Tuesday, July 06, 2010

Sarapan Ubi Kayu Kukus di MS Garden Kuantan



Sarapan Ubi Kayu Kukus di MS Garden Kuantan

Sabtu dan Ahad lepas, aku dan orang rumah aku seorang itu bersarapan di Sunway Hotel Prai. Mungkin kerana sudah terlalu kerap bersarapan di sini dengan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan, tekak aku sudah tidak berselera lagi untuk mencicip sebarang menu. Nasi Goreng dan Mee (atau berselang Ketiaw) Goreng terasa tidak lengkap perencahnya. Nasi Lemak dengan "Sambal Bawang Majid" nya terasa ntah apa-apa. Toseinya terasa hambar. Mungkin menyelerakan sikit adalah lauk Ayam Pandan bersegi-tiganya!

Menu yang sama untuk sarapan dalam tempoh tiga, empat tahun ini. Kalau yang pertama kali atau sekali-sekala bersarapan di sini tentu tidak merasanya tetapi bagi kami sekeluarga yang mula menghuni di hotel ini semenjak akhir 2006 sudah terasa jemunya. Kadang-kadang aku hanya bersarapan dengan pisang! Pernah aku melawak dengan pekerja di sini dan jawapan mereka ialah; apa nak buat Chef yang sama! Mungkin kena tukar Chef kut?

Pagi Ahad aku mendapat panggilan telefon dari Penolong Naib Canselor meminta aku mewakili jabatan ke Pelancaran/Seminar Minggu OSH di Universiti Malaysia Pahang di Gambang pada hari Isnin. Petangnya terus aku memandu ke Kuantan dan menginap di MS Garden.

Aku biasa menginap di sini awal hingga pertengahan 2000an semasa berlangsungnya Cub Prix di Kuantan atau Pekan. Tetapi tidak perasan menu sarapannya kerana acap-kali aku keluar seawal pagi sebelum masa sarapan bermula.

Pagi semalam aku bersarapan dengan Ubi Kayu Kukus. Menu lain seperti Nasi Lemak, Roti Canai, Mee Goreng (digoreng apabila ada permintaan!) aku tolak tepi.

Mulanya aku menyangka ketulan ubi rebus dalam periuk kukus ini mesti keras kerana tidak ternampak ketulan asap keluar apabila tudung periuk dibuka. Tekaan aku meleset kerana isinya empuk dan lembut sekali.

Cicahannya bukan sahaja ada kelapa parut dan gula merah tetapi turut disediakan sambal manis! Tidak perlulah aku "mencuri" sambal tumis seperti aku lakukan kalau bersarapan ubi kayu rebus di Hotel Quality KL.

Huh! Kalaulah boleh aku nak tapau bawa masuk bilik lagi!

Apapun mungkin juga kedatangan aku hanya sekali-sekala di Hotel MS Garden ini. Kalau terlalu kerap mungkin juga aku akan merasa jemu.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

Kadang-kadang bersarapan dengan 'welcome drink dan fruit' dalam bilik seperti di Hotel Sunway Prai ini lagi terasa 'cool'.

1 comment:

Unknown said...

salam singgah!!
btw, nice blog~