Jom naik bas!
Seboleh-bolehnya saya akan pergi ke kedai atau mana-mana
tempat perkhidmatan yang saya biasa dan yakin dengan kualiti kerja dan
perkhidmatannya. Di Taiping ada beberapa kedai dan tempat perkhidmatan yang
saya kunjungi semenjak pertengahan 80an lagi. Salah sebuahnya Kedai Servis Air
Con di Kampung Jambu bersebelahan Stesen Bas Taiping – Syarikat Dew Point.
Kedai ini dari dahulu akan menyimpan rekod senggaraan kenderaan pelanggan
mereka. Ini memudahkan mereka mengesan, membaiki kerosakan dan mencadangkan
pengantian alat ganti. Untuk perkhidmatan yang mengambil tempoh masa yang lama,
pekerja malah pemilik kedai bersedia untuk menghantar pelanggan kembali ke
rumah atau ke mana-mana lokasi sekitar Taiping. Tetapi hari ini saya memilih
untuk menaiki bas pulang ke Kamunting.
Kini hanya tinggal Syarikat Red & Yellow Omnibus sahaja yang
beroperasi dari Taiping ke Taman Lela dan singgah di Stesen Bas Kamunting Raya.
Menurut pemilik syarikat yang kebetulan minum dengan saya di gerai bersebelahan
stesen bas, perkhidmatan lebih tertumpu kepada pelanggan yang terdiri dari
kanak-kanak sekolah dan pendatang asing di samping golongan tua yang tiada
kenderaan sendiri.
Pengalaman menaiki bas hari ini jauh bezanya di zaman
persekolahan dan remaja saya di awal 80an dulu. Kini bas berhawa dingin dan
mempunyai tempat duduk berkusyen yang selesa.
Laluan bas masih mengikut laluan asal termasuklah melalui
Restoran Bismillah, yang mana saya anggap Taiping Central yang sebenar dalam
posting sebelum ini.
Tambang Taiping ke Kamunting adalah RM 1.00 dan menurut
pemilik syarikat, Kerajaan memberi subsidi 20 sen untuk setiap seorang penumpang
untuk menampung kos penyenggaraan. Tambang RM 1.00 ini masih berpatutan jika
dibandingkan tambang teksi sebanyak RM 10.00 untuk jarak perjalanan yang sama.
Saya berbual panjang hampir sejam dengan pemilik dan pemandu
bas yang kebetulan yang pernah bekerja sebagai pemandu lori kontrak di syarikat
tayar bersama saya 10 tahun yang lalu. Beliau terkenang pengalaman menyaksikan penumpang
yang terpaksa menaiki bas melalui tingkap semasa pulang berhari-raya di awal
90an dahulu. Kini untuk mendapat 10 penumpang untuk satu jarak perjalanan
sahaja sudah sukar.
Pada masa yang sama, peniaga-peniaga kedai makan dan
sekelilingnya turut merasa tempias kemerosotan ini. Menurut seorang penjaja
kuih, dahulu dia boleh mendapat keuntungan paling kurang RM 30.00 sehari tapi
sekarang RM 10.00 sehari pun sukar.
Bagaimana dengan masa depan mereka ini?
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment