Sunday, April 19, 2009

Oh teratai bunga indah

Posting terbaru di blog Anjang (di sini dan di sini) menginspirasikan aku untuk menyiarkan kembali siratan dalam blog pertama aku pada Februari 2008


Oh teratai bunga indah

Oh teratai bunga indah
Engkaulah pujaan hatiku
Telah lama aku rindukan
Wahai teratai bunga indah

(Siratan pada Ogos 2007; “Saya diremajakan dengan Sweet Charity dan Blues Gang. Dibalighkan dengan Alleycat dan Kembara. Semua itu yang menjadikan Ramli Sharip dan M. Nasir idola saya. Dimatangkan dengan Ebiet G.Ade dan Iwan Fals sementelah adik saya melanjutkan pelajaran ke Universitas Gadjamada dalam jurusan farmasi. Kepulangannya setiap kali membawa kaset-kaset Ebiet dan Iwan.)

Saya dipengaruhi dengan lagu-lagu dendangan Ramli Sarip (Sweet Charity). Pernah ketika Sweet Charity dan Blues Gang membuat persembahan di Ipoh pada awal 80an, saya dengan beberapa rakan sekolah asrama memanjat pagar sekolah semata-mata untuk menyaksikan Ramli Sharip beraksi. Malah kami berada di stadium seawal petang untuk menyaksikan mereka berlatih untuk persembahan di sebelah malamnya.

Seingat-ingat saya antara kaset dan CD yang asli yang saya beli adalah dari nyanyian Ramli Sharip dan Sweet Charity. Malah berbangga juga kerana saya adalah salah seorang superbikers yang mengiringi Ramli Sharip dan Sweet Charity muncul di atas pentas semasa satu persembahan di Stadium Merdeka pada penghujung 80an.

Bagaimanapun Majalah Tiga (TV3) malam semalam benar-benar menyentuh hati saya. Teratai, lagu yang didendangkan Ramli Sharip adalah antara lagu kegemaran saya, tetapi selama ini saya hanya terpesona dengan iramanya tetapi tidak menghayati senikatanya.

Teratai yang saya kenali seawal darjah satu kerana adanya seorang wanita Cina yang menjual buahnya di tepi sekolah rendah saya. Teratai yang saya kenali seawal darjah satu kerana perjalanan saya ke sekolah akan melalui kawasan lombong yang permukaannya melata hijau dengan daun-daunnya yang lebar dan buah serta bunga yang menjulur keluar. Setiap pagi akan kelihatan sebuah dua perahu kolek kecil dengan seorang dua pendayung bertopi mengkuang besar yang akan memetik bunga dan buah teratai ini.

Teratai yang saya kenali seawal darjah satu kerana sering melihat kuntum buahnya terikat dua, tiga kelopak dengan gelang getah bulat di atas meja kayu kedai kopi milik peniaga Cina apabila mengekori bapa memasuki kedai mereka.

Teratai yang saya kenali seawal darjah satu kerana sering melihat kuntum buahnya terikat dua, tiga kelopak dengan gelang getah bulat di di atas plastik pelapik lantai pasar milik peniaga Cina apabila mengekori emak ke pasar basah.

Rupa-rupanya teratai ini seperti yang dilaporkan oleh Majalah Tiga malam semalam merupakan satu penunjuk (indicator) yang terbaik untuk sistem ekologi air. Turut dilaporkan juga Tasek Putrajaya menggunakan teratai sebagai penghias tasek di samping fungsinya secara visual sebagai penunjuk untuk sistem ekologi air.

Patutlah tasek bekas-bekas lombong yang kerap saya lihat di sekitar Taiping (rumah saya), Kampar (rumah adik saya), Simpang Pulai dan Batu Gajah sudah tidak kelihatan lagi kelompak bunga teratai berbuah. Sudah tidak melata lagi daunnya yang lebar. Sudah tidak kelihatan lagi manusia yang mencari rezeki dengan teratai ini.

Mengapa manusia masih tidak faham-faham juga dengan penunjuk yang telah pupus ini?

lukmanw@uum.edu.my
thejourney.weblog.uum.edu.my


Teratai

Oh teratai bunga indah
Engkaulah pujaan hatiku
Telah lama aku rindukan
Wahai teratai bunga indah

Sungguh cantik wajahmu
Sinar matamu bagaikan suria pagi
Setiap insan selalu terpikat
Memandang teratai bunga indah

Ku tak menyangka
Wahai terataiku sayang
Badai taufan mendatang
Menghembus dirimu
Engkau pun terkulai
Dan merunduklah layu
Tak berseri lagi

Oh tolong, lindungilah dia
Agar ku dapat bersamanya lagi
Ku inginkan terataiku sayang
Berseri seperti semula
Teratai bunga indah

Bersama anak yang juga peminatnya, bertemu kembali dengan Ramli Sharip pada tahun 2006 di Pak So Seafood, Kuantan setelah pertemuan sebelum ini pada tahun 1989, kemudian mengiringinya dengan motosikal ke pentas di Stadium Merdeka.

Gambar kenangan ini diambil selepas beberapa hari menyaksikan Ramli Sharip beraksi di Stadium Negeri, Ipoh pada tahun 1984. Pasti dapat meneka yang mana satu diri saya! Gambar kecil, CD "original" Ramli Sharip dan Sweet Charity yang di-autograph-kan oleh Ramli Sharip.

No comments: