Sunday, August 29, 2010

JJMK Ramadhan 2010, 29 Ogos 2010









Jalan-jalan Masuk Kampung Ramadhan 2010, 29 Ogos 2010

Pagi ini seawal 6.30am, aku sudah keluar rumah di Kamunting menuju ke Kulim Hi-Tech Park melalui Bandar Baru, Serdang dan Sungai Ular di mana ia adalah laluan harian aku selama dua tahun lebih (2003-2006) semasa aku bekerja sebagai Senior Engineer di kilang elektronik Celestica Malaysia.

Semalam baru sahaja selesai Majlis Sumbangan Duit Raya dan Cenderahati kepada anak yatim dan pelajar miskin di sekolah lama aku di Ipoh, hari ini pula aku akan bersama NGO Warga Kilang untuk aktiviti tahunan kami di bulan Ramadhan. Malah pada tahun ini kami merancang untuk mengadakannya pada tiga tarikh berturutan iaitu 29 Ogos, 31 Ogos dan 5 September 2010.

Kami berkumpul seawal 8.00am dengan agihan barangan keperluan mengikut identiti 11 keluarga yang telah dikenal pasti di Daerah Sik dan Nami.

Kali ini kami bersedia dengan agihan awal untuk mengelakkan kelewatan semasa mengagihkan barangan dalam perjalanan kelak. Aku dipertanggungjawab untuk menyelia pergerakan konvo telah membuat beberapa perancangan awal seperti identiti kenderaan secara bernombor, no. HP pemandu dan penumpang hadapan dan juga mengedarkan tatacara berkonvoi tanpa pengiring (marshal) sementelah ada di antara kami yang hanya pertama kali bertemu di pagi ini.

Kali ini juga dua buah gergasi elektronik di KHTP (dengan jumlah pekerja yang ramai sebagai wakil) turut bersama kami atas dasar 'Corporate social responsibility (CSR) mereka.

Mungkin hanya sedikit latar belakang keluarga yang aku catatkan di sini. Hanya gambar-gambar yang dipaparkan yang mampu menceritakan kedaifan dan kemiskinan mereka mengharung realiti kehidupan di muka bumi Malaysia ini.








Keluarga Abdul Wahab di Kpg Gajah Putih, Jeneri ialah pendahulu senarai kunjungan kami yang terdiri dari 18 buah kenderaan. Waktu kami tiba, Abdul Wahab masih di kebun berdekatan mengambil upah menoreh. Keluarga ini mempunyai tiga orang anak (lelaki 5 tahun, perempuan 2 tahun dan lelaki 1 bulan) tinggal di sebuah rumah separuh siap tiada bilik dengan ehsan pemilik kebun.





Masih di kawasan kebun getah Kpg Gajah Putih, kami ke rumah keluarga Mohd Roslan yang mempunyai tanggungan seorang anak dan dua ibu bapanya. Hanya isterinya sahaja ada di rumah yang hanya berdindingkan anyaman buluh.




Kami juga berkunjung ke rumah jirannya iaitu keluarga Mohd Nor yang menanggung isterinya yang lumpuh dan tinggal di rumah PPRT. Mohd Nor mempunyai empat orang yang berusia 18 tahun (perempuan masih belajar), 15 tahun (perempuan), 11 tahun (lelaki) dan 8 tahun (perempuan).








Seterusnya kami ke rumah keluarga Rosli Kadir yang dalam kesulitan hidup masih bersifat patriotik mengibarkan Jalur Gemilang di hadapan rumahnya. Rosli mempunyai empat orang anak yang 15 tahun (lelaki), 12 tahun (perempuan), 9 tahun (perempuan) dan 6 tahun (perempuan).






Rombongan kami berhenti seketika di Masjid Kpg Betong untuk memberi peluang ahli rombongan terutama kaum perempuan dan anak kecil ke bilik air.



Gambar berikut adalah rumah di Kpg Betong, yang telah dibantu oleh Warga Kilang untuk pembinaan bilik air dan gambar seterusnya sebuah rumah lagi yang telah didirikan semula dengan bantuan setelah kisah keluarga ini disiarkan dalam rancangan Bersamamu TV3 yang awal sebelumnya dikunjungi oleh Warga Kilang dalam program kemasyarakatan kami.




Di Kpg Betong ini kami singgah di rumah keluarga Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan Pak Din. Pak Din seorang duda tinggal bersama anak perempuannya seorang ibu tunggal dengan empat orang cucu.




Seterusnya kami ke rumah keluarga Che Puteh seorang ibu tunggal yang tinggal bersama sebuah keluarga ibu tunggal yang lain. Di rumah ini tinggal empat orang kanak-kanak 11 tahun (perempuan), 9 tahun (lelaki), 5 tahun (lelaki) dan 3 tahun (lelaki).

Di Kpg Nami Lama kami singgah di rumah keluarga Alias yang dari luar terpampang piring Astro. Itulah realitinya, tanpa siaran percuma RTM, rata-rata keluarga di daerah ini melanggan pakej asas Astro mengikuti perkembangan dunia luar.

Rumah agam yang daif dengan kesan anai-anai ini mempunyai empat orang anak 20 tahun (lelaki), 17 tahun (perempuan), 15 tahun (lelaki) dan 8 tahun (lelaki). Anak yang sulung bekerja di kantin sekolah berdekatan untuk membantu keluarga.





Kami singgah rumah keluarga ibu tunggal Suraya Abdul Hadi di Kpg Tanjung Piring yang menyara empat orang anak yang masih kecil dengan bekerja sebagai pencuci di sekolah berdekatan.









Di Simpang Tiga Nami kami singgah di rumah keluarga Mohd Rizuan juga penoreh getah yang cacat anggota jarinya akibat kemalangan. Mohd Rizuan mempunyai empat orang anak 10 tahun (lelaki), 9 tahun (perempuan), 6 tahun (lelaki) dan 3 tahun (perempuan).







Kami singgah sebentar untuk solat berjemaah di Masjid Kampung Baru Nami.






Masih di kawasan Kpg Tanjung Piring, kami singgah sebuah rumah yang lebih sesuai dipanggil bangsal yang tiada kemudahan elektrik dan air didiami oleh keluarga Mohd Din dengan empat orang anaknya 14 tahun (lelaki), 10 tahun (perempuan), 8 tahun (perempuan) dan 3 tahun (lelaki).

Pada masa yang sama kami juga menyua sedikit sumbangan kepada jiran-jiran Mohd Din di antaranya OKU dan keluarga daif/miskin juga.











Keluarga terakhir kunjungan kami hari ini ialah di rumah Kamarudin yang baru berpindah dari rumah sebelumnya yang hampir runtuh dan menyewa (RM 30.00 sebulan) di sebuah rumah usang berdekatan.

Kamarudin menyara empat orang anaknya 13 tahun (lelaki), 10 tahun (perempuan), 4 tahun (lelaki) dan 3 tahun (perempuan).












Selesai perjalanan kami hari ini jam 5.30 pm dan aku sampai di rumah hanya beberapa minit sebelum waktu berbuka. Bagaimanapun seorang rakan telah menyediakan sedikit makanan ringan dan kurma untuk berbuka jika tidak sempat sampai di rumah. Alhamdulillah syukur rombongan kami yang terdiri dari 18 buah kenderaan ini selamat pergi dan balik tanpa apa-apa kejadian yang tidak diingini.

Kami akan kembali lagi menyambung perjalanan kami pada 31 Ogos dan 5 September 2010 ini.

lukmanw@uum.edu.my
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/




9 comments:

anjang said...

sifu, saya bercadang juga nak buat program macam ni dengan xsis84... tapi tak tau caranya...boleh ke sifu tunjuk ajar...

lukmanw@gmail.com said...

Anjang

Tak ada masalah - boleh diatur.

speedrider said...

datanglah tengok rumah besar2 kat penang ni. Satu bendera pun takder.

Unknown said...

salam sdr lukman, million thanks for giving us opportunity to participate in this meaningful event. it was tiring and worth trip. everytime we handover donation items -> the doa from those underprivileged families make me speechless. may Allah swt bless you for your big heart!

lukmanw@gmail.com said...

Salam

Saya tak perasan awak kereta mana! Harap-harap di masa akan datang menyertai lagi kunjungan amal ini.

halim said...

Saudara,
Aku tidak cukup berada untuk beramal umpama kalian maka aku cukup bangga dengan apa yang kalian usahakan. Semoga Allah kurniakan ganjaran pahala kepada kalian atas sumbangan kepada fakir miskin.

Semoga lebih ramai lagi orang berada yang sanggup tampil menghulurkan sumbangan kepada insan yang serba daif itu.

53 tahun merdeka masih ramai rakyat menderita. Terbukti rakyat memerlukan kerajaan yang prihatin bukan kerajaan yang hanya menggemukkkan kroni.

Selamat berpuasa dan selamat hariraya.

lukmanw@gmail.com said...

Salam sdr Halim

Sumbangan tidak semestinya wang ringgit. Sumbangan moral malah doa amat dialu-alukan.

5 Sept nanti kami akan membuat wiring dan menyediakan peralatan memasak (dapur gas) di sebuah rumah ibu tunggal yang selama ini mengaji (membaca Al Quran) dalam kelipan pelita.

Kepada yang mahir wiring, dijemput menyertai kami.

lukmanw@gmail.com said...

Pn Comeybelako

Baru saya perasan.

Rasanya hubby adalah ex-student saya - betul kan? :-)

Unknown said...

sungguh bijak pensyarah UUM ini. ya u r right! i am the wifey of ur ex-student ;)