Showing posts with label Kenangan. Show all posts
Showing posts with label Kenangan. Show all posts

Tuesday, November 15, 2016

NOSTALGIA Restoran Bismillah Taiping







NOSTALGIA Restoran Bismillah Taiping

Rasanya sudah lebih 20 tahun tak menikmati juadah di dalam premis makan lagenda di Taiping ini iaitu Restoran Bismillah. Dua, tiga tahun lepas masuk sekejab jumpa kawan pelanggan tetap di sini (Ali Motor) tapi tidak menjamah apapun.

Pagi tadi Emak beritahu Bapa (yang sudah terlantar bedridden lebih empat tahun) teringin hendak makan Rendang Hati di restoran ini. Malangnya hari ini tiada pula menu tersebut.

Sementelah masuk dalam restoran ini aku terasa nak menjamah Roti Canai. Aku memesan Roti Canai dengan Kuah Dal dan Daging Cincang. Kalau memesan Kuah Daging, hanya akan dihantar semata-mata kuah ataupun terselit seketul daging sebagai syarat. Kalau memesan Daging Cincang, dapatlah sepiring kuah dengan ketulan daging.

Menu yang sama dipesan ketika 80an dahulu (semasa sekolah menengah), ketika itu juga selalunya aku keseorangan menjamahnya. Sekeping Roti Canai Garing dengan Kuah Dal dan Daging Cincang serta secawan Teh Tarik. Semasa 80an dahulu set menu sebegini hanya berharga tidak sampai pun RM 3.00. Tetapi hari ini set menu ini berharga RM 6.60 !

Semasa 70an (semasa bersekolah rendah), inilah restoran mewah kepada keluarga kami. Setahun sekali Bapa bawa kami sekeluarga Emak, Kakak, aku dan adik menjamu selera di sini. Kami “makan luar”!

Paling menarik demi memastikan kami menjamu makan dengan sepuas-puasnya, Emak akan bawa Nasi Puteh dalam periuk berbalut tuala!

Kami menjamu selera di tingkat atas. Ketika itu tiada lagi istilah Nasi Kandar atau Nasi Campur. Yang ada hanyalah Nasi Hidang. Pelayan akan bawa banyak lauk-pauk dan sayur dalam piring-piring kecil. Kesemuanya dihidangkan di atas meja. Bapa akan memilih dan mengasingkan piring-piring lauk-pauk tersebut. Piring lauk-pauk yang hendak dimakan sahaja dikekalkan di atas meja kami. Lauk-pauk lain diletakkan di meja bersebelahan kami. Rupa-rupanya setelah dewasa baru aku tahu di Indonesia semua Nasi Minang dihidang sebegini!

Menjamahlah kami dengan sepuasnya. Kadang-kadang aku menjeling juga lauk-pauk yang diasingkan di meja bersebelahan. Biasanya lauk udang, sotong dan ketam yang diasingkan Bapa! Aku hanya menjeling tanpa bersuara. Menu ayam dan daging sudah cukup mengenyangkan kami sekeluarga.

Itulah “makan luar” kami sekeluarga dan hanya setahun sekali! Biasanya pada cuti sekolah bulan Disember.

Terima kasih Bapa! Membawa kami “makan luar”. Terima kasih Emak! Bawa Nasi Puteh seperiuk untuk memastikan kami makan dengan puas.

Klik di sini untuk satu lagi catatan berkaitan Restoran Bismillah ini bertajuk “Kalau 80an dulu, Restoran Bismillah adalah “Taiping Central””.

Kalau 80an dulu, Restoran Bismillah adalah “Taiping Central”. Tak sah kalau pergi Taiping tak turun di hadapan Restoran Bismillah ini. Tak payah turun di “Bas Stand”, turun saja di hadapan Restoran Bismillah ini.

Kalau mai pagi boleh perkena Bubur Gandum. Kalau rasa lapar walau sudah perkena nasi Goreng sepinggan bok Mak Andeh masak subuh sapie, boleh perkena Roti Canai dengan Daging Cincang dalam Restoran Bismillah.

Kalau mai belah matahari sudah naik sepengalah, boleh perkena Chendol Ais Sagat.

Lepas tu langkah jalan pergi “Market Ikan”. Kalau rasa hendak beli “Daging Sejuk”, boleh langkah lagi ke ‘Market Daging”. Kalau kuat berjalan boleh tengok kain baju di Bazar China. Tak pun belek kain pelekat di Kedai Pakistan,

Kalau lepas musim ambik padi, boleh kona ke Market Road bawa Mak Andeh belek seurat dua gelang mas.

Bila nak balik boleh singgah Bintang Tujuh tepi Market Daging beli barang dapur. Last sekali tunggu bas di depan Restoran Bismillah.

Semua ini sebelum jalan tepi Restoran Bismillah itu masih dua hala. Bas dari manapun mesti singgah di sini. Belakang restoran pula ‘Stand Teksi” (Taxi Stand?). Selepas jalan jadi sehala, Cnendol pecah kongsi, ada Chendol Bismillah dan ada Chendol Ansari. Masing-masing tuntut nama Chendol Bismillah Asli!

Kini Taiping Sentral di Jalan Istana Larut, tapak istana Syarifah Salmah, isteri Almarhum Sultan Idris, ibu kepada Raja Razman dan Raja Rashid, kawan aku itu.

Bas memang tak lalu dan tak singgah di Taiping Sentral ini. Pak Su Mat dari Bendang Luas, Ijok dan Mak Lang Hodoh dari Cheruk Pelanduk, Batu Kurau kena naik teksi kalau nak ke Taiping Sentral ini.

Nak beli ikan, daging dan barang dapur jenguk sahaja kat Tesco sebelah Taiping Sentral. Nak beli kain baju sehelai dua pun ada. Gelang mas dan rantai subang berlonggok-longgok ada.


Chendol dan Pasembor pun ada. Pasembor Kadir lagi pulak tu!

Wednesday, November 18, 2015

D-link Wireless




Project 5S tak habis-habis lagi. Kemas rumah hari ini terjumpa D-link Wireless ini.

Saya beli D-link Wireless mobile ini awal 2000an untuk dipasang pada laptop Asus saya yang ketika itu tiada wireless. Walaupun laptop Asus (besar gedabak!) ketika sudah itu ada bluetooth, card reader dan pelbagai teknologi moden lagi, wireless card tidak disertakan.

Saya beli di Yik Foong Ipoh dengan harga hampir RM 600.00.

Hampir saya buang kerana wireless card desktop awal tahun 2000an yang saya ada juga tidak boleh di-insert lagi pada motherboard desktop kini yang sudah bersize kecil.

Saya install D-link Wireless mobile ini kepada dekstop dalam bilik study saya.

Ya, saya sudah ada desktop wireless sekarang

Monday, November 16, 2015

Nostalgia Perarakan Hari Belia 1987.




Nostalgia Perarakan Hari Belia 1987. 

Saya Jacket Bell Hitam Bahu Merah di belakang arwah MYB (Ninja 9) Rasanya early 1987 sbb masa ni Geng Daya Bumi/Tabung Haji masih ramai pakai 2-stroke RD, YPVS, RG dan NSR. End 1987 sudah ramai tukar 4-stroke Katana, GS, GSXR400, GPZ550, 600 dan GPX

Wednesday, November 04, 2015

Panggung Majestic Taiping 1 Feb 1958





Panggung Majestic Taiping 1 Feb 1958

Kemas-kemas bilik terjumpa cenderahati Book Mark yang diberi oleh mendiang Joe Glover. Menariknya Book Mark ini adalah flyer  filem Island in the Sun yang ditayangkan di Panggung Majestic Taiping pada 1 Feb 1958 di mana Glover bertugas di Taiping ketika itu.

Glover meninggal dunia pada 24 Mei 2006. Sebelum itu hampir setiap tahun atau dua tahun sekali,Glover akan datang ke Taiping dan kami sekeluarga akan menjadi tuan rumah kepada beliau dan isterinya.



Sunday, November 01, 2015

Ada sesiapa nak bagi motor?



Ada sesiapa nak bagi motor?

Mid 80s, rakan sekerja ketika itu di KL, Dr Zaini Shaarani ghairah sekali menceritakan Gillera 125 beliau yang diletak di dalam bilik kondominiumnya di Kelana Jaya.

Menariknya Gillera 125 itu diberikan kepada beliau oleh seorang kenalan baru di Marang. Tidak lama kemudian Dr Zaini dapat lagi secara percuma sebuah Honda XL500! Murah betul rezekinya.

Tertanya-tanya aku sewaktu itu - akan adakah rezeki aku sedemikian?

Tahun lepas tanpa diduga seorang kenalan baru (rasanya tidak sampai seminggu berkenalan) memberi aku sebuah basikal classic mini Raleigh Coastal miliknya dengan pesanan - kalau aku sudah tidak mahu lagi, pulangkan balik kepadanya.

Minggu lepas seorang jiran pula menawarkan aku secara percuma sebuah motosikal retro 80an. Bagai pucuk dicita ulam mendatanglah jawabnya.

Agak-agak bila pula yang akan bagi Land Rover Defender 110 ataupun sekurang-kurangnya Ford Escort Mark II pula kepada aku ini?

Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan

Monday, September 28, 2015

Kapal Selam timbul dan Roti Kapal ditengelamkan



Kapal Selam timbul dan Roti Kapal ditengelamkan

Berseorangan di dalam bilik Crystal Crown Hotel KL apabila membaca status Kapal Selam timbul tiba-tiba terkenangkan Roti Kapal yang ditengelamkan (dicicah) dalam Kopi-O.

Huhhhhh di luar hotel pula hujan masih mencurah turun

Thursday, September 24, 2015

Ketupat Pulut Berkacang


Ketupat Pulut Berkacang

Lemang Jagung sudah! Lemang Tepung sudah! Lemang Tepung Pandan sudah! 

Ketupat Pulut sudah! Ketupat Nasi sudah!

Tiba-tiba teringatkan Ketupat Pulut Berkacang yang sudah lama tidak dicicip.

Ada sesiapa tahu di mana boleh dapat / dibeli Ketupat Pulut Berkacang ini?

Gambar dari internet

IRC dan ASL


IRC dan ASL

Teringat 1st time cuba IRC, Internet Relay Chat awal tahun 2000. Di bilik boss lagi (En JH) dan diajar oleh IE Engineer (SA).

Dapat soalan ASL intro. Ingat dia bagi salam. Aku jawab WSL. :-) :-) :-) Mesti panic yang tanya soalan tu.

Wednesday, September 23, 2015

Rezeki Malam Aidiladha - Lemang Tepung Pandan



Mak baru telefon mai ambik lemang pulut dan lemang tepung, siap dengan rendang daging dan rendang ayam tua.

Lemang tepung pandan lagi.

Esok-esok nak cari lemang jagung sahaja.



Pucuk dicita, ulam mendatang! Rezeki pelengkap Aidiladha. Baru sahaja Mak bagi Lemang dan Rendang, menyusul pula Ketupat dan Rendang Ayam pemberian keluarga rakan anak.

Monday, September 21, 2015

Gadis cilik penjual Nasi Lemak Daun Pisang Medan Penjaja Jalan Tenggiri Seberang Prai






Gadis cilik penjual Nasi Lemak Daun Pisang Medan Penjaja Jalan Tenggiri Seberang Prai

2006, kanak-kanak cilik ini lebih sebagai peneman ibunya penjual Nasi Lemak Daun Pisang di Medan Penjaja Jalan Tenggiri Seberang Prai.

2010, kanak-kanak cilik ini sudah berubah menjadi gadis cilik yang berseorangan full swing mengendalikan meja yang penuh dengan Nasi Lemak Bungkus Daun Pisang dan pelbagai lauk-pauk tambahan.

Hari ini, ibunya kembali berseorangan mengendalikan meja yang sama cuma tiada lagi lauk-pauk tambahan.

Ke manakah pergi gadis cilik ini? further studies? atau sudah bekerja?

Posting sebelum ini 9 March 2010 di sini.

Gadis cilik penjual Nasi Lemak Daun Pisang

Petang tadi dalam perjalanan pulang dari Sintok ke Taiping semasa melalui Prai, aku tertiba ingin menjamah Ketiaw Goreng dan Capati Dil Rubah di Medan Selera Jalan Tenggiri. Kalau ada Nasi Lemak Daun Pisang yang dijual Gadis Cilik di situ mau juga dibeli sama.

Dari jauh lagi aku sudah terlihat kelibat Gadis Cilik ini yang lincah jemarinya membungkus Nasi Lemak dalam Daun Pisang.

Seingat-ingat aku, aku mula membeli Nasi Lemak Daun Pisang ini semenjak tahun 2006 iaitu ketika aku mula mengajar di Prai ini. Ketika itu Gadis Cilik ini rasanya masih bersekolah rendah. Ketika itu dia hanya penunggu deretan Nasi Lemak-Nasi Lemak yang sudah siap berbungkus yang pastinya dibungkus oleh orang dewasa yang mungkin juga ahli keluarganya yang terdekat.

Kini Gadis Cilik ini memonopoli dari menjual nasi lemak berbungkus dan juga nasi lemak berlauk lain.

Seperti biasa juga, selain Nasi Lemak Daun Pisang, turut dibeli Ketiaw Goreng dan Capati yang kesemuanya dalam tiga pangku; satu pangku sudah tentu untuk aku, isteri seorang aku itu dan anak jantan seorang aku itu; satu pangku lagi untuk bapa dan mak aku di Kampung Pinang dan satu pangku lagi untuk emak mertua dan adik ipar aku di Rumah Awam Jalan Stesen.

Maklumlah anak yang taat dan juga menantu mithali!

Monday, September 07, 2015

Nostalgia Medan Selera Taman Kanak-kanak Ipoh @ Angel Park Ipoh










Nostalgia Medan Selera Taman Kanak-kanak Ipoh @ Angel Park Ipoh

Medan Selera Taman Kanak-kanak ini terletak di antara Jalan Raja Musa Aziz (Anderson Road) dan Jalan Tahwil Azhar (Osborne Street). Jalan Tahwil Azhar kini terkenal dengan Gerbang Malam Ipoh.

Medan Selera ini juga dahulu dikenali sebagai Angel Park kerana bangunan Kamdar sekaran g ini yang terletak di persimpangan  Jalan Raja Musa Aziz dengan Jalan Mustaha Al-Bakry (Clare Street) dahuiunya adalah Supermarket Angel.

Medan Selera ini adalah tumpuan kami pelajar-pelajar sekolah berasrama di Ipoh tahun 80an. Setelah puas menonton wayang dan jemu di Superkinta atau habis duit di Jublee Park, kami menjamu selera di Medan Selera ini.

Ada beberapa pemilik gerai di sini sentiasa curiga kunjungan kami. Manakan tidak bukan sahaja Mee Goreng atau Mee Kuah  dimakan dengan Sos Chili berbotol-botol, malah dengan ABC pun kami bubuh Sos!

Kunjungan sebentar tadi bersama anak lelaki saya amat memilukan hati. Semuanya hampir tinggal nostalgia sahaja, Banyak gerai yang hanya menjual ibu kunci! Popiah S.S. Ali masih meniaga tapi hari ini tutup pula. Semasa zaman remaja, kami tidak makan Sopiah S.S. Ali ini kerana “tidak kenyang”! Begitu juga dengan Satay Endut yang hanya kami mampu tengok sahaja.

Saya mula mengenali dan berkawan dengan Muhammad Taba (arwah) anak kepada Endut sekitar 1987 apabila saya mengadakan Pameran Motosikal di Sekolah Agama Izzuddin Shah,

Teringat lagi kata-kata arwah yang juga antara superbiker terawal di Ipoh ketika itu kepada saya. Beliau merakamkan kekaguman kerana pameran motosikal itulah yang menarik ramai mat-mat motor di Ipoh “masuk” ke perkarangan sekolah agama!

Arwah dan abangnya Nan (arwah) dikenali ramai superbiker di Malaysia terutama di KL ketika itu. Malah kami beramai-beramai dari KL datang ke Ipoh meraikan majlis perkahwinannya penghujung 80an.

Saya berkesempatan berbual dengan pekerja Satay Endut semasa makan malam tadi. Itulah realitinya Medan Selera Taman Kanak-kanak ini. Kemunculan banyak premis makan dan pada masa yang sama kesukaran mendapatkan tempat letak kereta menyebabkan perniagaan di medan selera ini semakin hari semakin malap.

Catatan antara ingat dan lupa, medan selera ini juga menyaksikan pergaduhan di  antara dua pasukan beruniform dan tragedi seorang remaja dipukul oleh pihak pengurusan Supermarket Angel kerana disyaki mencuri. Agaknya kalau ada media sosial seperti FB ketika itu kecoh seMalaysia.


Monday, August 31, 2015

Arwah Cikgu Walat yang saya kenali


Arwah Cikgu Walat yang saya kenali

Saya memulakan persekolahan saya Darjah 1 di Sekolah Rendah Long Jaafar Kamunting di tahun 1974. Walaupun begitu hanya sebulan kerana berpindah ke Sekolah Rendah Jalan Shaw (kini Jalan Hang Tuah) Kuala Lumpur kerana mengikuti bapa yang bertukar kem askar di sana.

Ketika ini saya tidak berpeluang mengenali arwah dan juga anaknya, Ahmad Hisham walaupun kami sebaya dan bersekolah yang sama cuma berlainan kelas.

Tahun 1978, bapa pencen dan kembali ke Kamunting. Saya menyambung persekolahan Darjah 5 di Sekolah Rendah Long Jaafar semula.
Pun begitu saya tidak begitu rapat dengan arwah kerana saya gerun melihatnya disebabkan 2  perkara.

Pertama arwah adalah Guru Muzik, manakala saya adalah seorang yang Buta Muzik! Berbeza dengan kakak saya Wan Norizan (yang dikenali sebagai Kak Long ketika itu) yang boleh bermain pelbagai alat muzik. Seingat saya, arwah pernah “memaksa” saya bermain alat muzik Besi Tiga Segi itu. Itupun masih sumbang ketika saya mengetuknya!

Kedua, arwah berwatakan serius dan jujur saya katakan arwah lebih “bergaya” sebagai Guru Disiplin dan bukannya Guru Muzik.

(Sedikit cemburu apabila pertama kali berjumpa arwah, dia terus bertanyakan kakak saya. Malah di kalangan rakan sebaya, saya lebih dikenali sebagai Lukman adik Kak Long!)

Penghujung tahun 90an semuanya berubah. Ketika ini anak arwah, Ahmad Fazli Hisham mula bergiat sebagai pelumba dalam acara motorsport Malaysian Cub Prix Championship di mana saya sebagai Secretary of the Meet.

Dalam satu perlumbaan terawal Fazli, sewaktu saya memeriksa trek, saya ternampak arwah sedang berjalan dari paddock menuju ke race control. Saya meminta pemandu van memberhentikan van dan mengajak arwah menaikinya. Terkejut juga arwah ketika itu melihat saya.

Awal dan pertengahan tahun 2000an, ketika saya aktif dalam mengawalselia perlumbaan Malaysian Cub Prix Championship ini, kami sentiasa berjumpa dan berhubung. Jika ada mana-mana pegawai perlumbaan lain atau pihak penaja bersama kami, saya akan memperkenalkan arwah sebagai guru saya. Malah arwah juga sering memberitahu semua bahawa saya adalah anak muridnya.

Kegembiraan yang amat-amat kami kongsi  bersama ialah ketika suatu perlumbaan di Kluang awal 2000an. Ketika itu anak arwah, Ahmad Hisham dan cucu-cucu arwah juga bersama. Arwah memberitahu kepada ramai orang bahawa Ahmad Hisham (anaknya) dan saya (anak muridnya) adalah bersekolah yang sama di sekolah yang diajarnya.

Ketika itu kami berkongsi kegembiraan berganda apabila Fazli menjuarai acara Expert manakala Fazrul (seorang lagi anak arwah) menjadi naib juara acara Novice dan menjuarai acara Wira.

Kemudian dalam satu perlumbaan di Kangar pula, rombongan arwah disertai oleh adik iparnya iaitu Hafisah Samsuddin (ketika itu Hafisah dan suaminya menetap di Kangar) yang kebetulan juga sebaya dan bersekolah sama dengan saya. Arwah juga begitu riang memberitahu kepada Clerk of the Course ketika itu, Bulldog Kuan bahawa adik iparnya itu sebaya dan bersekolah yang sama dengannya. Malah masih teringat saya apabila kami sama-sama ketawa ketika arwah isteri memberitahu kami semua bahagaimana ketika itu beliau mendapat seorang anak (Ahmad Hisham) dan seorang adik (Hafisah) serentak pada tahun yang sama.

Di awal tahun 2000an itu juga saya pernah mengesyorkan arwah memperancangkan masa depan kedua-dua anaknya Fazli dan Fazrul ini. Terasa bangga apabila arwah memberitahu saya ketika itu dia dalam persiapan untuk membuka sebuah kedai motosikal di Kamunting. Kini perniagaan Kedai Motosikal AFS di Kamunting (berdekatan The Store) mula menjadi sebutan terutama di kalangan anak muda.

Kelibat arwah dan isterinya memang sentiasa di dalam litar. Sentiasa memberi sokongan kepada kedua-duanya anak itu. Pada saya factor kekeluargaan juga adalah pendorong kepada kejayaan Fazli dan Fazrul ini.

Walaupun saya tidak berpeluang belajar muzik dari arwah tetapi saya tetap menganggap arwah sebagai guru saya.

Antara teladan arwah yang in sya Allah saya akan ikut ialah sentiasa meyokong apa jua kerjaya anak.

Arwah meninggal dunia hari Ahad 30 Ogos 2015 9.00 am di Katil 22, Wad 6B, Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh dan dikebumikan di Kamunting.


Semoga arwah Abdul Walat Bin Sohor dirahmati-Nya.

Sunday, August 30, 2015

Supper - pesan emak sekadar untuk tarik selimut




Supper - pesan emak sekadar untuk tarik selimut

Hujan yang menyindir!


Hujan yang menyindir!

Di era mid to end 80s, hujan lebat bagaikan sahabat karibku. Kalau di atas tarmac jalan kering biasanya aku tertinggal di belakang terutama kepada si full throttle yang jarum spedo motosikal masing-masing melebihi 200 kmj.

Tetapi di dalam hujan lebat entah dimana aku dirasuk sentiasa di hadapan.

Hujan yang sentiasa ku tunggu dulu sudah menyindir ku sekarang.

Throttle sudah takut untuk dipulas.

Rintikannya sahaja kini boleh membaringkan aku sehari dua.

Bunga Telur @ Telur Rebus Kenduri Kahwin



Bunga Telur @ Telur Rebus Kenduri Kahwin

Dua hari ini sudah sudah beberapa biji Telur Rebus Kenduri Kahwin yang dibawa pulang ke rumah. Itupun ada rumah kenduri kini meggantikan Telur Rebus dengan Gula-gula.

Teringat masa kecil dahulu, emak akan mengumpulkan telur-telur yang diperolehi. Biasanya keesokan atau ketulatan hari, emak akan masak menu Telur Sambal. Jadilah semata lagi lauk untuk kami sekeluarga.

Teringat masa kecil, bapa setiap kali beli bungkus Pasembur atau Mee Rebus, mesti diordernya tanpa Telur Rebus. Sekurang-kurang sudah jimat beberapa sen.

Teringat masa mid to end 80s era bujang di Jalan Bangsar, menu harian makan malam ialah Nasi Goreng. Lauk tambahan Telur Goreng Mata adalah indicator pocket! Kalau tambah Telur Mata, makna pocket masih tebal. kalau Nasi Goreng biasa faham-faham le! Walaupun Makcik Gemuk Gerai sebelah Balai Riong itu dengan senang hati kami "makan tulis dulu", indicator ini tetap diamalkan.

Riuhlah masa nak bayar bila Makcik Gemuk akan bersuara kuat - "Ina tolong kira meja depan, abang yang cermin mata tak ada telur, abang yang pakai jaket tu ada telor".

Tersipu-sipu anak dara Makcik Gemuk ini!

Sunday, August 23, 2015

Roti Sandwich cicah Kuah Gulai


Sudah lama tak berkudapan petang Roti Sandwich cicah Kuah Gulai
Kecik-kecik dulu Mak bubuh gula sedikit dlm kuah gulai tu.

Wednesday, August 19, 2015

tak tun, tak tun,







Sajak pertama yang dideklamasikan oleh anak saya Muhammad Nur Hakim di Perkemahan Anak Pekerja Silverstone, Ulu Kenas 1999 (semasa beliau berusia 3 tahun)

Tak Tun 
Abdul Ghafar Ibrahim (AGI) 1978

tak tun, tak tun,
tak tun, tak tun, tak tun ...
tak tun, tak tun, tak tun,
tak tun, tak tun, tak tun,
tak tun, tak tun, tak tun,
tak tun, tak tun, tak tun,
tak tun, tak tun, tak tun,
tak tun, tak tun, tak tun,
tak tuuun, tak tun ...
tak tun, tak tun, tak tun,
tak tun, tak tun, tak tun,
tak tun, tak tun, tak tun,
tak tun ... tak tun, tak tun, tak tun, tak tun, tak tun, tak tun