Tuesday, August 31, 2010

Macam di Lorong Kulit Rope Walk le, ayah!


Rujuk di sini untuk cerita lanjut (JJMK Versi Monier)

Klik di sini untuk cerita sebelum ini

JJMK Merdeka 2010, 31 Ogos 2010



Jalan-jalan Masuk Kampung Merdeka 2010, 31 Ogos 2010

Hari ini tepat jam 9.30 am di Interchange Semanggol/Bukit Merah, aku bertemu lagi 4 buah kereta dari Biro Amal Warga Kilang yang dinaiki oleh Monier, Wahab, Fendy dan Aznee serta ahli keluarga masing-masing. Manakala sebuah kereta lagi ialah 3 orang perempuan dari Intel Penang yang pertama kali menyertai JJMK ini.

Rumah pertama yang dikunjungi hari ini ialah di Parit 5, Tebuk Matau, Bagan Serai iaitu keluarga Hamzah yang turut dikunjungi pada JJMK Hari Pekerja 1 Mei 2010 lalu. Ini merupakan kunjungan semula sementelah kunjungan yang pertama kali dahulu kami hanya berjumpa anak-anaknya.

Kisah kunjungan pertama kali dahulu (lampin pakai buang yang dibasuh untuk diguna semula) boleh dirujuk di sini dan di sini.










Rumah kedua ialah di Sungai Baru, Selinsing di rumah adik Bibi Akhiratul Azzua, 7 tahun yang sakit dan tinggal bersama kakak 12 tahun dan 2 orang 14 tahun (sudah tidak bersekolah) dan seorang abang lagi 10 tahun. Ayah mereka sering meninggalkan mereka kerana menangkap ikan di laut.

Kisah mereka boleh dirujuk
di sini.

Kami juga cuba memujuk abangnya yang sulung agar menyambung semula pelajarannya yang sudah tidak ke sekolah beberapa bulan.











Rumah terakhir untuk siri Jalan-jalan Masuk Kampung Merdeka 2010 hari ini ialah kunjungan semula ke rumah keluarga Puan Ramziah yang kebetulan berselang hanya selorong dengan rumah adik Bibi. Ibu tunggal ini membesarkan 5 orang anak yang sulung baru mencecah sekolah menengah dengan menjual kuih.






Semoga sumbangan kami dan rakan-rakan yang kebanyakannya pekerja kilang ini dapat meringankan sedikit bebanan mereka dan menceriakan anak-anak mereka sempena menyambut kemunculan 1 Syawal tidak beberapa hari lagi ini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Sunday, August 29, 2010

JJMK Ramadhan 2010, 29 Ogos 2010









Jalan-jalan Masuk Kampung Ramadhan 2010, 29 Ogos 2010

Pagi ini seawal 6.30am, aku sudah keluar rumah di Kamunting menuju ke Kulim Hi-Tech Park melalui Bandar Baru, Serdang dan Sungai Ular di mana ia adalah laluan harian aku selama dua tahun lebih (2003-2006) semasa aku bekerja sebagai Senior Engineer di kilang elektronik Celestica Malaysia.

Semalam baru sahaja selesai Majlis Sumbangan Duit Raya dan Cenderahati kepada anak yatim dan pelajar miskin di sekolah lama aku di Ipoh, hari ini pula aku akan bersama NGO Warga Kilang untuk aktiviti tahunan kami di bulan Ramadhan. Malah pada tahun ini kami merancang untuk mengadakannya pada tiga tarikh berturutan iaitu 29 Ogos, 31 Ogos dan 5 September 2010.

Kami berkumpul seawal 8.00am dengan agihan barangan keperluan mengikut identiti 11 keluarga yang telah dikenal pasti di Daerah Sik dan Nami.

Kali ini kami bersedia dengan agihan awal untuk mengelakkan kelewatan semasa mengagihkan barangan dalam perjalanan kelak. Aku dipertanggungjawab untuk menyelia pergerakan konvo telah membuat beberapa perancangan awal seperti identiti kenderaan secara bernombor, no. HP pemandu dan penumpang hadapan dan juga mengedarkan tatacara berkonvoi tanpa pengiring (marshal) sementelah ada di antara kami yang hanya pertama kali bertemu di pagi ini.

Kali ini juga dua buah gergasi elektronik di KHTP (dengan jumlah pekerja yang ramai sebagai wakil) turut bersama kami atas dasar 'Corporate social responsibility (CSR) mereka.

Mungkin hanya sedikit latar belakang keluarga yang aku catatkan di sini. Hanya gambar-gambar yang dipaparkan yang mampu menceritakan kedaifan dan kemiskinan mereka mengharung realiti kehidupan di muka bumi Malaysia ini.








Keluarga Abdul Wahab di Kpg Gajah Putih, Jeneri ialah pendahulu senarai kunjungan kami yang terdiri dari 18 buah kenderaan. Waktu kami tiba, Abdul Wahab masih di kebun berdekatan mengambil upah menoreh. Keluarga ini mempunyai tiga orang anak (lelaki 5 tahun, perempuan 2 tahun dan lelaki 1 bulan) tinggal di sebuah rumah separuh siap tiada bilik dengan ehsan pemilik kebun.





Masih di kawasan kebun getah Kpg Gajah Putih, kami ke rumah keluarga Mohd Roslan yang mempunyai tanggungan seorang anak dan dua ibu bapanya. Hanya isterinya sahaja ada di rumah yang hanya berdindingkan anyaman buluh.




Kami juga berkunjung ke rumah jirannya iaitu keluarga Mohd Nor yang menanggung isterinya yang lumpuh dan tinggal di rumah PPRT. Mohd Nor mempunyai empat orang yang berusia 18 tahun (perempuan masih belajar), 15 tahun (perempuan), 11 tahun (lelaki) dan 8 tahun (perempuan).








Seterusnya kami ke rumah keluarga Rosli Kadir yang dalam kesulitan hidup masih bersifat patriotik mengibarkan Jalur Gemilang di hadapan rumahnya. Rosli mempunyai empat orang anak yang 15 tahun (lelaki), 12 tahun (perempuan), 9 tahun (perempuan) dan 6 tahun (perempuan).






Rombongan kami berhenti seketika di Masjid Kpg Betong untuk memberi peluang ahli rombongan terutama kaum perempuan dan anak kecil ke bilik air.



Gambar berikut adalah rumah di Kpg Betong, yang telah dibantu oleh Warga Kilang untuk pembinaan bilik air dan gambar seterusnya sebuah rumah lagi yang telah didirikan semula dengan bantuan setelah kisah keluarga ini disiarkan dalam rancangan Bersamamu TV3 yang awal sebelumnya dikunjungi oleh Warga Kilang dalam program kemasyarakatan kami.




Di Kpg Betong ini kami singgah di rumah keluarga Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan Pak Din. Pak Din seorang duda tinggal bersama anak perempuannya seorang ibu tunggal dengan empat orang cucu.




Seterusnya kami ke rumah keluarga Che Puteh seorang ibu tunggal yang tinggal bersama sebuah keluarga ibu tunggal yang lain. Di rumah ini tinggal empat orang kanak-kanak 11 tahun (perempuan), 9 tahun (lelaki), 5 tahun (lelaki) dan 3 tahun (lelaki).

Di Kpg Nami Lama kami singgah di rumah keluarga Alias yang dari luar terpampang piring Astro. Itulah realitinya, tanpa siaran percuma RTM, rata-rata keluarga di daerah ini melanggan pakej asas Astro mengikuti perkembangan dunia luar.

Rumah agam yang daif dengan kesan anai-anai ini mempunyai empat orang anak 20 tahun (lelaki), 17 tahun (perempuan), 15 tahun (lelaki) dan 8 tahun (lelaki). Anak yang sulung bekerja di kantin sekolah berdekatan untuk membantu keluarga.





Kami singgah rumah keluarga ibu tunggal Suraya Abdul Hadi di Kpg Tanjung Piring yang menyara empat orang anak yang masih kecil dengan bekerja sebagai pencuci di sekolah berdekatan.









Di Simpang Tiga Nami kami singgah di rumah keluarga Mohd Rizuan juga penoreh getah yang cacat anggota jarinya akibat kemalangan. Mohd Rizuan mempunyai empat orang anak 10 tahun (lelaki), 9 tahun (perempuan), 6 tahun (lelaki) dan 3 tahun (perempuan).







Kami singgah sebentar untuk solat berjemaah di Masjid Kampung Baru Nami.






Masih di kawasan Kpg Tanjung Piring, kami singgah sebuah rumah yang lebih sesuai dipanggil bangsal yang tiada kemudahan elektrik dan air didiami oleh keluarga Mohd Din dengan empat orang anaknya 14 tahun (lelaki), 10 tahun (perempuan), 8 tahun (perempuan) dan 3 tahun (lelaki).

Pada masa yang sama kami juga menyua sedikit sumbangan kepada jiran-jiran Mohd Din di antaranya OKU dan keluarga daif/miskin juga.











Keluarga terakhir kunjungan kami hari ini ialah di rumah Kamarudin yang baru berpindah dari rumah sebelumnya yang hampir runtuh dan menyewa (RM 30.00 sebulan) di sebuah rumah usang berdekatan.

Kamarudin menyara empat orang anaknya 13 tahun (lelaki), 10 tahun (perempuan), 4 tahun (lelaki) dan 3 tahun (perempuan).












Selesai perjalanan kami hari ini jam 5.30 pm dan aku sampai di rumah hanya beberapa minit sebelum waktu berbuka. Bagaimanapun seorang rakan telah menyediakan sedikit makanan ringan dan kurma untuk berbuka jika tidak sempat sampai di rumah. Alhamdulillah syukur rombongan kami yang terdiri dari 18 buah kenderaan ini selamat pergi dan balik tanpa apa-apa kejadian yang tidak diingini.

Kami akan kembali lagi menyambung perjalanan kami pada 31 Ogos dan 5 September 2010 ini.

lukmanw@uum.edu.my
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/