Tanggang kelik kapong punggah pucuk kayu
Asalnya nak balik
Tukuro (Batu Kurau) pagi tadi nak cari Kundas @ Kundeh @ Cucur Kembung cicah
Kuah Kacang. HjZamz Ahmad Zakaria Altabligh dan Nasri Abidin lah yang menghasut
dalam FB. Tak senang hati semasa heret kasut sesi panggang lemak di Taman Tasek
Kamunting awal pagi tadi.
Pukul 8 pagi dengan
t-shirt lecun peluh terus start motor kelik Tukuro. Cadang lepas perkena Cucur
Kembung, nak tarah kepala sama. Kalau anak Tukuro sendiri tak tolong orang
Tukuro, saja la!
Rupanya Kedai Gunting Rambut India Mari sebelah Kedai buah kak Pah ini pukul 9
am baru buka.
Sewaktu lalu hendak pergi beli Cucur Kembung di sebelah kedai basikal tepi
tapak Pekan Selasa, terdengar orang menjerit memanggil nama aku dari gerai Roti
Canai tepi jalan.
“Man', mu gi na tu?”
Alamak Pak Long
aku! Ingat nak kelik Tukuro senyap-senyap saja.
‘Mari minum teh dulu!”, tak terdaya aku mengelaknya. Kejab lagi kena kuthbahlah
alamatnya.
“Mu gi na ni? Basah baju macam balik noreh!”.
“Saya nak beli
Cucur Kembung Pak Long.”
“Kemuting tak ada ka? Pak Long rasa kedai Rahmat tepi sekolah cina tu pun ada.”
“Saja balik kapong, Pak Long.”
“Oooo balik kapong nak tengok Cucur Kembung bukan nak tengok adik-beradik!”
Aduh!!! Kuthbah
sudah bermula.
“Kedai Cucur Kembung Kedai Hijau sebelum Market tepi jalan Pekan Selasa depan
Kedai Gigi tu katup hari Rabu. Kedai Cucur Kembung Hj. Din di Kedai Makan
Market Baru pun katup hari Rabu. Dema menega sakan semalam. Semalam kan Pekan
Selasa.”
(Katup = Tutup)
“Mu minum teh dulu. Lepah ni ikut Pak Long masuk kapong. Aku nak ambil pucuk
kayu nak kirim kat mak mu. Kalau bini mu dan' masak, ambik la sama!”
Macam perli saja
Pak Long bila sebut bab bini ni!
“Pak Long nak panjat pokok ke? Saya tak boleh lama ni!”
“Pucuk Sertang,
Pucuk Salang, Pucuk Ubi tu paras kepala mu ja! Pisang Berangan dan Emas pun
berlambak, pokok sakit habis patah batang. Bawa kelik sama Jantung Pisang.
"Buah Belimbing beremut kat dahan. Tapi Telur Itik tak ada. Telur Ayam
Kapong bersepah atas batas bendang, itupun berebut dengan Kera. Biawak tak
makan telur dah la ni.
“Kalau tak ada Telur Itik nak buat juga masak lemak, Mak mu besa ganti ngan
Ikan Keli. Kat Market tu ada jual. Nak sedap lagi, suruh Mak mu salai dengan
api kayu dulu. Buat kuah pedih sikit.”
(Pedih = Pedas)
“Bini mu tahu masak dak?”
Aduhhh!!! Pedih
lagi, nasib baik orang rumah tak ikut.
“Dia pernah buat Pak Long.”
“Tapi Pak Long, saya bawa motor je tu!”
“Pasai apa tak
boleh. Motormu ada karier tu! Pak Long bagi pinjam jala.”
Aku mengekori EX5 Pak Long menyusuri jalan kecil Lorong Changkat Lobak. Jauh
pula rasanya dari Jalan Besar ke rumah arwah Tok Bendang aku ini. Sedangkan
sebelum ini aku biasa berjalan kaki sahaja menunggu bas di jalan besar.
Emak kepada emak aku, bergelar Tok Bendang sebab rumah di tengah bendang.
Manakala emak kepada bapak aku bergelar Tok Bukit sebab rumah di kaki bukit.
Aku berhenti
seketika di jambatan besi. Di sungai kecil inilah arwah Tok Bendang aku pada
setiap hari Jumaat akan mengutip Siput Sedut untuk dibuat Masak Lemak bercampur
Keladi. Kata arwah, Siput berkumpul di sungai hari Jumaat nak pergi sembahyang
Jumaat!
Heran aku! Rumah
arwah Tok Bendang aku dekat sahaja dengan sungai ini. Kelibat Pak Long pun
sudah tak nampak. Tiba-tiba aku sudah sampai simpang tiga menuju rumah orangtua
YB Dr Amin. Mana pergi rumah arwah Tok Bendang aku ini?
Aku patah balik.
Berdekatan dengan sungai tadi, terdengar nama aku dilaung dari celah-celah
pokok kayu. Rupa-rupanya aku sudah terlajak. Rasanya sudah bertahun aku tak
balik sini.
“Gena mu Man! Rumah Tok mu sendiri pun tak ingat!”.
Tersayu aku. Terasa
benar Tanggang kelik kapong. Bezanya Tanggang naik kapal, aku naik motor. Motor
RC 110 fully restoration lagi.
Pak Long sudah siap
dengan berbungkus plastic. Pucuk Sertang diasingkan. Nanti semua pahit katanya
kalau bercampur dengan pucuk lain.
Aku? Pucuk Sertang pun tak tahu beza dengan Pucuk Salang. Pucuk Ubi aku kenal!
Pak Long nak cabut Keladi, tapi aku menolak! Nak bubuh kat mana lagi! Lain le
aku bawa Gold Wing!
Aku pula sibuk
ambik gambar Ayam Piru sedang buat project kahwin-kahwin.
“Dema tu tak payah
mas kahwin, wang hantaran. Setakat keriau dan angguk saja, kira jadilah.”
Patutlah semasa nak masuk laman rumah tadi, Ayam Piru jantan ini nampak galak
sahaja. Lupa nak Tanya Pak Long, “dema” tu tak bergaduh ka pasai wang hantaran
tak ada?
Selepas sendat
motor aku patah balik ke Pekan gunting rambut.
Nasib baik yang
gunting rambut (mesin) ni tak guna telinga dan bahu, dia guna tangan sahaja.
Sebab sibuk betul dengan telefon. Elok saja bila nak bercukur, dia tak
bertelefon dah!
Jenguk kejab kedai buah sebelah kedai gunting ini. Kedai Kak Pah ini sinonim
dengan Pekan Batu Kurau, sudah jadi trade mark. Anak Kak Pah sahaja yang ada.
Nampak Petai mata besar-besar, terus ambik 6 papan. Dari RM 1.00 sepapan dapat
tawar 6 papan jadi RM 5.00. Anak Kak Pah bagi lagi satu papan free.
Tanya buah Setar – RM 30.00 sekilo! Terus tak jadi!
Pusing Pekan terjumpa kembar RC ini. Kedai sebut harga RM 800.00. Menarik juga.
Jumpa pula Street Cub ada side box. Comel pula!
Berakhirlah siri Tanggang kelik kapong. Esok nak kelik lagi, nak cari juga
Cucur Kembung.u papan free.
Tanya buah Setar – RM 30.00 sekilo! Terus tak jadi!
Pusing Pekan terjumpa kembar RC ini. Kedai sebut harga RM 800.00. Menarik juga. Jumpa pula Street Cub ada side box. Comel pula!
Berakhirlah siri Tanggang kelik kapong. Esok nak kelik lagi, nak cari juga Cucur Kembung.