Showing posts with label Taiping Bandarku. Show all posts
Showing posts with label Taiping Bandarku. Show all posts

Tuesday, November 15, 2016

NOSTALGIA Restoran Bismillah Taiping







NOSTALGIA Restoran Bismillah Taiping

Rasanya sudah lebih 20 tahun tak menikmati juadah di dalam premis makan lagenda di Taiping ini iaitu Restoran Bismillah. Dua, tiga tahun lepas masuk sekejab jumpa kawan pelanggan tetap di sini (Ali Motor) tapi tidak menjamah apapun.

Pagi tadi Emak beritahu Bapa (yang sudah terlantar bedridden lebih empat tahun) teringin hendak makan Rendang Hati di restoran ini. Malangnya hari ini tiada pula menu tersebut.

Sementelah masuk dalam restoran ini aku terasa nak menjamah Roti Canai. Aku memesan Roti Canai dengan Kuah Dal dan Daging Cincang. Kalau memesan Kuah Daging, hanya akan dihantar semata-mata kuah ataupun terselit seketul daging sebagai syarat. Kalau memesan Daging Cincang, dapatlah sepiring kuah dengan ketulan daging.

Menu yang sama dipesan ketika 80an dahulu (semasa sekolah menengah), ketika itu juga selalunya aku keseorangan menjamahnya. Sekeping Roti Canai Garing dengan Kuah Dal dan Daging Cincang serta secawan Teh Tarik. Semasa 80an dahulu set menu sebegini hanya berharga tidak sampai pun RM 3.00. Tetapi hari ini set menu ini berharga RM 6.60 !

Semasa 70an (semasa bersekolah rendah), inilah restoran mewah kepada keluarga kami. Setahun sekali Bapa bawa kami sekeluarga Emak, Kakak, aku dan adik menjamu selera di sini. Kami “makan luar”!

Paling menarik demi memastikan kami menjamu makan dengan sepuas-puasnya, Emak akan bawa Nasi Puteh dalam periuk berbalut tuala!

Kami menjamu selera di tingkat atas. Ketika itu tiada lagi istilah Nasi Kandar atau Nasi Campur. Yang ada hanyalah Nasi Hidang. Pelayan akan bawa banyak lauk-pauk dan sayur dalam piring-piring kecil. Kesemuanya dihidangkan di atas meja. Bapa akan memilih dan mengasingkan piring-piring lauk-pauk tersebut. Piring lauk-pauk yang hendak dimakan sahaja dikekalkan di atas meja kami. Lauk-pauk lain diletakkan di meja bersebelahan kami. Rupa-rupanya setelah dewasa baru aku tahu di Indonesia semua Nasi Minang dihidang sebegini!

Menjamahlah kami dengan sepuasnya. Kadang-kadang aku menjeling juga lauk-pauk yang diasingkan di meja bersebelahan. Biasanya lauk udang, sotong dan ketam yang diasingkan Bapa! Aku hanya menjeling tanpa bersuara. Menu ayam dan daging sudah cukup mengenyangkan kami sekeluarga.

Itulah “makan luar” kami sekeluarga dan hanya setahun sekali! Biasanya pada cuti sekolah bulan Disember.

Terima kasih Bapa! Membawa kami “makan luar”. Terima kasih Emak! Bawa Nasi Puteh seperiuk untuk memastikan kami makan dengan puas.

Klik di sini untuk satu lagi catatan berkaitan Restoran Bismillah ini bertajuk “Kalau 80an dulu, Restoran Bismillah adalah “Taiping Central””.

Kalau 80an dulu, Restoran Bismillah adalah “Taiping Central”. Tak sah kalau pergi Taiping tak turun di hadapan Restoran Bismillah ini. Tak payah turun di “Bas Stand”, turun saja di hadapan Restoran Bismillah ini.

Kalau mai pagi boleh perkena Bubur Gandum. Kalau rasa lapar walau sudah perkena nasi Goreng sepinggan bok Mak Andeh masak subuh sapie, boleh perkena Roti Canai dengan Daging Cincang dalam Restoran Bismillah.

Kalau mai belah matahari sudah naik sepengalah, boleh perkena Chendol Ais Sagat.

Lepas tu langkah jalan pergi “Market Ikan”. Kalau rasa hendak beli “Daging Sejuk”, boleh langkah lagi ke ‘Market Daging”. Kalau kuat berjalan boleh tengok kain baju di Bazar China. Tak pun belek kain pelekat di Kedai Pakistan,

Kalau lepas musim ambik padi, boleh kona ke Market Road bawa Mak Andeh belek seurat dua gelang mas.

Bila nak balik boleh singgah Bintang Tujuh tepi Market Daging beli barang dapur. Last sekali tunggu bas di depan Restoran Bismillah.

Semua ini sebelum jalan tepi Restoran Bismillah itu masih dua hala. Bas dari manapun mesti singgah di sini. Belakang restoran pula ‘Stand Teksi” (Taxi Stand?). Selepas jalan jadi sehala, Cnendol pecah kongsi, ada Chendol Bismillah dan ada Chendol Ansari. Masing-masing tuntut nama Chendol Bismillah Asli!

Kini Taiping Sentral di Jalan Istana Larut, tapak istana Syarifah Salmah, isteri Almarhum Sultan Idris, ibu kepada Raja Razman dan Raja Rashid, kawan aku itu.

Bas memang tak lalu dan tak singgah di Taiping Sentral ini. Pak Su Mat dari Bendang Luas, Ijok dan Mak Lang Hodoh dari Cheruk Pelanduk, Batu Kurau kena naik teksi kalau nak ke Taiping Sentral ini.

Nak beli ikan, daging dan barang dapur jenguk sahaja kat Tesco sebelah Taiping Sentral. Nak beli kain baju sehelai dua pun ada. Gelang mas dan rantai subang berlonggok-longgok ada.


Chendol dan Pasembor pun ada. Pasembor Kadir lagi pulak tu!

Tuesday, October 04, 2016

Jubah Baru Pelajar Maahad Tahfiz Anak Yatim/Miskin Amal Nur Qaseh, Kampung Pasir, Batu 4, Kamunting.















Jubah Baru Pelajar Maahad Tahfiz Anak Yatim/Miskin Amal Nur Qaseh, Kampung Pasir, Batu 4, Kamunting.
Alhamdulillah seramai 27orang penghuni Maahad Tahfiz Anak Yatim/Miskin Amal Nur Qaseh, Kampung Pasir, Batu 4, Kamunting telah mendapat jubah baru mereka pada hari ini 4 Oktober 2016, sumbangan dari Hamba Allah sekeluarga Pantai Timur melalui Program Komuniti Amal Taiping (KaT).
Semoga sumbangan jubah ini menyemangatkan lagi anak-anak ini dalam mendalami pengajian tahfiz mereka..
Kepada penyumbang, anak-anak ini merakamkan syukur Alhamdulillah dan mendoakan agar rezeki penyumbang sentiasa diberkati-Nya, kesihatan dan keselamatan penyumbang sentiasa dipelihara-Nya, dipermudahkan-Nya segala urusan penyumbang

Friday, August 12, 2016

Fully functioning!






Fully functioning!

Dulu Casio-casio saya hanya seorang sahaja yang menjaganya. Premisnya bersetentangan Hotel Panorama Taiping. Setelah dia meninggal dunia, anak perempuan dan menantunya mengambil-aleh kedai dan lebih menumpukan penjualan dari pembaikan serta service.


Atas recommendation seorang veteran, saya beraleh ke Mr Yap, seorang lagi pakar repair jam di Taiping. Menariknya, premis Mr Yap hanya di kaki lima Bazar Cina Taiping (bertentangan stesen teksi) semenjak 50 tahun yang lalu.


Casio saya (yang juga berusia lebih 10 tahun ini) kembali berfungsi sepenuhnya di bawah tangan Mr Yap.

Wednesday, November 04, 2015

Panggung Majestic Taiping 1 Feb 1958





Panggung Majestic Taiping 1 Feb 1958

Kemas-kemas bilik terjumpa cenderahati Book Mark yang diberi oleh mendiang Joe Glover. Menariknya Book Mark ini adalah flyer  filem Island in the Sun yang ditayangkan di Panggung Majestic Taiping pada 1 Feb 1958 di mana Glover bertugas di Taiping ketika itu.

Glover meninggal dunia pada 24 Mei 2006. Sebelum itu hampir setiap tahun atau dua tahun sekali,Glover akan datang ke Taiping dan kami sekeluarga akan menjadi tuan rumah kepada beliau dan isterinya.



Wednesday, October 21, 2015

Yonaz Popiah Pasar Malam Kamunting






Yonaz Popiah Pasar Malam Kamunting 

Sebagai pengemar Popiah sama ada Basah atau Goreng, hampir kesemua Popiah di Taiping saya mencubanya.

Ramai yang mempelawa saya mencuba Yonaz Popiah Pasar Malam Kamunting ini dan sebentar tadi baru berpeluang mencubanya.

Tidak dnafikan Popiah Yonaz ini setanding malah ada yang melebihi kelazatannya dengan beberapa Popiah yang terkenal di Taiping.

Paling menarik hati saya ialah kuah (sos) bersira yang ditabur dengan Bawang Goreng

Tuesday, October 20, 2015

Sumbangan Kerusi Roda & Kupon Makanan




Syukur alhamdulillah

Komuniti Amal Taiping (KaT) minggu ini menyelaraskan dua sumbangan iaitu 

(i) sumbangan kerusi roda dari Hamba Allah Hospital Taiping untuk penghuni Warga Emas (P) Al-Ikhlas Rozy Kampung Ekspo dan 

(ii) sumbangan Kupon Makanan bernilai RM 200.00 untuk Pesta Makanan pada 1 Nov 2015 nanti dari Hamba Allah untuk penghuni Rumah Anak Yatim & Miskin Kediaman Cahaya Ain​, Bagan Serai. 

Semoga sumbangan dan amalan Hamba-hamba Allah ini diberkati-nya.

Sunday, October 18, 2015

Kediaman baru Asrama Tafiz Anak Yatim / Miskin Amal Nur Qaseh





Asrama Tafiz Anak Yatim / Miskin Amal Nur Qaseh sudah mula mendiami kediaman baru mereka di premis berikut-

Asrama Tafiz Anak Yatim / Miskin Amal Nur Qaseh 
Kampung Perwira Batu 4, 34600 Kamunting, Perak

Pengurus/penjaga: En Roslan Ahmad 012-543 0322

Kalau dari Pekan Kamunting, belok kiri lorong kecil di trafic light sekolah (sekolah di seberang kanan jalan). Rumah hujung jalan sekali

Semoga dipermudahkan-Nya segala urusan anak-anak ini.

Wednesday, October 14, 2015

Nizam Tdbb – menaja Nasi Tomato Ori dan menyediakan Nasi Ayam Ori, Nasi Tomato Ori & Nasi Lemak Ori untuk 90 anak yatim dan warga emas








Nizam Tdbb – menaja Nasi Tomato Ori dan menyediakan Nasi Ayam Ori, Nasi Tomato Ori & Nasi Lemak Ori untuk 90 anak yatim dan warga emas

Alhamdulillah, Program kelolaan Komuniti Amal Taiping (KaT) akan disumbangkan oleh Nizam Tdbb Nasi Tomato Ori (esok Khamis 15 Okt 2015) dan pada masa yang sama beberapa Hamba Allah telah menempah makanan (Nasi Ayam Ori, Nasi Tomato Ori & Nasi Lemak Ori) dari Nizam Tdbb (019 927 5592) untuk minggu seterusnya.

Semoga diberkati-Nya amalan dan dimurahkan-Nya rezeki penyumbang-penyumbang melalui KaT ini.

Program Berkongsi Rezeki 4 Rumah Amal (90 penghuni).

Rumah-rumah amal/kebajikan tersebut ialah:

 i. Tafiz Anak Yatim & Miskin Amal Nur Qaseh Kpg Perwira Kmtg (35 penghuni),
ii. Kediaman Cahaya Ain Bgn Serai (15 penghuni),
iii. Rumah Warga Emas (P) Al Ikhlas Rozy  Kpg Ekspo Kmtg  (25 penghuni) &
iv. Rumah warga Emas (L) Aminur Ain Kpg Ekspo Kmtg (15 penghuni) (15 penghuni)

Jumlah sumbangan atau penghantaran makanan ataupun hari tidak ditetapkan. Mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi Penyelaras Komuniti Amal Taiping (KaT) - Lukman Wan Mat Daud 019 558 2626 whatsapp/sms

Tuan/puan juga dialu-alukan untuk menyumbang terus / berhubung terus dengan rumah-rumah kebajikan ini.

(i) Pn Ain, Kediaman Cahaya Ain Bagan Serai 016-504 9564
(ii) Pn Rozi, Rumah Al Ikhlas Rozy Ekspo Kamunting 019-578 7650
(iii) En Rustam, Rumah Amirul Ain Ekspo Kamunting 014-241 0021
(iv) En Roslan, Asrama Tafiz Kpg Perwira, Kamunting 012-543 0322


*Komuniti Amal Taiping (KaT) bukanlah persatuan. KaT adalah gabungan individu sebagai pengantaraan amal. KaT tidak mewakili dan tidak terikat dengan mana-mana rumah kebajikan, persatuan atau NGO

Thursday, October 01, 2015

Rangka Ayam atau Isi Ayam pilhan anda?



Rangka Ayam atau Isi Ayam pilhan anda?

Kadang-kadang mengunyah Rangka Ayam ini lebih asyik dari Isi Ayam.

Rangka Ayam atau Tengkorak Ayam?