Nostalgia Medan Selera Taman
Kanak-kanak Ipoh @ Angel Park Ipoh
Medan Selera Taman Kanak-kanak ini terletak di antara Jalan Raja Musa Aziz (Anderson
Road) dan Jalan Tahwil Azhar (Osborne Street). Jalan Tahwil Azhar kini
terkenal dengan Gerbang Malam Ipoh.
Medan Selera ini juga dahulu dikenali sebagai Angel Park
kerana bangunan Kamdar sekaran g ini yang terletak di persimpangan Jalan Raja Musa Aziz dengan Jalan Mustaha Al-Bakry (Clare
Street) dahuiunya adalah Supermarket Angel.
Medan Selera ini adalah
tumpuan kami pelajar-pelajar sekolah berasrama di Ipoh tahun 80an. Setelah puas
menonton wayang dan jemu di Superkinta atau habis duit di Jublee Park, kami
menjamu selera di Medan Selera ini.
Ada beberapa pemilik gerai
di sini sentiasa curiga kunjungan kami. Manakan tidak bukan sahaja Mee Goreng
atau Mee Kuah dimakan dengan Sos Chili berbotol-botol,
malah dengan ABC pun kami bubuh Sos!
Kunjungan sebentar tadi bersama
anak lelaki saya amat memilukan hati. Semuanya hampir tinggal nostalgia sahaja,
Banyak gerai yang hanya menjual ibu kunci! Popiah S.S. Ali masih meniaga tapi
hari ini tutup pula. Semasa zaman remaja, kami tidak makan Sopiah S.S. Ali ini
kerana “tidak kenyang”! Begitu juga dengan Satay Endut yang hanya kami mampu
tengok sahaja.
Saya mula mengenali dan
berkawan dengan Muhammad Taba (arwah) anak kepada Endut sekitar 1987 apabila
saya mengadakan Pameran Motosikal di Sekolah Agama Izzuddin Shah,
Teringat lagi kata-kata
arwah yang juga antara superbiker terawal di Ipoh ketika itu kepada saya.
Beliau merakamkan kekaguman kerana pameran motosikal itulah yang menarik ramai mat-mat
motor di Ipoh “masuk” ke perkarangan sekolah agama!
Arwah dan abangnya Nan
(arwah) dikenali ramai superbiker di Malaysia terutama di KL ketika itu. Malah
kami beramai-beramai dari KL datang ke Ipoh meraikan majlis perkahwinannya
penghujung 80an.
Saya berkesempatan berbual
dengan pekerja Satay Endut semasa makan malam tadi. Itulah realitinya Medan
Selera Taman Kanak-kanak ini. Kemunculan banyak premis makan dan pada masa yang
sama kesukaran mendapatkan tempat letak kereta menyebabkan perniagaan di medan
selera ini semakin hari semakin malap.
Catatan antara ingat dan
lupa, medan selera ini juga menyaksikan pergaduhan di antara dua pasukan beruniform dan tragedi seorang
remaja dipukul oleh pihak pengurusan Supermarket Angel kerana disyaki mencuri.
Agaknya kalau ada media sosial seperti FB ketika itu kecoh seMalaysia.
No comments:
Post a Comment