Monday, December 14, 2009

Nasi Katok Seringgit Brunei










Nasi Katok Seringgit Brunei

Apa yang pernah dialami oleh seorang rakan yang kembali dalam perjalanan menjelajah Eropah pada awal 90an dahulu telah terjadi kepada saya. Beliau telah menghantar 13 gulong negatif filem untuk diproses di sebuah kedai gambar. Malangnya kesemua 13 gulong negatif gambar 36 keping itu tidak dapat diproses kerana dikatakan telah terdedah kepada sinaran!

Petang tadi saya terkedu apabila gambar-gambar yang diambil sepanjang pagi tadi di Brunei hilang secara tiba-tiba dalam kad memori XD saya. Gambar-gambar diambil rasanya berjumlah lebih 50 keping itu tidak dapat dibaca sama ada terus melalui digital kamera saya ataupun card reader yang ada pada laptop!

Harap-harap rakan saya di Changlong kelak berupaya menyelamatkan semula gambar-gambar ini. Sebelum ini kawan saya ini berjaya menyelamatkan semua data-data dan gambar-gambar dalam External Hard Disk saya yang tiba-tiba merajuk dengan penyakit yang sama!


Pagi tadi seawal 5 pagi kami 3 beranak sudah mula bersarapan di Hotel Mega. Kemudian 6 pagi kami telah bertolak ke Sempadan Brunei di Sungai Tujuh menaiki kereta seorang kenalan di Miri yang kebetulan bekerja di Brunei.

Oleh kerana kenalan dari Miri ini tidak dapat menemani kami di Brunei, beliau meminta seorang rakan sekerjanya membawa kami bersiar-siar di Brunei. Dengan ditemani oleh isterinya (yang kebetulan pernah bekerja sebagai Pemandu Pelancong di Brunei) serta anak perempuannya yang berusia 8 tahun, kami mengelilingi segenap pelusuk Bandar Brunei.

Bermula dengan Galeri Pameran DiRaja yang terletak di Jalan Sultan, kami menghabiskan masa hampir 2 jam untuk melihat sejarah hidup dan persekitaran istana Sultan Haji Hassaniah Bolkiah.

Kemudian kami ke Masjid Jamek Asri yang merupakan masjid terbesar di Brunei. Untuk makluman, semua masjid di Brunei adalah lengkap berhawa dingin, begitu juga dengan sekolahnya sama ada bantuan penuh kerajaan ataupun swasta semuanya berhawa dingin!. Kubah Masjid Jamek Asri ini diselaputi dengan Emas 24 Karat. Manakala air paip untuk berwuduk adalah automatik yang mengesan pergerakan tangan atau kaki yang disua di bawah muncung paip!

Kami juga melawat Masjid Omar Ali Saifuddien yang terletak dia atas tasek buatan berhampiran Sungai Brunei.

Destinasi seterusnya ke Kampung Air menyaksikan komuniti yang berumah di atas ais. Komuniti ini lengkap dengan sekolah rendah, menengah, balai bomba dan balai polis, dan kesemuanya dibina di atas air! Bagi yang berhati waja bolehlah mencuba bot pancung yang sentiasa "berwheelie" apabila di atas air.

Berhadapan Kampung Air ini kami menikmati makan tengahari di Yayasan Food Court. Selepas makan tengahari kami menjamu mata di beberapa buah pusat membeli-belah di sekitar Yayasan Food Court ini.

Dari Kampung Air kami menuju ke Museum Brunei yang memuatkan barangan antik milik kerabat Di Raja Brunei.

Selepas Museum Brunei kami bersiar-siar melawat beberapa buah istana kerabat Di Raja Brunei termasuklah istana utama, istana isteri-isteri baginda dan adik-beradik baginda.

Seharian capik bersiaran, kami mengorder Nasi Katok Mama yang amat terkenal di Bandar Seri Begawan itu. Nasi Katok ini adalah nasi ekonomi yang berharga hanya Seringgit Brunei (RM 2.50) walaupun dijual di mana-mana restoran atau warung. Set nasi yang terdiri dari Nasi Putih, Ayam Goreng dan Sambal ini dipanggil Nasi Katok kerana penjual asalnya berjualan dari rumah ke rumah dengan mengetuk (katok!) pintu rumah.

Pesanan dari kenalan baru kami ini, orderlah kurang pedas atau jenis sambal biasa kerana set asli Nasi Katoknya amat pedas!

Malangnya cerita di atas hanyalah cerita tanpa gambar-gambar setakat ini. Jika kad memori XD boleh diselamatkan, saya akan uploadkan gambarnya kemudian.

Di sebelah malamnya pula, kenalan saya dari Miri ini membawa kami 3 beranak ke Taman Jerudong. Suasana malam yang mula terasa gerimis hujan membuatkan kunjungan ke Taman Jerudong hanya untuk bergambar.

Kemudiannya kami bersiar-siar mengelilingi Club House dan Padang Polo Taman Jerudong sebelum ke suatu lokasi berhampiran Kampung Ayer untuk makan malam.

Makan malamnya kami bermenukan makanan utama dari Urat Lembu iaitu Soto Urat Lembu dan Satay Urat Lembu dengan beberapa menu sampingan seperti nasi dan mee.

Ketika makan malam, hujan mula turun dengan lebatnya. Dalam perjalanan ke hotel, air hujan mula mengenangi jalan raya. Kenalan dari Miri ini sempat lagi membelikan sebungkus Nasi Katok di Jerudong untuk dicuba kerana menurut beliau di situ lagi enak tetapi agak pedas walaupun diminta sambal jenis biasa! Harga sebungkus Nasi Katok di sini juga Seringgit Brunei tapi dengan tambahan 50 sen sahaja akan dapat dapat tambahan seketul ayam lagi. Seketul ayam untuk Set Nasi Katok di Brunei adalah lebih besar jika dibandingkan dengan seketul ayam di Malaysia.

(Bagaimanapun citarasa saya dan anak jantan seorang saya itu lebih memihak kepada Nasi Katok Mama!)

Untuk gambar-gambar perjalanan malam di Brunei ini saya menggunakan kad memori XD yang lain dan alhamdulillah kesemua gambar-gambarnya menjadi.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments: