua hari lepas sewaktu aku menghantar ke sekian kalinya Pesona untuk diservis.

Kemunculan aku disambut dengan Perunding Servis yang lengkap bertali-leher. Sebelumnya mereka hanya berseragam. Kemudian dipersilakan menunggu di ruang menunggu yang terdapat ruang dinding berkaca untuk melihat kenderaan yang sedang diservis, juga terdapat akhbar harian untuk dilengah-lengahkan masa serta air panas dengan serbuk Nescafe dan Kopi untuk membasahkan kerongkong.

Tidak pasti bilakah kempen senyum dan santun ini bermula, Perunding-perunding Servis sememangnya begitu "mesra pelanggan". Bukan setakat dijemput tetapi diiringi pulang ke kenderaan dengan dibimbit kesemua maneka buah tangan, buku panduan servis dan sebagainya. Akhir sekali dihidupkan enjin dan dibiarkan seketika hawa dingin menderu keluar sebelum dipersilakan masuk.

Kesemuanya begitu jauh berbeza dengan pengalaman awal yang aku alami sebelum ini.

Semoga perkhidmatan sebegini dikekalkan. Orang berbudi kita berbahasa. Orang memberi kita berterima kasih. Orang berpekerti kita menghargai.

Bagaimanapun seperti dinyatakan di awal posting ini, teguran aku bukanlah untuk mengaib, jauh sekali bersifat dengki.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Gadis cilik penjual Nasi Lemak Daun Pisang


Gadis cilik penjual Nasi Lemak Daun Pisang

Petang tadi dalam perjalanan pulang dari Sintok ke Taiping semasa melalui Prai, aku tertiba ingin menjamah Ketiaw Goreng dan Capati Dil Rubah di Medan Selera Jalan Tenggiri. Kalau ada Nasi Lemak Daun Pisang yang dijual Gadis Cilik di situ mau juga dibeli sama.

Dari jauh lagi aku sudah terlihat kelibat Gadis Cilik ini yang lincah jemarinya membungkus Nasi Lemak dalam Daun Pisang.

Seingat-ingat aku, aku mula membeli Nasi Lemak Daun Pisang ini semenjak tahun 2006 iaitu ketika aku mula mengajar di Prai ini. Ketika itu Gadis Cilik ini rasanya masih bersekolah rendah. Ketika itu dia hanya penunggu deretan Nasi Lemak-Nasi Lemak yang sudah siap berbungkus yang pastinya dibungkus oleh orang dewasa yang mungkin juga ahli keluarganya yang terdekat.

Kini Gadis Cilik ini memonopoli dari menjual nasi lemak berbungkus dan juga nasi lemak berlauk lain.

Seperti biasa juga, selain Nasi Lemak Daun Pisang, turut dibeli Ketiaw Goreng dan Capati yang kesemuanya dalam tiga pangku; satu pangku sudah tentu untuk aku, isteri seorang aku itu dan anak jantan seorang aku itu; satu pangku lagi untuk bapa dan mak aku di Kampung Pinang dan satu pangku lagi untuk emak mertua dan adik ipar aku di Rumah Awam Jalan Stesen.

Maklumlah anak yang taat dan juga menantu misali mithali!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Golf dan motosikal



Golf dan motosikal

Cukai import buggy golf dimansuhkan dengan serta-merta; itulah kata Pee Em dua hari lepas.

Aku tidak memusuhi permainan golf ini maupun pemainnya. Tetapi gelagat birokrasi pihak-pihak tertentu yang "memuja-muja" permainan atau sukan golf ini dan memandang rendah tehadap motosikal yang merupakan sistem pengangkutan pilihan rakyat marhaen ini memang menjelekan.

Dahulu semasa aku bersama-sama "berjuang" memohon mendapatkan beberapa pengecualian cukai terhadap beberapa barangan kulit untuk peralatan keselamatan menunggang motosikal (jaket, sarung tangan dan kasut but), pihak-pihak tertentu ini dengan sinis mengatakan peralatan keselamatan menunggang itu tidak boleh dikategorikan sebagai barangan sukan. Sedangkan pada masa sama, kasut kulit khas dan sarung tangan kulit khas untuk "pemainan" dan "sukan" golf ini mendapat pengecualian cukai!

(Status terkini aku tidak pasti!)

Mendengarkan berita cukai import buggy golf dimansuhkan dengan serta-merta menbuatkan aku terfikir siapakah yang akan mendapat keuntungan atau manfaatnya.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

Berita sepenuhnya.

Cukai import buggy golf dimansuhkan
Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 7 Mac - Perdana Menteri hari ini mengumumkan pemansuhan cukai import bagi pembelian baru buggy untuk kegunaan kelab-kelab golf di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemansuhan itu bertujuan membantu pembangunan sukan golf yang semakin diminati pelbagai lapisan masyarakat dengan kelab-kelab golf pada masa sama berupaya meningkatkan lagi kemudahan yang sedia ada.

Selain itu, menurut beliau, langkah itu juga mampu menjana pendapatan negara apabila lebih 200 kelab golf di negara ini berpotensi menjadi destinasi pilihan pelancong asing untuk bermain sukan itu.

"Cuaca negara yang cerah dan panas membolehkan para pemain golf termasuk pelancong luar negara bermain sepanjang tahun, wujudnya lebih 200 kelab di seluruh negara juga menyediakan peluang luas untuk setiap peringkat daripada mereka.

"Sebagai contohnya dalam Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank 2010 sejak empat hari lalu telah disiarkan di lebih 60 buah negara di dunia yang mencatatkan jumlah penontonnya melebihi 1.2 bilion, ia dapat meningkatkan lagi reputasi negara di mata dunia," katanya.

Perdana Menteri berucap sempena majlis penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan itu yang diadakan di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di sini hari ini.

Pemain muda dari Korea Selatan, Noh Seung-yul muncul juara Terbuka Malaysia yang memasuki edisi ke-49 itu dan membawa pulang hadiah wang tunai AS$333,330 (RM1.3 juta).

Difahamkan apabila pemansuhan cukai import itu dilaksanakan, ia akan mengurangkan hampir separuh daripada harga sebenar sebuah kereta buggy.

Tambah Najib, Persatuan Golf Antarabangsa (PGA) telah mengiktiraf Malaysia sebagai destinasi nombor satu untuk sukan golf di rantau Asia Pasifik.

Sepanjang tahun lalu, beliau berkata, negara telah menerima kehadiran lebih 350,000 pemain golf dari luar negara.

"Tahun ini kita menjangka menerima lebih ramai lagi pelancong dari rantau ini seperti China, Korea Selatan, Jepun dan Australia serta Eropah," ujarnya.