Sunday, December 13, 2009

Jari kreatif & Jari Hijau








Jari kreatif & Jari Hijau

Semasa bersama-sama bersekolah menengah dahulu, Roslan Muhammad Yunus ini dikategorikan sebagai seorang yang berjari kreatif. Kalau ada apa-apa persiapan membuat sepanduk (untuk perarakan yang disertai sekolah) atau backdrop untuk sesuatu majlis, beliaulah orang pertama ke hadapan untuk turut serta.

Setelah berpisah selama hampir 25 tahun, kami ditakdirkan bertemu di Miri pada bulan lepas, semalam kami bertemu semula dengan kunjungan kami 3 beranak ke rumahnya di Bandar Permaijaya, Miri, di sebuah kawasan perumahan di laluan utama ke Brunei.

Kunjungan kami diraikan dengan makan malam bermenukan resepi Miri dan Semenanjung. Ada Masak Lemak Umbut Kelapa Sawit! Menu lain ialah Gulai Daging, Sambal Tumis Ikan Bilis Petai, Masak Cili Udang Harimau, Ikan Goreng dan Rojak Buah.

Selepas makan kami dihidangkan Buah Longan. Semasa inilah Jari Hijau Roslan yang dikenali semasa di sekolah sebagai Lan Ketue mula tertonjol. (Beliau dikenali Lan Ketue kerana beliau adalah Ketua Umum dan Ketue adalah sebutan di kampungnya iaitu Pulau Tiga, Parit).

Rupa-rupanya Buah Longan itu adalah hasil tanaman beliau sendiri di kawasan bertanah tepi rumah yang berbidang 12 kaki sahaja. Kualiti Buah Longannya tidak kalah seperti buah yang diimport dari Thailand dengan saiz yang besar dan manis rasanya. Malah ianya ditanam tanpa menggunakan sebarang racun serangga perosak.

Mengapa Lan Ketue menanam Buah Longan? Rupa-rupanya salah seorang anaknya adalah pengemar Buah Longan dan oleh kerana itu beliau menanam dua batang pokok yang buahnya sentiasa berbuah dan lebat untuk dijamah sepanjang tahun.

Kasihnya Lan Ketue kepada anak tidak ternoktah di situ sahaja. Salah seorang anaknya lagi adalah pengemar Ikan Keli. Kebetulan ketika rumah yang dibeli itu terdapat satu tangki air yang tidak digunakan, beliau mengambil keputusan membela ikan keli. Buat masa ini tersedia hampir 200 ekor keli di dalam tangki air tersebut untuk diambil. Hari Raya Aidil Adha baru-baru ini beliau berkenduri Ikan Keli sesama jiran di taman perumahan yang didudukinya itu! Harga Ikan Keli di pasar di Miri juga mencecah RM 12.00 sekilo, jika dibandingkan di Semenanjung hanya sekitar RM 4.00 sekilo.

Lawatan ke "kebun kecil" tepi rumahnya menonjolkan lagi Jari-jemari Hijaunya. Buah Mempelam dari jenis "Mahathir" bergayutan di atas kepala. Buah Mempelam yang saiznya membesar boleh mencecah 3 kilo sebiji. Bukan sahaja untuk dilihat, kami dibekalkan untuk dibawa pulang.

Jari kreatif dan jari hijau Lan Ketue rupanya berkesinambungan ke tangannya. Di hahagian belakang rumahnya telah dubahsuai kepada "wet kitchen" dan ruangan untuk membasuh serta mengering pakaian. Pengubahsuaian ini dilakukan berdua antara Lan Ketue sendiri dengan seorang kenalannya. Ini termasuklah juga penambahan bingkai tingkap.

Kekreatifan Lan Ketua juga terselah dengan susun-atur barangan hiasan di dalam rumah termasuklah penyediaan langsir tingkap yang dijahit sendiri oleh beliau.

Jari kreatifnya semasa bersekolah menengah dahulu dikembangkan dengan menjadi juara setiap kali terlibat dalam penyediaan sepanduk di sekolah yang diajarnya sekarang.

Menariknya, segala kelebihan ini diceritakan sendiri oleh isteri Lan Ketue.

"Bukan untuk mem-promote-kan suami. Tetapi itulah kelebihannya.", ujar isteri Lan Ketue kepada kami.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments: