Sunday, March 14, 2010

Sup Urat Keting








Peta diubahsuai dari sumber internet


Sup Urat Keting

Setelah posting Sate Urat di Miri dan Sup Urat di Chow Kit, ada yang menghubungi saya mengesyorkan mencuba Sup Urat Keting di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Sebenarnya sebelum inipun saya sudah terbaca tulisan mengenai restoran di akhbar Kosmo.

Sebenarnya Sup Urat Keting bukan makanan baru kepada saya. Setiap kali kalau saya menyambut Hari Raya Aidil Adha di rumah keluarga sebelah ayah saya di Kelantan, inilah makanan wajib ada.

Kebetulan semester ini kelas di Niosh penuh disebabkan dua kelas diadakan serentak, hendak tak hendak saya terpaksa mencari bilik kelas di luar. Akhirnya pemilik sebuah pusat tuisyen yang tiada kelas pada hujung minggu bersetuju dijadikan pusat pembelajaran untuk program yang saya kendalikan.

Kebetulan pusat tuisyen itu di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi yang selorong dengan Restoran Urat Keting ini.

Tengahari semalam saya berkunjung ke restoran ini. Saya lebih tertarik dengan menu Ikan Kembung Percik dan Ayam Percik tetapi kerana hajat awal untuk mencuba Sup Urat Keting, saya simpan dahulu menu Ikan dan Ayam Percik itu di lain hari (ada banyak masa lagi!). Menu lain tengaharinya juga agak hebat.

Bagaimanapun (mengikut selera saya), Sup Urat Keting ini biasa-biasa saja! Pastinya sup di sini ala Kelantan (atau ala Siam?). Cuma Urat Ketingnya “terlalu lembut” walaupun ianya dari Daging Beku Import. Tidak seperti Urat Keting di Chow Kit yang lebih keras. Saya menikmatinya hanya dengan Nasi Puteh tanpa menu tambahan lain agar kenikmatan dirasa sepenuhnya.

Pagi ini pula sebenarnya saya berhajat untuk bersarapan Nasi Daging dengan Gulai Ikan Tongkol Timun Bendang serta Daging Bakar di Pasar Seksyen 1, Bandar Baru Bangi. Sementelah kunjungan saya bulan lepas ke gerai ini telah kehabisan Daging Bakar. Mungkin sudah lewat, saya terus ke kelas di Sekyen 7 ini. Masa yang masih terluang sebelum kelas bermula saya singgah makan Nasi Dagang di Restoran Urat Keting ini.

Sarapan pelbagai menu nasi di restoran ini dihidangkan dengan pelbagai menu lauk pilihan tetapi tiada Daging Bakar (menu hari ini!) dan Gulai Ikan Tongkolnya tiada Timun Bendang! Bagaimanapun ada "Serbuk Kelapanya" menyedapkan Nasi Dagangnya!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Rencana asal.

Berpeluh hirup sup
Kosmo 1 Mac 2009







Sebelum ini, Sabul Ismail, 38, merupakan seorang penjual jam tangan di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Namun kini dia merupakan seorang usahawan berjaya dengan memiliki Restoran Sup Ketin UK bertempat di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Restoran anak kelahiran Terengganu itu menyediakan pelbagai jenis masakan kampung, moden dan juga Barat. Satenya juga tidak kurang sedapnya.

Tidak hairanlah jika ia menerima lebih 500 orang pelanggan setiap hari.

Dijana oleh 20 orang pekerja serta 30 buah meja makan, restoran itu dibuka dari pukul 8 pagi hingga 1 pagi setiap hari. Suasana di restoran itu sahaja sudah cukup membuatkan pelanggan teruja.

Seakan-akan sebuah kopitiam yang diselangi potret gambar menarik di dinding, hidangan masakannya dibuat secara terbuka.

Mengapa namanya Restoran Sup Urat Ketin?

“Sebenarnya buntu saya memikirkan nama restoran ini. Tiga hari saya tidur lewat kerana ingin mencipta kelainan untuk menarik pelanggan.

“Setelah puas berfikir akhirnya datang ilham. Saya rasa sup keting (‘ketin’ dalam dialek Kelantan) merupakan nama terbaik. Anda pelik mendengar namanya, bukan? Sebenarnya yang pelik itulah yang menjadikan orang tertarik,” katanya ketawa.

Sup keting merupakan salah satu menu makanan popular yang terdapat di restoran milik Sabul.

Keting ialah urat kaki lembu berwarna putih dan disaluti lemak. Ia perlu direbus untuk mengasingkan lemaknya. Menu ini amat popular di negeri Kelantan terutama pada Hari Raya Haji.

Malah keting juga boleh dimasak gulai lemak, kerabu dan goreng.

“Saiz keting yang sesuai untuk dibuat sup ialah tiga sentimeter panjang dan satu sentimeter tebal.

“Stok diambil daripada pembekal yang mengimportnya dari New Zealand dan Australia. Sebanyak 30 kilogram urat keting boleh dimasak di dalam sebuah periuk besar,” katanya.

Menurut Sabul, dalam sehari beliau dapat menjual lebih 100 mangkuk sup keting yang berharga RM6 setiap satu.

Antara pelanggan yang selalu datang untuk menikmati sup keting Sabul ialah pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan Kid (Hamzah Mohd. Taib), bekas anggota kumpulan Search.

“Mereka datang sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tetapi saya tidak pula bertanya pada Dr. Fadzilah mengenai rahsia makan sup khususnya bagi orang lelaki,” katanya sambil ketawa.

Sabul juga berkongsi rahsia menyediakan sup keting yang lazat.

“Ramuan untuk membuat sup keting sama seperti membuat sup tulang, sup ekor dan sup gearbox.

“Rempah ratusnya termasuk jintan, kayu manis, bunga lawang, bawang putih, bawang besar, halia dan kayu manis. Semuanya perlu diadun dan direbus bersama selama empat jam.

“Jangan pelik kerana untuk membuatnya perlu ada dua rebusan berbeza, satu rebusan tulang lembu dan satu lagi urat keting bagi membuang lemaknya.

“Apabila telah cukup tempoh rebusan, kedua-dua air rebusan tadi digabungkan sebelum ditambah gula dan garam. Sup ini juga digemari ramai orang Cina,” katanya.

Shahdan Yusof, 29, seorang kontraktor, berpendapat sup keting dapat memberikan beliau tenaga tambahan.

“Saya kerap berpanas di tapak projek, jadi sup keting dapat memberikan saya ‘kuasa’ tambahan. Kebiasaannya saya makan sup ini tiga kali seminggu di sini,” ujarnya.

Dengan peluh mengalir di dahi ketika dia menghirup sup dan mengunyah urat keting. Syahil Siadan, 28, ada pendapat sendiri mengenai sup itu.

“Saya berasal dari Kota Bahru, Kelantan. Kebiasaannya sup keting hanya menjadi menu utama ketika Hari Raya Haji. Kini ia dapat dinikmati setiap hari.

“Saya tidak perlu lagi pulang ke Kelantan kerana di Selangor pun ada sup keting,” katanya berjenaka.

6 comments:

speedrider said...

pada pendapat saya, lebih baik dengan menggunakan daing tempatan. Daging import ni tak 'kaw'

ashley said...

kenot eat many many laaaa
smile

xplorer said...

thank you for highlighting this place .Kalau kat penang , sup urat ni dah benda biasa .sejak pindah kl ni mmg susah btul nak cari sup urat , aku confirm akan mai sini hujung minggu ni, he he

lukmanw@gmail.com said...

1. Mus

Aku tak pasti Chow Kit tu gunak daging tempatan atau import. Tapi aku pasti keluarga belah pak aku di Kelantan tu guna daging tempatan dan segar lagi.

2. Hidayah

Hang pernah mai sini tak? Selang 1 round about shj dari rmh hang tu!

3. Xplorer

Bagi selera aku, Sup Urat Keting di Sec 7 ni biasa-biasa shj. Tapi bolehlah kalau nak rasa sup selain dari sup mamak yg pekat kaw tu.

Lukmanw

Hapi said...

hello... hapi blogging... have a nice day! just visiting here....

ashley said...

Aku lalu jar..sebab restoren tu sesak..Kureng menyukai restoren sesak sesak macam tu..
nak makan stail rehat rehat..
kat seksyen 7 tu selalu pi mydin ngan restoren syarifah...
but not during peak hour!