Monday, August 31, 2015

Arwah Cikgu Walat yang saya kenali


Arwah Cikgu Walat yang saya kenali

Saya memulakan persekolahan saya Darjah 1 di Sekolah Rendah Long Jaafar Kamunting di tahun 1974. Walaupun begitu hanya sebulan kerana berpindah ke Sekolah Rendah Jalan Shaw (kini Jalan Hang Tuah) Kuala Lumpur kerana mengikuti bapa yang bertukar kem askar di sana.

Ketika ini saya tidak berpeluang mengenali arwah dan juga anaknya, Ahmad Hisham walaupun kami sebaya dan bersekolah yang sama cuma berlainan kelas.

Tahun 1978, bapa pencen dan kembali ke Kamunting. Saya menyambung persekolahan Darjah 5 di Sekolah Rendah Long Jaafar semula.
Pun begitu saya tidak begitu rapat dengan arwah kerana saya gerun melihatnya disebabkan 2  perkara.

Pertama arwah adalah Guru Muzik, manakala saya adalah seorang yang Buta Muzik! Berbeza dengan kakak saya Wan Norizan (yang dikenali sebagai Kak Long ketika itu) yang boleh bermain pelbagai alat muzik. Seingat saya, arwah pernah “memaksa” saya bermain alat muzik Besi Tiga Segi itu. Itupun masih sumbang ketika saya mengetuknya!

Kedua, arwah berwatakan serius dan jujur saya katakan arwah lebih “bergaya” sebagai Guru Disiplin dan bukannya Guru Muzik.

(Sedikit cemburu apabila pertama kali berjumpa arwah, dia terus bertanyakan kakak saya. Malah di kalangan rakan sebaya, saya lebih dikenali sebagai Lukman adik Kak Long!)

Penghujung tahun 90an semuanya berubah. Ketika ini anak arwah, Ahmad Fazli Hisham mula bergiat sebagai pelumba dalam acara motorsport Malaysian Cub Prix Championship di mana saya sebagai Secretary of the Meet.

Dalam satu perlumbaan terawal Fazli, sewaktu saya memeriksa trek, saya ternampak arwah sedang berjalan dari paddock menuju ke race control. Saya meminta pemandu van memberhentikan van dan mengajak arwah menaikinya. Terkejut juga arwah ketika itu melihat saya.

Awal dan pertengahan tahun 2000an, ketika saya aktif dalam mengawalselia perlumbaan Malaysian Cub Prix Championship ini, kami sentiasa berjumpa dan berhubung. Jika ada mana-mana pegawai perlumbaan lain atau pihak penaja bersama kami, saya akan memperkenalkan arwah sebagai guru saya. Malah arwah juga sering memberitahu semua bahawa saya adalah anak muridnya.

Kegembiraan yang amat-amat kami kongsi  bersama ialah ketika suatu perlumbaan di Kluang awal 2000an. Ketika itu anak arwah, Ahmad Hisham dan cucu-cucu arwah juga bersama. Arwah memberitahu kepada ramai orang bahawa Ahmad Hisham (anaknya) dan saya (anak muridnya) adalah bersekolah yang sama di sekolah yang diajarnya.

Ketika itu kami berkongsi kegembiraan berganda apabila Fazli menjuarai acara Expert manakala Fazrul (seorang lagi anak arwah) menjadi naib juara acara Novice dan menjuarai acara Wira.

Kemudian dalam satu perlumbaan di Kangar pula, rombongan arwah disertai oleh adik iparnya iaitu Hafisah Samsuddin (ketika itu Hafisah dan suaminya menetap di Kangar) yang kebetulan juga sebaya dan bersekolah sama dengan saya. Arwah juga begitu riang memberitahu kepada Clerk of the Course ketika itu, Bulldog Kuan bahawa adik iparnya itu sebaya dan bersekolah yang sama dengannya. Malah masih teringat saya apabila kami sama-sama ketawa ketika arwah isteri memberitahu kami semua bahagaimana ketika itu beliau mendapat seorang anak (Ahmad Hisham) dan seorang adik (Hafisah) serentak pada tahun yang sama.

Di awal tahun 2000an itu juga saya pernah mengesyorkan arwah memperancangkan masa depan kedua-dua anaknya Fazli dan Fazrul ini. Terasa bangga apabila arwah memberitahu saya ketika itu dia dalam persiapan untuk membuka sebuah kedai motosikal di Kamunting. Kini perniagaan Kedai Motosikal AFS di Kamunting (berdekatan The Store) mula menjadi sebutan terutama di kalangan anak muda.

Kelibat arwah dan isterinya memang sentiasa di dalam litar. Sentiasa memberi sokongan kepada kedua-duanya anak itu. Pada saya factor kekeluargaan juga adalah pendorong kepada kejayaan Fazli dan Fazrul ini.

Walaupun saya tidak berpeluang belajar muzik dari arwah tetapi saya tetap menganggap arwah sebagai guru saya.

Antara teladan arwah yang in sya Allah saya akan ikut ialah sentiasa meyokong apa jua kerjaya anak.

Arwah meninggal dunia hari Ahad 30 Ogos 2015 9.00 am di Katil 22, Wad 6B, Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh dan dikebumikan di Kamunting.


Semoga arwah Abdul Walat Bin Sohor dirahmati-Nya.

1 comment:

Dewi Aja said...
This comment has been removed by a blog administrator.