Sunday, April 25, 2010

Bekerja dan berlibur bersama keluarga




Bekerja dan berlibur bersama keluarga

Apa yang paling aku suka dengan kerjaya motorsport dan pekerjaan aku sekarang ialah ke mana sahaja aku pergi, Insya-Allah aku akan bawa orang rumah aku seorang itu dan anak jantan aku seorang aku itu. Bagaimanapun selama setahun di Miri dengan hampir dua kali sebulan, aku hanya membawa mereka ke sana pada bulan Disember tahun lepas dan juga di hujung minggu lepas. Di samping kekangan cuti sekolah, tambang udara juga diambil-kira. Begitu juga dengan kerjaya motorsport aku merentasi sempadan Negara Asean hingga ke China, setakat ini aku hanya membawa mereka berdua hingga ke Utara Negara Gajah Puteh sahaja, belum sampai rezeki ke China.

Minggu lepas di Miri dan semalam pula aku di Pulau Pinang bersama mereka. Dalam perjalanan pulang sengaja kami memilih feri yang sudah lama tidak dinaiki.

Di Pulau, sempat juga kami singgah di Chow Rasta membeli Buah Jeruk. Alhamdulillah kini sudah ada penjual seagama yang turut bersama menceburi bidang jualan Buah Jeruk. Walaupun gerai mereka agak terkebelakang tetapi perkhidmatan yang diberikan amat memuaskan.

Walaupun aku malah ahli keluarga yang lain tidak mengemari Buah Jeruk ini, ianya dibeli juga untuk buah tangan jiran tetangga dan kenalan. Sekurang-kurangnya ingatan berpanjangan tetap terjalin.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/





Friday, April 23, 2010

Taare Zameen Par


Taare Zameen Par

Sebak sesebaknya! Pipi terasa panas dengan butiran air mata yang meleleh turun.

Aku baru sahaja selesai menonton filem Taare Zameen Par di Channel Astro 108 Zee.

Setelah disyorkan oleh seorang kenalan dalam blognya, puas sebelum ini aku melilau di kedai-kedai VCD mencari filem ini. Tanpa disangka hari ini Astro menayangkannya. Walaupun terlepas menyaksikan 30 minit awal, aku berpuas hati dapat menontonnya hari ini. Sementelah kebiasaannya pada waktu ini ialah masa perjalanan aku sama ada ke Miri ataupun ke KL.

Kepada yang ingin mengerti dunia kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini, inilah filem yang patut anda tonton.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

Thursday, April 22, 2010

Hebat sehebatnya!



Hebat sehebatnya!

Beberapa bulan lepas aku, orang rumah aku seorang itu dan anak jantan aku seorang itu ke The Curve. Dalam bangunan The Curve semasa perjalanan ke Kedai Buku Borders, kami terserempak dengan sebuah kereta mainan yang dipandu oleh seorang kanak-kanak cilik yang rasanya baru sekitar 1 atau 2 tahun. Terkejut aku melihat kemahiran kanak-kanak cilik ini mengendalikan kereta mainan berenjin itu.

Hebat sehebatnya!

Rupa-rupanya bukan kanak-kanak cilik ini mengendalikannya. Ianya boleh dikawal secara remote. Kelihatan seorang gadis Indonesia, mungkin pembantu rumah kepada keluarga sicilik ini sedang mengendalikan remote control. Gadis ini hanya tersenyum melihatkan aku terpinga-pinga keheranan mengekori kereta mainan sikecil cilik ini.

Hebat sehebatnya! Teringatkan aku dengan berita jet perjuang luar negara yang kini boleh mengebom sasaran tanpa pemandu di dalamnya. Sinis juga apabila aku berkongsi berita ini dengan student di dalam kelas. Seorang student aku dengan yakin-bangganya berkata;

"En. Lukman, hebat lagi kita! Kalau jet dia orang tak ada pilot, jet kita pula tak ada enjin!"

Hebat sehebatnya!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Does anyone not agree with me?

Tuesday, April 20, 2010

Kuih Cincin dari Sarawak



Kuih Cincin dari Sarawak

Selain dari 10 kg Beras Bario, Kuih Cincin yang sudah siap dimasak ini adalah buah tangan yang dibawa pulang dari Miri. Jenuhlah merasa kawan-kawan anak jantan aku seorang itu di sekolahnya hari ini.

Kuihnya rasa biskut manis. Bentuk cincin? Macam Buku Lima ada le!

Dalam posting Disember tahun lepas, ramai yang memberitahu aku Buah Dabai (gambar di bawah) ini tidak dibenarkan dibawa naik kapal terbang, kehairanan juga aku. Puas bertanyakan orang Miri tetapi rata-ratanya tidak mengetahui larangan ini.

Lupa pula nak bertanyakan kepada pihak berkuasa airport. Tapi rasanya bukan buah yang menjadi larangan, sebaliknya tumbuhan ini malah semua jenis tumbuhan lain memperlukan prosedur yang ketat sebelum dibawa keluar dari sesuatu negeri seperti yang dicatat dalam kenyataan di airport.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/



KUCHING, 25 Nov 2008 (Bernama) -- Bagi pakar makanan di Sarawak, merasai buah Dabai yang kaya berkrim dengan tekstur yang lembut walaupun rasanya sedikit masam, adalah bagai menikmati satu rasa yang mula digemari.

Dikenali sebagai 'zaitun Sibu', buah ini adalah dari pokok asli di Sarawak dan boleh didapati di sepanjang tebing sungai di bahagian Sibu, Kapit dan Sarikei.

Memandangkan buah Dabai berpotensi sebagai buah istimewa, Jabatan Pertanian Sarawak yakin buah berkenaan boleh dipasarkan ke luar negara selepas menemui cara untuk mengekalkan kesegarannya.

Ahli agronomi Pusat Penyelidikan Pertanian Semongok, Lau Cheng Youn berkata, menerusi teknik pembekuan, buah yang mudah busuk itu mampu dikekalkan kesegarannya sehingga tujuh hari dan bertahan sehingga satu tahun apabila ditempatkan dalam simpanan sejuk.

"Kami juga sedang bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor untuk mengkaji nilai khasiat buah zaitun tempatan itu, yang juga berpotensi untuk dijadikan sebagai makanan nutrasutikal dan fungsi kerana ia mengandungi anti-oksidan yang tinggi dan nilai tambah yang lain," katanya kepada Bernama di sini.

PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN

Beliau berkata menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berterusan, jabatan itu berharap dapat terlibat dalam usaha mengkomersialkan Dabai sebagai buah istimewa Sarawak, yang boleh mencapai harga antara RM16 dan RM24 sekilogram di bandar besar seperti Kuching.

Pada masa sekarang Dabai berharga separuh daripada itu di Sibu dan Kapit.

Dikenali sebagai "Canarium odontophyllum Miq.", populariti Dabai sebagai buah eksotik dan kesihatan di kalangan penduduk tempatan kian meningkat sejak beberapa tahun lepas dengan jabatan menghasilkan resipi untuk piza, nasi goreng, sayur campur, 'maki' (gulungan rumpai laut kering), jeruk dan pemanis mulut dan sos salad berasaskan buah berkenaan.

Sedap dimakan apabila dicicah sedikit garam atau kicap dan gula setelah direndam dengan air suam kira-kira 10 minit, buah berkenaan kini mendapat tempat sebagai sajian pada banyak majlis rasmi yang diadakan di restoran dan hotel terutama bahagian tengah negeri ini.

KACIP KEKERAS

Dengan menggunakan kacip kekeras buah itu boleh dibelah untuk mendapatkan bijinya, yang rasanya juga sedap seperti kacang segar.

Lau berkata, penemuan baru jabatan itu akan menjadikan buah bermusim itu, yang biasanya ada pada akhir tahun seiring dengan musim durian, kini boleh didapati sepanjang tahun untuk kegunaan tempatan serta eksport ke Semenanjung, Brunei Darussalam dan Singapura.

"Memandangkan buah ini mudah rosak, Dabai kebiasaannya kecut dan kering selepas dua hari tetapi kini kita boleh membelinya dalam kuantiti yang banyak daripada tempatan dan membekalkannya ke pasaran semasa pada luar musimnya," katanya.

"Saya tahu sesetengah penduduk Sarawak, yang menghantar kira-kira 30-40 kg Dabai kepada rakan mereka di China dan Korea," katanya dan menambah bahawa jabatan itu akan meneruskan R&D untuk memperbaiki teknik berdaya komersial untuk menarik pasaran luar negara.

Setakat ini pusat penyelidikan berkenaan, yang memulakan himpunan koleksi 'germaplasma' dan kerja-kerja pemilihan yang pelbagai untuk mengenal pasti pokok Dabai yang mempunyai kualiti buah yang terbaik sejak 1980-an, telah menghasilkan dua klon istimewa, yang dinamai 'Laja' dan 'Lulong', untuk penanaman secara komersial.

"Ia adalah satu tugas yang rumit kerana untuk membiakkan pokok Dabai adalah amat sukar. Ia melibatkan banyak lawatan mencabar ke ladang di kawasan pedalaman di mana buah-buahan itu ditanam," katanya.

Klon pokok berkenaan mula berbuah selepas lima tahun ditanam, dengan hasil pertama kira-kira 10 kg setiap pokok. Ia kemudian meningkat sehingga antara 80 kg dan 100 kg setiap pokok selepas ia mencapai usia 10 tahun.

Baru-baru ini, pelawat ke Agro Fest Sarawak 2008 di Stadium Tertutup Negeri berpeluang merasai buah Dabai yang dipamerkan di gerai jabatan berkenaan.

-- BERNAMA

Monday, April 19, 2010

Minum petang dalam kereta







Minum petang dalam kereta

Mungkin masih kenyang makan tengahari dalam flight dari Miri ke KLIA, aku, orang rumah aku seorang itu dan anak jantan aku seorang itu membuat keputusan hanya untuk berenti membeli bungkus Pisang Goreng, Laksa dan Air Kelapa Pandan di Tapah berhadapan Restoran Mee Rebus Tapah.

Selepas membayar tol di Susur Keluar Tapah dan sebaik sahaja membelok ke kanan di persimpangan traffic light, kami terkejut melihat gerai-gerai favourite minum petang kami sudah tidak kelihatan, sedangkan minggu lepas ianya masih tersergam di situ di seberang jalan SK Datuk Kelana ini.

Rupa-rupanya gerai-gerai ini telah berubah tempat berhadapan rumah kedai sekitar 10 meter dari tapak lama mereka.

Bagaimanapun hanya 2 gerai sahaja yang beroperasi iaitu Pisang Goreng dan Kelapa Pandan. Tidak pasti mengapa gerai Laksa tidak kelihatan.

Mengidam Kempunan lagi nampaknya orang rumah aku seorang itu nak merasa laksa di sini!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

Sunday, April 18, 2010

Laksa Sarawak




Laksa Sarawak

Penuh dan padat jadual aku di Miri minggu ini. Dalam pada itu sempat juga aku bawa orang rumah seorang aku itu dan anak jantan seorang aku itu ke beberapa tempat di Miri ini.

Kami juga berkunjung ke rumah seorang kenalan dari Semenanjung yang kini rasanya sudah jadi Orang Sarawak. Asalnya berjanji akan sampai jam 4 petang tetapi kami awalkan sejam.

Sengaja kami elakkan waktu tengahari atau malam kerana pasti orang rumah kenalan ini akan menyediakan makanan berat. Itupun sempat juga mereka menyediakan Laksa Sarawak. Mungkin kerana terawal dan kami pula terpaksa bergegas pulang ke hotel untuk urusan lain, Laksa Sarawak yang dijamu tanpa sambalnya.

Di samping itu seperti di
kunjungan Disember lalu, kami juga dibekalkan pulang dengan beberapa buah tangan.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Sekeluarga di awan biru



Sekeluarga di awan biru

Sebentar tadi kami sekeluarga, aku, orang rumah seorang aku itu dan anak jantan seorang aku itu di awan biru hitam (bukan kabus hitam di Eropah!) tapi kelam malam dalam penerbangan MAS dari KLIA ke Miri.

Kebetulan Isnin ini Public Holiday di Taiping Perak, petang Jumaat lagi aku sudah angkut orang rumah seorang aku itu dan anak jantan seorang aku ke KL. Petang tadi pula selepas kelas di Bangi, aku angkut pula mereka ke Miri untuk kelas di sana hari Ahad.

Hari Jumaat tersebut sempat juga aku ziarah
mantan Pengetua sekolah aku yang terlantar uzur di Tanjung Malim sebelum berhenti makan malam di Yik Mun. Mamat Indon pekerja kaunter senior di Yik Mun yang hafal benar menu favourite kami tiga beranak awai-awai lagi memaklumkan harga makanan gorengan sudah berganjak naik dari RM 5.90 ke RM 6.50! Itu baru gaji polis naik RM 200.00, belum lagi gaji posmen naik Julai ini!

Ketika ini (1.15am) di dalam bilik Hotel Mega, Miri, anak jantan seorang aku itu sedang asyik mengikuti game bola Chelsea vs. Tottenham. Kawan tengah risau sebab Chelsea telah ketinggalan 0-1.

Rasanya biarlah aku dengar saja darinya keputusan penuh pagi esok!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Sedang nak off laptop terdengar anak jantan seorang aku itu mengeluh; kena lagi Chelsea!

Friday, April 16, 2010

Siri bercakap dengan Daun Pisang




Siri bercakap dengan Daun Pisang

Siri bercakap dengan Jin makan-makan dengan Daun Pisang bersambung kembali. Kali ini menu Capati Daun Pisang.

Kelebihannya pinggan pelapik makanan pakai buang. Tak payah basuh! Bila tak payah basuh, tak pakai serbuk atau cecair pencuci. Tak tercemar longkang. Tak tercemar sungai. Tak tercemar laut. Jadi tak terjejas ekologi kehidupan dan tumbuhan air.

Bila guna Daun Pisang, akan Pergi Hijau Go Green. Daun Pisang ini boleh lupus. Tak macam bekas Poly. Ini sudah kira kitar semula.

Ada tertibnya bila makan guna Daun Pisang ini.

Bila sudah dihidang dan diletakkan mangkuk bertingkat bersusun besebelah dan periuk favaourite Cap Buaya stainless steel itu, kena ceduk kesemua maneka yang ada di dalamnya dan disusun sama ada atas, tengah, tepi atau bawah Capati.

Kalau berhidang, tunjuk 1 jari ke syiling langit dan pusingkan sama ada mengikut jam atau lawan jam sambil berkata; Semua taruk Ane! atau version lain; Semua taruk Aci!. Kalau ada jodoh, boleh bersuara; Semua taruk Minachi!

Lepas makan jangan lupa lipat Daun Pisang itu. Semasa lipat tekan dengan jari pada pelipat untuk memastikan helaian Daun Pisang yang terlipat itu tidak terbuka semula.

Maka lengkaplah kitaran Pelapik Makanan Pakai Buang ini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Siri akan datang; Nasi Daun Pisang, Rasem dan Thiru.

Thursday, April 15, 2010

Sejarah perlu tepat dan tetap






Sejarah perlu tepat dan tetap

Agak terkejut apabila membaca liputan dalam Kosmo 13 April 2010 dengan tajuk Ikon Pulau Mutiara berusia 25 tahun.

Dalam satu perenggannya tertulis;

"Pasti ramai yang tahu sejarah pembinaan jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga terpanjang di dunia itu. Ia bermula daripada idea mantan Ketua Menteri Pulau Pinang kedua, Tun Dr. Lim Chong Eu.

Semasa mentadbir Pulau Pinang dari tahun 1969 hingga 1990, Chong Eu masih menyimpan hasrat untuk mengekspresikan ideanya sehinggalah pada tahun 1985, impiannya menjadi kenyataan."


Dalam perenggan yang lain pula tertulis;

"Dari perspektif sejarah, idea pembinaan jambatan diilhamkan oleh Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dan beliau juga bertanggungjawab membuat perlaksanaan awal projek tersebut pada awal tahun 1970-an."

Ada pula perenggan lain yang tertulis;

"Pembinaannya dirancang semasa penadbiran Perdana Menteri Ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn lewat tahun 1970-an."

Manakala kaitannya dengan Tun Dr. Mahathir pula tertulis seperti berikut;

"Pada tahun 1982, Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara rasminya menanam cerucuk pertama Jambatan Pulau Pinang bagi menandakan bermulanya pembinaan projek bersejarah itu.

Pada 3 Ogos 1986, Tun Dr. Mahathir Mohamad merasmikan Jambatan Pulau Pinang dengan menaiki Proton Saga berwarna merah."


Semoga selepas ini fakta yang telah dilaporkan oleh Kosmo ini tidak akan berubah kerana sebelum ini ada yang mengaitkan beberapa mercu tanda Malaysia ini adalah idea Tun Dr. Mahathir seperti Putrajaya, KLCC, Proton dan juga Jambatan Pulau Pinang itu juga.

Posting ini bukannya berniat untuk menafikan sumbangan Tun Dr. Mahathir yang sememangnya tiada galang-gantinya tetapi sejarah perlu tepat dan tetap faktanya.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Rencana penuh.

Ikon Pulau Mutiara berusia 25 tahun
Kosmo, 13 April 2010

SEBELUM ada jambatan, dalam sebulan mungkin sekali sahaja kami pergi ke Seberang (Tanah Besar). Itu pun kalau ada perkara penting yang perlu diselesaikan.

"Pada masa itu, kalau hendak naik feri kami terpaksa tunggu lebih dua jam disebabkan terlalu sesak manakala perjalanannya pula memakan masa kira-kira satu jam."

Cerita Mohd. Don Alfian Yacob, 51, itu cukup untuk menggambarkan betapa sukarnya perhubungan penduduk Pulau Pinang sebelum jambatan yang menghubungkan pulau dan tanah besar wujud.

Seperti generasi seusianya, untuk berulang-alik dari dan ke seberang pada hari yang sama adalah sesuatu yang memeritkan.

Malah, katanya, pernah suatu ketika dia terlihat seorang penduduk yang terlepas menaiki feri meminta bantuan daripada seorang nelayan untuk menghantarnya ke pulau disebabkan kesuntukan masa menaiki kapal terbang.

Disebabkan hanya terdapat satu jalan perhubungan, ramai yang mengeluh mengenai kelemahan kemudahan perhubungan jalan air itu yang diperkenalkan sejak era 1950-an.

Mengakui perkara itu, Rahman Husin, 57, pula memberitahu, sebelum Jambatan Pulau Pinang dibina, perhubungan di antara penduduk di tanah pulau atau Tanjong seolah-olah ada kekangan.

Malah, ramai yang menetap di tanah seberang (Perai) tidak pernah menjejakkan kaki ke pulau.

Majoriti daripada mereka beranggapan kedua-dua kawasan itu merupakan dua daerah berbeza disebabkan kedudukan peta yang berasingan.

"Sebaik sahaja jambatan didirikan, ia mula menunjukkan lokasi sebenar kedudukan Pulau Pinang yang menghubungkan di antara tanah besar dan pulau," ujarnya yang telah menetap lebih tiga dekad di Pulau Pinang.

Walaupun pembinaan jambatan tersebut terpaksa mengorbankan beberapa perkampungan nelayan, tetapi kata Rahman, itulah pengorbanan besar rakyat demi kesenangan generasi masa hadapan.

Pasti ramai yang tahu sejarah pembinaan jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga terpanjang di dunia itu. Ia bermula daripada idea mantan Ketua Menteri Pulau Pinang kedua, Tun Dr. Lim Chong Eu.

Cetusan itu dilahirkan setelah beliau berpendapat sebuah jambatan perlu didirikan bagi menghubungkan Pulau Pinang dan Butterworth di tanah besar sekitar tahun 1950-an.

Inspirasi

Hasrat tersebut dibantah oleh banyak pihak dengan alasan projek mega seumpama itu tidak mungkin dilaksanakan atas alasan belum ada mana-mana pihak mampu mendirikannya di negara ini.

Semasa mentadbir Pulau Pinang dari tahun 1969 hingga 1990, Chong Eu masih menyimpan hasrat untuk mengekspresikan ideanya sehinggalah pada tahun 1985, impiannya menjadi kenyataan.

Pada 13 April 1985, sebuah jambatan sepanjang 13.5 kilometer (km) dengan empat menara di bahagian tengahnya yang terletak 33 meter dari paras laut siap dibina.

Kerja-kerja pembinaannya hanya mengambil masa selama empat tahun dengan peruntukan sebanyak RM850 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

lham seni rekaan jambatan tersebut datangnya daripada anak tempatan yang merupakan seorang pakar dalam bidang kejuruteraan geoteknikal dan merupakan bekas Pemangku Naib Canselor Universiti Malaya (UM) pada tahun 1960-an.

Berasal dari Nibong Tebal, mendiang Profesor Tan Sri Ir. Chin Fung Kee berjaya meluahkan ilham inovatifnya dengan menggunakan rekaan seismik bagi menghalang binaan jambatan daripada runtuh apabila berlaku gempa bumi.

Reka bentuk jambatan tersebut dilakukan dengan menggunakan kaedah gelegar konkrit. Kaedah itu menggunakan kabel penahan seperti yang terdapat pada jambatan Golden Gate Bridge di San Fransisco, Amerika Syarikat (AS) dan bukannya kaedah tambatan keluli yang digunakan dalam pembinaan Sydney Harbour Bridge.

Dari segi fakta kejuruteraan, cerucuk yang digunakan bagi membina jambatan tersebut adalah sepanjang 648 km yang bersamaan jarak dari Butterworth ke Johor Bahru.

Uniknya, jambatan tersebut mampu menahan kesan gempa bumi sehingga berukuran 7.5 skala Richter manakala keseluruhan jambatan tersebut panjangnya 13.5 km, dengan 8.4 km daripada jambatan berada di atas paras laut.

Sumbangan

Sejak dibuka secara rasmi pada 14 September 1985, jambatan di bawah pengurusan Penang Bridge Sdn. Bhd. (PPSB) itu telah menjadi laluan lebih berjuta-juta kenderaan dan penumpang.

Menurut Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Pemasaran PPSB, Suriani Mansor, sepanjang 25 tahun perlaksanaannya, jambatan tersebut memberi sumbangan besar terhadap sektor pelancongan dan pembangunan di Pulau Mutiara.

Katanya, tumpuan pelancong lebih di bahagian pulau kerana terdapat pelbagai destinasi menarik
.
"Serentak itu, dengan pembukaan lorong ketiga jambatan ini pada 0gos tahun lalu, jambatan tersebut mampu menampung sebanyak 155,000 kenderaan setiap hari berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 120,000.

"Laluan baru ini dibina bagi mempercepatkan tempoh perjalanan terutama pada waktu kemuncak yang mengambil masa selama 18 minit kepada 11 minit," katanya berbanding waktu biasa tempoh perjalanan selama sembilan minit.

Selain itu, keluasan jambatan tersebut ditingkatkan daripada dua arah kepada tiga arah bagi kedua-dua perjalanan. Ia diperluaskan selebar 4.8 meter dan satu lorong motosikal selebar dua meter dibina bagi kedua-dua arah.

Dalam pada itu, katanya, sehingga tahun ini, motosikal merupakan pengangkutan utama yang menggunakan kemudahan tersebut dengan anggaran kira-kira 30,000 buah setiap hari.

"Dengan adanya jambatan ini, ia memberi kemudahan kepada penduduk termasuk orang luar yang datang ke negeri ini.

"Malah, ia turut digelar sebagai ikon Pulau Pinang kerana menjadi hos acara Larian Jambatan Pulau Pinang setiap tahun," tambahnya.

Fakta

PPSB bertanggungjawab mengurus, mengendalikan, menaiktaraf dan mengutip pembayaran tol sejak 15 Ogos 1994 hingga 31 Mei 2018.

Dari perspektif sejarah, idea pembinaan jambatan diilhamkan oleh Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dan beliau juga bertanggungjawab membuat perlaksanaan awal projek tersebut pada awal tahun 1970-an.

Pembinaannya dirancang semasa penadbiran Perdana Menteri Ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn lewat tahun 1970-an.

Pada tahun 1982, Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara rasminya menanam cerucuk pertama Jambatan Pulau Pinang bagi menandakan bermulanya pembinaan projek bersejarah itu.

Pada 3 Ogos 1986, Tun Dr. Mahathir Mohamad merasmikan Jambatan Pulau Pinang dengan menaiki Proton Saga berwarna merah.


Koci, Lepat & Tepung Bungkus





Koci, Lepat & Tepung Bungkus

Sama tapi tak serupa atau serupa tapi tak sama.

*Sampai saja rumah di Kamunting 10 minit tadi terhidang kuih pemanis mulut ni dan 'peluat" pemakan yang bergigi palsu!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Monday, April 12, 2010

Minum pagi dan minum petang



Minum pagi dan minum petang

Tidak dinafikan keenakannya kalau sekali-sekala minum pagi bermenukan Ubi Rebus bercecahkan Kelapa Parut, Gula Merah dan Sambal Tumis. Perkena pula dengan Kopi-O Pekat.

Petangnya pula bermenukan Pengat Pisang yang dimasak dengan Sagu.

Itulah yang baru dijamah seketika tadi.

Cuma yang tidak kesempatan ialah mengadap menu ini di atas bangsal dengan angin bendang menyusup masuk di celah-celah rekahan dinding Bemban.

Terikan sang Mentari pula meredupkan alis mata. Di penjuru bangsal pula sudah terkapuk dua tga bantal seolah-olah memanggil untuk beradu.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/


Minum petang di R&R Rawang





Minum petang di R&R Rawang

Semalam, aku, orang rumah aku seorang itu dan anak jantan aku seorang itu singgah sekali lagi dalam bulan ini di R&R Rawang dalam perjalanan pulang dari KL ke Taiping.

Seperti biasa setiap menu yang aku jamah akan aku pastikan orang rumah dan anak akan turut sama berpeluang menjamahnya. Kebetulan trip sebelum ini ke KL tidak disertai oleh anak jantan aku seorang itu.

Kami sengaja memilih untuk duduk betul-betul berhadapan Gerai Kafe Esiah yang menjual Nasi Lemak Bungkus Daun Pisang RM 1.00 ini. Rupa-rupanya memang laris Nasi Lemaknya. Setiap kali pekedainya meletakkan bungkus-bungkus baru, akan serta-merta disambar pelanggan.

Selain dari keenakannya, mungkin juga kerana harganya yang cuma RM 1.00 dan ianya dihidangkan dalam keadaan masih panas.

Posting sebelum ini di sini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

Anak jantan aku seorang itu mencuba Royal Kebab di gerai bersebelahan. Enak juga apabila aku turut sama tumpang mencicipnya.

Toilet R&R Rawang sengaja dikunci?

Toilet R&R Rawang sengaja dikunci?

Entah mengapa semenjak dua-menjak ini aku singgah di R&R atau Laybay Hentian Tepi Lebuhraya itu semata-mata kerana toiletnya ataupun hanya untuk membeli buah potong. Kalau untuk menjamu selera, aku atau sekeluarga sanggup membayar tol keluar dari lebuhraya untuk singgah di mana-mana restoran atau gerai di laluan lama. Mungkin agaknya terlalu kerap kami berlaluan di atas lebuhraya menyebabkan sudah jemu dengan menu yang hampir sama dihidangkan.

Untuk ke toilet pula aku akan mengelakkan jika ternampak ada bas-bas perlancongan yang berhenti terlebih dahulu kerana sudah tentu penumpangnya akan memenuhi setiap ruang toilet ini.

Petang semalam aku, orang rumah aku seorang dan anak jantan aku seorang itu singgah di R&R Rawang dalam perjalanan pulang dari KL ke Taiping. Ketika itu kenderaan di tempat parking agak lenggang dan tiada sebuah bas pun yang kelihatan.

Aku terus ke toilet bercadang untuk melepaskan hajat. Malangnya kesemua toilet yang ada bertutup rapat dengan penanda pada tombol menunjukkan ianya sedang digunakan.

Aku menuju ke gerai makan dan berhajat ke toilet sebelum meneruskan perjalanan kelak.

Memeranjatkan juga setengah jam kemudian apabila kembali ke toilet mendapati kesemuanya masih bertutup rapat.

Aku mengambil keputusan untuk menunggu. Hampir 20 minit aku menunggu baru sebuah toilet itu dikosongkan pengguna. Manakala toilet-toilet lain masih bertutup dan peliknya senyap-sunyi tiada tanda-tanda ada pengguna di dalamnya.

Aku berpeluang bertanya kepada pekerja pencuci yang kebetulan ada di situ. Dia hanya tersenyum dan menafikan toilet-toilet tersebut sengaja dikunci.

Agaknya siapa yang buat "long call" di dalam toilet tersebut?

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Saturday, April 10, 2010

Minum petang di Mee Rebus Tapah





Minum petang di Mee Rebus Tapah

Asalnya petang semalam, aku, orang rumah aku seorang itu dan anak jantan seorang aku itu hanya hendak perkena Nasi Lemak Bungkus Daun Pisang di Restoran Mee Rebus Tapah ini. Entah mengapa semalam pembuat Nasi Lemak ini tidak membuatnya, menurut perkedai (adakah pekerjaan Perkedai!) pembuat Nasi Lemak ini kadang-kadang buat, kadang-kadang tak buat - itulah kalau orang Melayu meniaga (bukan aku cakap tapi perkedai ini yang cakap!)

Oleh kerana tiada Nasi Lemak Bungkus yang sedap ini, kami mengorder Mee Rebus. Mee Rebus Tulang sudah kerap diorder, kami tukar menu Mee Rebus Daging dan Mee Rebus Ayam.

Asas kuahnya masih sama. Ada rasa kemanisan mungkin disebabkan Ubi Keledek yang digunakan. (Aku mengagak perkedai ini menggunakan Ubi Keledek sebagai ramuannya). Untuk Mee Rebus Daging cuma ditambah Daging. Manakala untuk Mee Rebus pula cuma ditambah Ayam Goreng.

Bagaimanapun kami bertiga memutuskan, Mee Rebus yang paling sedap (mengikut citarasa kami bertiga) di Mee Rebus Tapah ini ialah Mee Rebus Tulang!

Lupa juga nak beritahu. Kalau singgah di sini jangan lupa beli Pisang Goreng dan Air Kelapa Pandan di gerai berhadapan Mee Rebus Tapah ini. Pisang Gorengnya enak sekali. Manakala Air Kelapa Pandan boleh diminum begitu sahaja tanpa gula!

Turut dijual laksa tapi entah mengapa orang rumah aku seorang itu yang sememangnya hantu laksa tapi belum lagi sampai seru untuk membelinya walaupun sudah beberapa kami singgah di sini dalam perjalanan ke KL.

Posting lain berkaitan dengan panduan ke Mee Rebus Tapah ini boleh dirujuk di sini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Petang semalam, sepanjang perjalanan dari Kamunting ke Taiping kami menempuh hujan lebat. Menariknya hujan berhenti dengan tiba-tiba sesampainya di Tapah dan kembali lebat sebaik sahaja selesai makan!