Saturday, January 03, 2009

Hijrah dan Masehi ditinggalkan, kedatangannya dirai dan dinanti



Gambar atas, khidmat sosial untuk remaja dan gambar bawah untuk sektor awam.


Hijrah dan Masehi ditinggalkan, kedatangannya dirai dan dinanti

Saya tertarik dengan tema sambutan tahun baru di Kelantan ialah 'Hijrah Dirai, Masehi Dinanti' yang kebetulan hanya beberapa hari sahaja dipisahkan Tahun Baru Hijrah dengan Tahun Baru Masehi. Walaupun begitu saya merasakan ungkapan yang lebih sesuai ialah “Hijrah dan Masehi; ditinggalkan, kedatangannya dirai dan dinanti”.

November dan Disember 2008 telah berlalu. Di tahun-tahun sebelum ini saya menghabiskan penghujung tahun dengan bercuti dan mengikuti beberapa kursus peningkatan diri dengan perbelanjaan sendiri. Biasanya kursus-kursus Bahasa Inggeris dan komputer bersama-sama anak lelaki saya itu, kekadang disertai oleh isteri. Bukan sahaja di Taiping, merata tempat kami pergi berkursus sambil bercuti biasanya di Ipoh, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Disember tahun 2008 saya hanya sempat mengikuti satu kursus peningkatan diri ”Train-the-Trainer” anjuran NIOSH Prai yang juga dengan perbelanjaan sendiri (4 hari RM 1200.00!). Tiada kursus lain untuk saya, anak dan isteri. Ini disebabkan saya terikat dengan beberapa komitmen. Di samping rutin kelas di hujung minggu, saya meyelia 10 orang pelajar untuk menyiapkan thesis master masing-masing. Malah saya juga mencuri-curi masa menyediakan soalan peperiksaan dan tugasan untuk pelajar-pelajar OUM di samping menyemak soalan peperiksaan,

Saya telah dijemput menyampaikan seminar Keselamatan dan Kesihatan di Sektor Awam (Institut Pengajian) di Hotel Holiday Villa Alor Setar (November) anjuran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kedah/Perlis (DOSH) dan tajuk yang sama di Hotel Pearl View di Prai (Disember) anjuran NIOSH Pulau Pinang.

Tahun lepas sahaja hampir 10 sekolah di sekitar Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah menjemput saya untuk memberi seminar sehari atau kursus pendek berkaitan dengan Keselamatan dan Kesihatan ini. Ada yang menjurus kepada keselamatan dan kesihatan kakitangan sekolah termasuk tenaga pengajar dan kakitangan sokongan. Ada juga khusus untuk pelajar-pelajar.

Sekadar cadangan dan syoran kepada mereka yang mungkin ingin menjemput saya di masa mendatang, saya lebih suka (dan lebih bersedia!) untuk dijemput berseminar atau mengendalikan kursus untuk kakitangan sekolah (pengajar dan pekerja sokongan) untuk topik-topik berkaitan keselamatan dan kesihatan. Bukannya saya memilih peserta kursus ataupun tidak melayan peserta-peserta remaja. Saya lebih suka sekiranya guru-guru atau kakitangan sokongan ini yang telah berkursus atau berseminar dengan saya pula yang kembali mengajar mereka.. Insya-Allah dari masa ke semasa saya boleh dirujuk jika perlu.

Ini berbeza kalau saya dijemput untuk mengendalikan kursus atau seminar dengan topik-topik berkaitan motivasi atau kaedah-kaedah pembelajaran. Seawal usia di peringkat pra-sekolahpun saya seboleh-bolehnya tidak pernah menolak. Tetapi terus terang saya katakan pelajar di peringkat pra sekolah inilah merupakan golongan yang sukar untuk berinteraksi setakat ini. Mungkin saya perlu menghadiri kursus khas sebelum mengajar mereka!

Oh ya! Di tahun 2008 saya juga telah dijemput mengendalikan kursus-kursus motivasi dan kaedah pembelajaran di tiga buah sekolah menengah, sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah peringkat pra-sekolah.

Mungkin dengan pengalaman saya yang pernah gagal di dua universiti dan bekerja sebagai operator kilang sehinggalah menjadi seorang jurutera dan pengurus kilang sebelum menyertai bidang akademik membolehkan saya berkongsi pengalaman saya ”sekali gagal (sebenarnya saya sudah dua kali gagal!) tidak bererti kejayaan sudah berakhir” dengan pelajar-pelajar ini.

2009 menjelang dengan tambahan rutin mengajar bukan sahaja di Kuala Lumpur dan Prai, ditambah satu destinasi baru di Miri. Ini juga bermakna saya akan menyelia thesis pelajar sekurang-kurangnya 10 pelajar di setiap pusat pembelajaran.

Walaupun begitu saya juga telah merancang beberapa kursus-kursus pendek yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya dengan memfokuskan di institut-instut pengajian termasuklah sekolah menengah. Sebuah syarikat pemasang motosikal secara lisan telah menyatakan sokongan untuk membantu. Semoga khidmat sosial ini berjaya dilaksanakan.

Di samping itu kalau ada jemputan-jemputan ke agensi-agensi lain termasuk sekolah-sekolah, insya-Allah saya akan cuba penuhi jika tidak bertembung dengan jadual saya,

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar,blogspot.com/

No comments: