Friday, September 26, 2014

Pak Hashim (arwah), Roti Canai & Daging Cincang


Pak Hashim (arwah), Roti Canai & Daging Cincang

Bila umur sudah menghampiri jumlah jari sebelah tangan ini, dengan kesihatan yang agak kurang memuaskan, banyak makanan yang cuba aku jauhi. Mungkin sudah terlambat tetapi sekurang-kurangnya berharap agar kesihatan tidak begitu terganggu di masa-masa mendatang.

Kadang-kadang ingatan dengan seseorang yang menyebabkan aku menjamah semula sesuatu makanan itu. Pagi tadi dalam perjalanan ke Parit Buntar, aku singgah di Restoran Selamat bawah flyover Bagan Serai. Minggu ini aku berbendang semula setelah minggu lepas seminggu berterusan menoreh di Prai. Tugasan bendang ini pula perlu dihabiskan sementelah big boss DOSH (semasa presentation di Kuantan) telah memberi teguran walaupun membina tetapi agak keras. Sesuatu yang perlu pasukan aku mengakui terdapatnya kealpaan kami sendiri.

Restoran Selamat ini diperkenalkan kepada aku oleh rakan sekerja di kilang tayar iaitu arwah Pak Hashim Abdul Rahman yang baru meninggal dunia awal bulan September 2014 di rumahnya Kampung Pinang, Kamunting. Sebenarnya pada awal tahun ini aku bertemu Pak Hashim di surau R&R Tapah Selatan. Selepas solat Magrib, sempat aku bergurau dengannya, aku luahkan kekaguman aku terhadap kelibat Pak Hashim yang sudah 2 kali pencen (pencen askar dan pencen kerja kilang) tapi tampak gagah kalau dibandingkan dengan aku. Isterinya yang ada bersamanya ketika itu hanya tersenyum mendengar kata-kata aku.

Aku tidaklah rapat sangat dengan arwah yang tugasnya lebih sebagai pentadbir pejabat tetapi arwah banyak membantu aku terutama hal-hal pentadbiran.

Arwah yang mengesyorkan aku menu Roti Canai dengan Gulai Daging Cincang di Restoran Selamat ini. Rasanya kali pertama aku makan bersama arwah sekitar pertengahan tahun90an. Walaupun sudah berberapa tahun kebelakangan ini aku tidak lagi singgah di restoran ini, Roti Canainya dan juga Gulai Daging Cincang ini masih terasa sama seperti dahulu. Taukenya masih sama cuma penebar Roti Canainya sudah bertukar orang.

Jamahlah aku seorang diri Roti Canai bergu dengan Gulai Daging Cincang sambil terkenangkan arwah.

http://orangecilorangbesar.blogspot.com/






No comments: