Seorang Tua di Kaki Gunung
Koleksi peribadi sahaja. Bukan untuk dijual
Sudah lama saya mencari buku Seorang Tua di Kaki Gunung karya
Azizi Hj. Abdullah ini. Merata ceruk di rumah emak sudah saya punggah
berkali-kali. Ingatkan ada yang pinjam
dan tidak mengembalikan. Ataupun sudah lunyai dikerjakan oleh anak-anak saudara
yang masih kecil ketika dulu.
Saya yakin ada buku ini seawal tahun 80an lagi, malah saya
yakin ada lebih dari satu naskah.
Salah satu dari naskah itu tersebut diperolehi samada berjaya
menduduki kedudukan tertentu semasa peperiksaan di sekolah ataupun dalam
pertandingan bahas atau syarahan. Kalau bukan saya yang mendapat hadiah buku
tersebut, mungkin kakak atau adik perempuan saya yang memperolehinya, juga cara yang
sama melalui peperiksaan ataupun pertandingan bahas dan syarahan.
Terkejut apabila semalam saya mendapat tahu naskah terpakai
buku ini sudah menjangkau RM 50.00 harganya, hari ini saya membuat operasi
mencari buku ini habis-habisan.
Rupanya selama ini buku ini sudahpun berada dalam rak buku
di rumah saya. Oleh kerana ia berbalut kemas dengan kertas hadiah menyebabkan
saya tidak menjumpainya.
Menjadi kebiasaan kami tiga beradik akan membalut buku-buku
hadiah yang kami terima sama ada menggunakan
kertas balut hadiah ataupun kertas minyak. Plastik jarang-jarang sebab harga
agak mahal sewaktu itu. Ada juga yang dibalut dengan hanya kertas majalah yang
tebal dan berkilat itu. Ini adalah “arahan” bapa kepada kami bertiga.
Sekarang dalam operasi mencari senaskah lagi. Dan selepas
ini akan cuba melengkapkan koleksi karya Azizi Hj. Abdullah ini.
Ada sesiapa yang masih membalut buku bacaan sekarang ini?
No comments:
Post a Comment