Saturday, May 01, 2010

Warga Kilang Jalan-jalan Masuk Kampung 1 Mei 2010


Warga Kilang Jalan-jalan Masuk Kampung 1 Mei 2010

Alhamdulillah hari ini bersempena Cuti Hari Pekerja, aku dan anak jantan aku seorang itu berpeluang bersama NGO Warga Kilang dalam aktiviti amal mereka iaitu Warga Kilang Jalan-jalan Masuk Kampung. Itupun hanya dua hari lepas aku mengesahkan penyertaan aku kepada Sdr. Wahab dan Sdr. Monier, Orang Kuat WK ini setelah dipastikan tiada sebarang kelas ganti atau perjumpaan dengan pelajar yang dijadualkan pada hari ini.

(Rujuk di siri i, siri ii, siri iii, siri iv, siri v, siri vi, siri vii dan siri ix serta gambar 1 dan gambar 2 untuk Aktiviti Jalan-jalan Masuk Kampung 1 Mei 2008 yang turut aku sertai)

Oleh kerana aku dimaklumkan sumbangan dari sesama komuniti berupa barang makanan sudah agak banyak, aku menawarkan diri untuk membuat sumbangan peralatan pembersihan badan seperti ubat dan berus gigi, sabun mandi, tuala mandi dan sikat termasuk barangan mencuci pakaian seperti serbuk pencuci, cecair pencuci pinggan-mangkuk, berus, baldi dan pencebuk.

Kami berkumpul di Susur Keluar Gunung Semanggol sekitar 9.45 pagi. Sebanyak 3 kenderaan (2 buah pacuan 4-roda Triton dan 1 buah Ford Focus) dari Utara iaitu Prai dan Kulim dan sebuah Wira dari KL menyertai aku dan anak jantan aku seorang itu dengan MyVi di sini.

Semua kenderaan yang hadir sarat dalam bonet masing-masing dengan barangan makanan seperti beras, minyak masak, gula, susu, sadirn, ikan kering, ikan bilis, mee segera, kicap, teh, kopi, milo, biskut, makanan ringan, minuman botol dan lain-lain. Rasanya untuk sekeluarga 5 – 6 orang boleh tahan beberapa bulan dengan stok sumbangan ini.

Setelah taklimat ringkas pemakluman rumah-rumah yang akan dikunjungi oleh Sdr. Hamid, WK yang menetap di Gunung Semanggol, kami bermula mengunjungi dua buah rumah di Parit 5, Tebuk Matau, Bagan Serai.

Dari sini kemudiannya kami menuju ke Jalan Gula melalui Kampong Tua sebelum berpatah semula ke Bagan Serai.

Kami berkunjung ke Sungai Kepar dan Batu 12 1/4 , Jalan Taiping sebelum memasuki laluan sempit ke Telok Seribu.

Kemudian kami ke Kampung Depan Balai berhampiran Pekan Bagan Serai sebelum berpatah balik ke Taiping.

Kami singgah di Sungai Baru Selinsing sebelum mengakhiri siri aktiviti Jalan-jalan Masuk Kampung ini dengan menunaikan satu jemputan kenduri pasangan pengantin di Desa Jana 2, Kamunting, di mana kedua-dua mereka bekerja di kilang yang sama dengan Sdr. Wahab di Pulau Pinang.

Perjalanan kami ke Kamunting disimbahi hujan lebat seolah-olah turun semata-mata untuk mencuci kenderaan kami yang diselaputi lecak ketika mengunjungi 8 buah rumah untuk membuat sumbangan. Bagaimanapun hujan ini berhenti ketika kami tiba di rumah kenduri jam 3 petang.

Alhamdulillah masih banyak berbaki lauk-pauk yang menyelerakan untuk jamahan kami. Memang rezeki kami.

Antara kami yang terlibat dalam siri aktiviti Jalan-jalan Masuk Kampung hari ini termasuklah kaum ibu dan beberapa orang remaja dan anak kecil.

Kami yang hadir hanyalah yang berpeluang untuk bersama-sama menyampaikan sumbangan. Terima kasih kepada semua yang telah membuat sumbangan sama ada secara langsung sebagai komuniti Warga Kilang ataupun tidak. Semoga sumbangan ikhlas anda semua ini diberkati-Nya.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

Untuk catatan berkaitan, boleh lawat di sini.















































Mereka yang telah kami kunjungi hari ini–

1. En. Remli Alang, Parit 5, Tebuk Matau, Bagan Serai.

Walaupun hampir kesemua di antara kita bercuti pada Hari Pekerja hari ini, En. Remli tiada di rumah kerana bertugas sebagai pegawai keselamatan di Bukit Merah Lake Town Resort. Salah seorang anak remajanya hari ini sedang mengalehkan anak padi dari tapak semaian bersama ibunya.

Di sebuah rumah yang hanya berdinding bata murah dan tidak bersimen, tinggal keluarga 9 beranak ini.

2. En. Hamsan Rejuly, Parit 5, Tebuk Matau, Bagan Serai.

Rumah besar yang berjiran dengan rumah En. Remli umpama rumah tinggal denga kepingan dinding papan menanti rebah. Ketika kunjungan kami pagi tadi hanya ada 2 orang anak yang masih bersekolah rendah. Manakala En, Remli, yang menyarai keluarga 7 beranak dengan membuat tapai, dan isterinya serta anak mereka yang lain yang masih kecil berkunjung ke rumah orang tua mereka.

Terasa sayu melihat deretan kain-baju serta kain lampin yang tersidai. Hati tersayu lagi melihatkan beberapa lampin pakai buang yang dibasuh semula sedang dikeringkan untuk dipakai semula.

3. En. Zulkifli Abdullah, Jalan Gula, Bagan Serai.

Walaupun menginap di rumah sewa yang agak sempurna, En. Zulkifli ayah kepaa 4 orang anak yang masih bersekolah yang mengalami kesukaran untuk berjalan akibat kakinya patah turut menerima sumbangan kami.

4. Puan Nor Azmah Abd Rahman, Sungai Kepar, Bagan Serai.

Di sini menginap Puan Nor Azmah, seorang OKU yang baru kematian suaminya mempunyai seorang anak perempuan yang masih bersekolah menengah dan 2 orang anak lelaki bersekolah rendah.

5. Puan Rohani Idon, Batu 12 ¼, Jalan Taiping.

Bagai jatuh ditimpa tangga. Setelah kehilangan kaki akibat Kencing Manis, Puan Rohani yang mempunyai seorang anak OKU ini ditinggalkan suaminya. Kini beliau kembali tinggal bersama-sama ibunya.

6. Puan Amasiah Amin, Telok Seribu, Bagan Serai.

Kunjungi kami ke Teluk Seribu dibantu oleh En. Alias Mohd, penduduk tempatan. Laluan sempit batas tali air ini sudah menjadi kesulitan untuk kami tetapi tidak sesulit bagaimana Puan Amasiah, seorang ibu tunggal yang mempunyai 4 orang anak dengan yang bongsunya ditakdirkan down-syndrome. Mujurlah yang sulong sudah bekerja dan membantu membiayai persekolahan 2 orang adik-beradiknya lagi.

7. Puan Maznah Mat, Kampung Depan Balai, Bagan Serai

Puan Maznah, ibu tunggal yang kematian suaminya menyarai 3 orang anaknya dengan membuat kerisik di rumah.

8. Puan Ramziah Rashidi, Sungai Baru, Selinsing

Puan Ramziah, ibu tunggal yang kematian suaminya menyarai 5 orang anaknya dengan membuat kuih.























2 comments:

lukmanw@gmail.com said...

Email dari rakan KL yang turut serta.

Alhamdulillah ... dapat jugak sy n family join aktiviti amal ni ....
dah lama nak join aktiviti ni tapi disebabkan biro amal kita selalu buat kat area kedah n jauh sikit tu yg x dpt nak join ....

bg area kl sy ada gak join warikh n shahrul utk aktiviti amal ni , cuma disini kami lebih tumpukan rumah anak² yatim n PPRT ,

pada mulanyer sy nak pergi sorang jer , kebetulan pg tu anak² sy bangun awal n tanya ibunyer nak pegi tak , n ibu dia ckp nak ikut tu yg sy bawak 1 family ,
biasa ler bebudak bila ckp nak berjalan semua pakat nak ikut , anak sulong sy x henti² tanya , kita nak pegi mana ayah ? so sy ckp kita nak pegi tlg org miskin yg kurang mendapat bekalan makanan , bebudak kalau dia x dpt ape jawapan yg puaskan hati dia selagi itu dia tanya , kenapa dia x cukup makan , kenapa rumah dia camtu kenapa ini kenapa itu , susah gak ler nak menjawabnyer ....

masa dirumah Encik Hamsah sy ckp kat anak sulong sy tengok adik tu pampers dia pon ibu dia basuhkan blk , tapi along kencing sikit pon ayah dah buangkan , nengok beruntungnyer along bukan kat tempat diaorg , diam anak sy sekejap , nengok mcm paham ape yg sy ckpkan , tapi x tau ler ....
melihat keaadan rumah en hamsah sesiapa shj akan meruntun jiwa menjadi sebak , x sangka pada masa ni ada lg keluarga yg duduk kat rumah yg x seperti rumah ....

kat umah kak ramziah pulok , nampak sgt anak sy anak munir n anak shukri mcm x pernah nengok ayam , nasib baik laaa ibu ayam tu paham bebudak ni x pernah nengok aku kot , tu yg dia diam tu , takpa laaa hangpa nak usap aku n anak aku pon x pa jgn hangpa amik anak aku dah .... selalunyer bila ibu ayam tgh mengeram dia akan garang sikit tapi ni tak , dia biar jer bebudak tu main ngan dia .......

selepas pulang dr rumah kak ramziah sy x dpt join wahab n the gang pegi makan kenduri sbb , anak² sy x blh bwk majlis , jap gi ada jer yg menjerit .....
dlm perjalanan pulang sampai di kamunting kami dibasahi hujan rahmat .... bini sy ckp , nengok bang tadi kita bg bantuan punya laaa panas nengok ALLAH balas blk kejap jer , dia bg sejuk blk badan kita n tlg basuhkan keter kita yg dah 2 bln rasanyer x basuh ...

akhir kata sy nak ucapkan tahniah kepada pendokong watak utama dlm misi bantuan amal ni khas buat pak mid , wahab , munir , aznee , lukman ,shahrul , shukri , abg lebai n sorang lg sy lupa nama ..... dan amnyer kepada kengkawan GE n semua kengkawan yg sudi menyumbangkan bantuan .... semoga usahah kita dirahmati ALLAH aminnnn.....

note : insyaALLAH kalau ada kelapangan n ada misi bantuan yg lain akan sy ikuti .... byk benda yg sy dpt berlajar dr apa yg sy lihat .....


jazakumulllah
faizal .......

Anonymous said...

Sedih melihat pampers yang diampaian... Alhamdulillah syukur rezeki Allah kurniakan kepada kita.