Berlibur di Tianjin-Beijing 11 – 15 Dis 2010 Hari Kedua
Hari 2, 12 Dis 2010
Selepas sarapan jam 8.00am, kami ke Bona Jade Museum (juga dikenali sebagai Bona Jade Store). Di sini kami diajar membezakan batu jade asli dengan jade tiruan.
(Jade asli berwarna jenih dan bersinar jika dibandingkan jade tiruan yang malap. Batu jade juga ternampak tompokan jika dihalakan kepada sumber cahaya. Jade asli berupaya memecahkan kaca. Malah jika jade diikatkan kepada rambut dan dibakar, rambut tersebut tidak terbakar kerana batu jade asli mampu menyejukkannya.)
Kemudian kami ke Crystal Palace of Ming Tombs untuk menyaksikan penghasilan batu kristal. Di sini terdapat batu kristal yang dijadikan cermin mata dan bantal tidur yang didakwa boleh membantu aliran salur darah di kepala.
Kami berhenti makan tengahari di Restoran Muslim bersebelahan Beijing Cloisonne Factory yang membuat pasu tembikar berukiran. Sempat juga menjamu mata melihat keunikan pasu-pasu tembikar berukiran yang seketika dahulu hanya dimiliki oleh maharaja Cina.
Restoran di sini dilengkapi surau lelaki dan wanita yang luas serta bilik wuduk yang bersih. Malah ada seorang ala Tok Siak yang menjaganya.
Selepas solat kami ke Tembok Besar China di Daerah Juyongguan. Bayaran masuk di sini ialah 40 Yuan (RM 20.00) untuk dewasa semasa bulan November ke Mac. Manakala April ke Oktober pula ialah 45 Yuan.
Selepas Tembok Besar China kami dibawa melawat ke Baoshutang Scald Ointment Factory. Di sini kami ditawarkan untuk membeli krim lecuran api dan juga batu ajaib (dijadikan gelang, rantai dan cawan) yang didakwa boleh membantu pelancaran salur darah. Menariknya terdapat peralatan berkomputer yang membolehkan kita menyaksikan salur darah kita bertambah baik sebaik sahaja memegang atau bersentuhan dengan batu ajaib ini!
Lewat petangnya kami ke Sunshine Market (atau Sunny Gold Market) untuk membeli-belah. Market ala bazar dua tingkat ini menjual pelbagai barangan dari kain baju hinggalah ke barangan elektronik. Sehelai t-shirt Hard Rock Café Beijing diletak harga 85 Yuan (RM 43.00) dan boleh ditawar sehingga 15 Yuan (RM 7.50)! Manakala Blackberry Bold 9700 diletak harga 900 Yuan (RM 450.00) dan boleh ditawar sehingga 400 Yuan (RM 200.00)!
Di luar market ini berkeliaran pengemis wanita yang mendukong anak kecil yang kaku seumpama anak patung mungkin kerana kesejukan.
Kami makan malam di Restaurant Muslim Selama di Ching Sin Chow. Di dinding restoran ini terdapat banyak kad nama dan duit kertas RM 1.00 yang ditampal dengan nama-nama mungkin pemiliknya dari Malaysia yang dating menjamu selera ini. Ada juga dua, tiga nama yang saya kenali seperti abang kepada YB Wakil Rakyat Adun Kamunting.
Bersambung
lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com
No comments:
Post a Comment