Samosa di Gerai tepi Pasar Pagi Kamunting
Tiga bulan "bercuti pada week day" (dan bekerja di weekend) duduk rumah di Kamunting semenjak awal November (tidak pasti bila akan berakhir - Feb? Mac?), boleh diramal sarapan harian kami 3 beranak; aku, anak jantan seorang aku itu dan orang rumah seorang aku itu. Walaupun tidak rutin mengikut hari ianya berselang menu. Kalau hari ini Roti Canai Basir, esoknya Tose dan esok-esoknya pula Capati. Esok selepas esok-esok Nasi Lemak Sotong Mak Tom sebelah Petronas Kamunting. Esok kemudiannya Nasi Goreng Restoran Wak (sekarang diambil aleh oleh Zul setelah Wak diserang sakit jantung dan kini pulang ke Padang beristirehat panjang). Selepas esok kemudiannya Apom Manis India sebelah Makcik Kelate jual Nasi Dagang. Menu-menu ini pula kadang-kala dijamah dengan Samosa dan Cucur Udang Gerai tepi Pasar Pagi Kamunting.
Antara banyak Samosa yang pernah aku makan, Samosa di Gerai tepi Pasar Pagi Kamunting dan bertentangan dengan Warung Roti Canai Basir ini tidak pernah menjemu-jemukan kami 3 beranak.
Cucur Udangnya pula ranggup.
Kakak ini atau anak perempuan kecilnya (menemaninya di hujung minggu) akan tahu stail aku membelinya. Samosa 2, 2, 3 ketul dan Cucur Udang 2, 2, 3 ringgit.
Maknanya Samosa dibungkus dalam 3 plastik mengandungi 2 ketul, 2 ketul dan 3 ketul masing-masing. Manakala Cucur Udang dibungkus dalam 3 plastik mengandungi RM 2 (10 ketul), RM 2 (10 ketul) dan RM 3 (15 ketul).
Maknanya juga 2 Samosa dan RM 2 Cucur Udang untuk Mak dan Bapak aku di Kampung Pinang. Dan 2 Samosa dan RM 2 Cucur Udang lagi untuk Mak Mertua dan Adik Ipar aku di Rumah Awam. Manakala 3 Samosa dan RM 3 Cucur Udang pula untuk kami 3 beranak; aku, anak jantan seorang aku dan orang rumah seorang aku itu.
lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
*Untuk memulihara alam persekitaran, aku kini bertukar stail dengan hanya menggunakan 3 plastik sahaja. Plastik pertama untuk 3 Samosa dicampur RM 3 Cucur Udang. Manakala 2 plastik lagi masing-masing mengandungi 2 Samosa dicampur dengan RM 2 Cucur Udang.
No comments:
Post a Comment