Syabas – delight service di Proton Edar 3S Juru
Selain dari PLUS, Proton terutamanya Proton Edar 3S Juru adalah organisasi yang sering saya sebut dalam dua blog OKOB dan OTJ saya ini sama ada memberi penghargaan ataupun komentar untuk penambahbaikan (room for improvement). Boleh rujuk dalam posting-posting lama saya.
Sewaktu membuat posting ini saya berada di ruang menunggu Proton Edar 3S Juru. Hari ini seawal pagi lagi saya sudah bertolak dari Taiping untuk menghantar Pesona saya untuk diservis. Saya tiba awal sekitar 7.30 am di perkarangan Proton Edar 3S Juru.
Tidak menyangkakan ada penasihat servis yang telah datang, saya terus ke kaunter. Mengejutkan saya, sdr. Azman, penasihat servis yang baru pertama kali saya berkenalan hari ini telah berada di meja menunggu pelanggan. Walaupun masa urusan servis bermula 8.00 am, sdr. Azman menjemput saya ke mejanya dan mengambil keterangan Pesona saya.
Walaupun sebelum ini saya biasa berurusan dengan penasihat servis lain yang juga mesra pelanggan seperti Samson, Huzir, Zainuddin dan Bazilah, perkhidmatan oleh sdr. Azman lebih kepada “delight service”.
Telah lebih 5 tahun saya menghantar Pesona untuk diservis di Proton Edar 3S Juru mengikut syoran Manual Panduan, inilah kali pertama saya ditanya oleh penasihat servis di Proton Edar 3S Juru sama ada saya mahu mengambil baki minyak engine dan palam pencucuh yang terpakai.
Tidak seperti Perodua 3S Kamunting yang akan mengembalikan semua barangan yang ditukar atau baki minyak engine, Proton 3S Juru sebelum ini tidak pernah berbuat demikian.
Selain dari itu semua syoran proses dan alat ganti yang dicadangkan telah diterangkan (justify) dengan lengkap sebelum saya diminta menandatangani borang persetujuan servis.
Akhir sekali sementara menunggu Pesona saya siap diservis dengan masa anggaran telah dinyatakan, saya dijemput ke ruang menunggu sambil dipelawa mengambil minuman (Nescafe , Milo dan White Coffee) dan Biskut Hwa Tai Luxury yang ada disediakan.
Walaupun kudapan yang disediakan oleh Proton Edar 3S Juru ini jauh bezanya dari segi kuantiti dan kualiti kudapan Perodua 3S Kamunting, memandailah sambil membaca akhbar.
Di samping itu saya juga disapa sekali-dua oleh penasihat servis yang lain mempelawa untuk mengambil minuman dan biskut yang disediakan sementelah mereka melihatkan saya hanya meminum minuman yang dibawa sendiri dari rumah.
Apapun syabas saya ucapkan dengan perkhidmatan delight service di Proton Edar 3S Juru ini. Jauh beza dengan perkhidmatan sebelum ini yang mungkin agak keras teguran membina saya dalam posting-posting sebelum ini.
*Sebaik sahaja saya upload posting ini ketika jam menunjukkan 5 minit lagi ke pukul 10.00 am, sdr. Azman datang ke ruang menunggu memaklumkan Pesona saya telah siap diservis – tepat masa 2 jam seperti dianggarkan sebelum ini. Pada masa yang sama juga telefon saya berbunyi menandakan ada mesej yang diterima.
Mesej yang saya terima dari no. 69123 yang tertulis;
Dear Customer, your service appointment for AGIN5200 is booked on. Thank you for scheduling a service with us.
No comments:
Post a Comment