Kalaulah tahun 70an dahulu ada FB. Bapa dan buku-bukunya.
Bapa saya (kini terlantar di atas katil semenjak tiga tahun
lalu) agak tegas orangnya terutama kami tiga beradik masih bersekolah rendah.
Kadang-kala tegasnya tanpa sebarang penjelasan.
Bapa membaca. Setiap hari dia mesti membeli akhbar harian. Dia
membaca seawal pagi. Kemudian bersambung seketika sewaktu tengahari. Bapa memuktamad
bacaan akhbar sejurus sebelum Berita Nasional RTM jam 6.00 petang.
Tiada sesiapa pun boleh menganggu siaran berita ini. Hak
mutlak bapa. Malah walaupun tidak secara terang-terangan, bapa mahukan kami
tiga beradik bersama-sama menonton berita.
Begitu juga sewaktu Azan Magrib bergumandang, tiada sesiapa
boleh menutup tv atau mengubah siarannya. Malah kami dimestikan menghormati Azan Magrib
dengan mesti berada dalam rumah sebelum Azan Magrib, tidak makan-minum, tidak membaca
dan tidak berbual semasa Azan dilaungkan. Akhir sekali Berita Jam 8.00 malam,
siarannya menjadi milik bapa.
Masih teringat saya akan satu ungkapan yang bapa
terbalikkan. Bapa menulis, “buat baik jangan sekali, bat jahat berpada”. Ketika
itu saya terasa aneh bapa menulis sebegitu. Apabila dewasa baru saya sedar akan
kebenarannya juga.
Bapa banyak membeli buku sewaktu beliau bekerja sebagai askar
terutama di sewaktu berkhidmat di Sabah dan Sarawak. Kebanyakannya buku
Indonesia dan pilihan utamanya ialah karya Hamka genre kemasyarakatan dan
adalah sebuah-dua genre agama.
Tidak seperti arwah adik bapak (yang juga tentera dan minat
yang sama dengan buku), bapa agar “mengawal” genre buku-buku yang dibelinya. Malah
bapa juga “mengawal” buku-buku bacaan yang kami bertiga beli atau baca.
Teringat saya pada suatu kejadian apabila saya membuat
tugasan kerja sekolah Darjah 6 dengan mengumpulkan keratan akhbar berkenaan
wanita. Ada di antara keratan akhbar dan
majalah itu berkaitan dengan gejala social wanita yang memuatkan beberapa
gambar yang agak menjolok mata. Bapa mengarah saya membakar scrap book itu dan
pada masa yang sama kena juga seliang-dua bedalan tali pinggang askar milik
bapa.
Tanpa pengetahuan bapa, saya menelaah beberapa buku yang
mendebarkan ketika itu di rumah pakcik saya. Pakcik saya (arwah) agak terbuka
dalam hal ini. Malah dia meminjamkan saya beberapa buku termasuklah Sofia karya Yahya Samah ini. Rasanya saya
sorokkan di tempat rahsia di dalam rumah! Apabila remaja ada juga beberapa buku
Yahya Samah yang saya beli.
Pada saya, tulisan Yahya Samah
tidaklah begitu erotic tetapi bapa begitu tegas dalam hal sebegini.
Saya tidak dapat bayangkan
kalaulah tahun 70an dahulu ada FB, bagaimana bapa hendak mengawalnya?
Kemungkinan rumah kami tiada computer!
TV hitam-puteh pun hanya dibeli pada tahun 1979. Itupun sudah berapa kali hand-hand
agaknya.
Apapun ketegasan bapa terutama
dalam tabiatnya (amalan?) membaca, merujuk dan menulis serta mengawal Berita
TV, Azan Magrib dan juga cerewet menjaga (membalut) buku-buku kepunyaan kami,
adalah ajaran yang tidak dapat tidak kami tiga beradik terutama saya
melupakannya.
Bagaimana anda mengawal anak-anak
anda berintraksi dengan bahan bacaan melalui media social sekaran ini?
No comments:
Post a Comment