Wednesday, August 19, 2009

Jom keluar minum 6. Kopi Thiam Taiping yang asli!





Jom keluar minum 6. Kopi Thiam Taiping yang asli!

Kini tinggal kenangan Restoran Loke Sun ini. Sekarang diambil-alih restoran mamak 24 jam.

Mungkin ada yang masih ingat satu iklan Nescafe penghujung 90an dahulu yang mengambarkan sebuah restoran Kopi Thiam dengan kerusi kayu antik dan meja batu. Di restoran inilah pengembaraan iklan tersebut dibuat.

Kami tiga beranak sering bersarapan di sini. Tauke Cinanya menjual Roti Bakar dan Telur setengah masak. Sementara itu ada Makcik Melayu yang menjual Ketiaw dan Beehoon Goreng.

Antara pelanggan setia di sini ialah aruah En Ahmad Nadzri, bekas pemain bolasepak Negara tahun 60an dan 70an yang biasanya bersarapan dengan Ketiaw Goreng.

Isteri Tauke Cina ini kini menetap dengan anaknya di Gelugor, Penang setelah kematiannya suaminya.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Jom keluar minum 5. Di mana Orang Gomen Taiping pergi minum dulu-dulu?








Jom keluar minum 5. Di mana Orang Gomen Taiping pergi minum dulu-dulu?

Restoran Yut Sun, Jalan Pasar

Sebenarnya inilah antara Kopi Thiam terawal di Taiping! Restoran ini amat terkenal di kalangan orang-orang Gomen (pejabat DO umpamanya) pada tahun 70an hinggalah 90an. Kemunculan pelbagai restoran mamak, ala-Thai dan makanan segera mula menengelamkan restoran ini. Kehadiran beberapa restoran Kopi Thiam modem menyuramkan lagi restoran ini.

Kami tiga beranak membuat kunjungan ke restoran ini beberapa minggu lepas. Buat pertama kalinya juga kami membeli Kuih Tat Yut Sun yang dikatakan tersedap di Taiping.

Menu lain yang biasa dimakan di sini ialah Kopi, Roti Kaya, Nasi Goreng, Beehon Goreng dan Chicken Chop.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Monday, August 17, 2009

Tiada bunga dan kad ucapan!





Tiada bunga dan kad ucapan!

Sayang!

Tahun ini adalah tahun ke 13 perkahwinan kita
Seperti di tahun-tahun lepas
Tahun ini juga tiada bunga
Tahun ini juga tiada kad ucapan

Kalau hendak diukur kasih sayang itu dengan bunga
Maka tiadalah hari yang tiada bunga
Kalau hendak diukur kasih sayang itu dengan kad ucapan
Maka tiadalah hari yang tiada kad ucapan

Ukuran yang sebenar adalah ingatan berterusan
Ukuran yang sebenar adalah ingatan berpanjangan
Ukuran yang sebenar adalah ingatan berkekalan

Ingatan yang berterusan pada setiap perjalanan melalui RR Kuala Kangsar
Akan abang singgah untuk sepotong Ikan Patin Masak Tempoyak

Ingatan yang berpanjangan pada setiap perselisihan kita berdua
Akan abang keluar rumah untuk sebungkus Laksa dan Kopi O Ais

Ingatan yang berkekalan pada setiap bakal keputusan dibuat
Akan abang renung muka anak jantan kita seorang itu

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Maaf - kerana abang tak makan Ikan Patin Masak Tempoyak dan tak berapa suka Laksa dan Kopi O Ais

Bukan semua makanan itu rasanya tetap seperti dulu.








Bukan semua makanan itu rasanya tetap seperti dulu.

Seperti kata Xplorer dalam salah postingnya yang terbaru, susah untuk menikmati sesuatu makanan itu yang mana rasanya tidak berubah tidak kira waktu bila kita menikmatinya.

Rojak Chai Leng Park di Seberang Prai bertentangan Hotel Pearl View ini umpamanya pernah aku kategori antara Rojak Buah yang tersedap pernah aku makan. Tetapi beberapa kunjungan aku semenjak dua, tiga tahun ini rasanya tidak menentu.

Kunjungan terbaru awal bulan lepas paling ketara. Adakah potongan Buah Mangga yang agak masak digunakan sebagai buah campuran?

Jauh bezanya semasa gerai kecil ini dikendalikan oleh mendiang bapa mereka pada awal tahun 90an. Tidak pernah sekali-sekali aku terjumpa potongan Buah Mangga masak atau Timun yang pahit ataupun Nenas yang masam. Semuanya teratur seolah-olah ada penjaga kualitinya.

Ditambah dengan keramahan mendiang yang akan menegur setiap pelanggannya. Jauh berbeza dengan generasi muda sekarang. Payah untuk bermulut manis dan menyimpul senyum. Mungkin ianya tiada pilihan lain terpaksa meneruskan perniagaan keluarga.

Rasanya Rojak Buah Apek Basikal Roda Tiga berdekatan Stesen Monorail Chow Kit dan Photostat Bonmas kelak setelah generasi muda mengambilalihnya juga akan berbeza kelazatannya.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Nasi Wanggei @ Nasi Ganja Jalan Yang Kalsom Ipoh








Nasi Wanggei @ Nasi Ganja Jalan Yang Kalsom Ipoh

Dato Lat dalam salah satu buku komiknya turut memuatkan telatah pekerja di restoran ini yang berkain puteh berlipat hingga ke peha, berdiri di hadapan kedai sambil mempelawa pelanggan masuk ke dalam restoran sambil berkata; “wanggei, wanggei!”. Maka lekatlah nama Nasi Wanggei ketika itu. Ada dua restoran bersebelahan di Jalan Yang Kalsom ketika itu dan berhadapannya ialah Stesen Bas Tanjung Rambutan yang meramaikan lagi pelanggan Nasi Kandar Ayam Merah ini.

Bagaimanapun ramai yang tidak tahu jika ditanya Nasi Kandar Ayam Merah. Tetapi jika sebut saja Nasi Wanggei ataupun Nasi Ganja pasti yang menggangguk laju.

Antara menu unik di sini ialah Sambal Kelapanya. Menu tetap ini akan dicalit pada pinggan di samping Nasi Puteh, Bendi dan Timun sebelum diajukan menu tambahan lain.

Aku mula menjadi pelanggan di Nasi Ganja ini awal 80an apabila mula menjadi pelajar sekolah menengah berasrama di Ipoh. Di hujung minggu terutama apabila baru mendapat duit saku dari keluarga di sinilah kami menikmati makan tengahari selepas jemu makanan asrama.

Ketika itu sepinggan Nasi Putih, Bendi, Timun, Sambal Kelapa, Telur Masin dan Ayam Merah baru berhaga sekitar RM 1.50. Dengan RM 2.00 kami boleh makan dan minum Air Laici. Kunjungan aku pada minggu lepas, menu yang sama dikenakan RM 4.90. Manakala minuman semuanya berharga RM 1.00 ke atas.

Rasa kelazatannya? Boleh dikatakan ada ciri-ciri kesedapan seperti dulu. Tapi yang pasti pelanggannya melimpah ruah sampai ke pinggir jalan.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Penawar H1N1?

Sunday, August 16, 2009

Kaedah Meraikan Anak-Anak Yatim Berbuka Puasa

Kaedah Meraikan Anak-Anak Yatim Berbuka Puasa
Email Oleh : anuarani
Ramadan - Marilah beramal

Asalamualaikum wbt,

Bulan Ramadhan akan menjelang tidak lama lagi. Seperti biasa banyak syarikat, jabatan serta individu sibuk menyusun jadual berbuka puasa. Sudah menjadi kelaziman setiap majlis yang adakan antara yang dijemput adalah anak-anak yatim. Alhamdulillah dengan adanya jemputan maka dapatlah anak-anak tersebut bergembira menikmati juadah yang istimewa. Saat ketibaan bulan Ramadhan sangat-sangat dinantikan oleh anak-anak tersebut.

Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur yang saban tahun tidak pernah melupakan anak-anak yatim dalam penganjuran majlis mereka. Disamping dijamu makan anak-anak ini juga diberikan sumbangan yang berupa duit raya dan juga hadiah-hadiah yang lain.

Namun demikian ada beberapa perkara yang harus kita ambil kira. Ianya bukanlah satu peraturan yang harus kita patuhi tetapi hanyalah sebagai panduan.

1. Jangan memilih
Dirumah-rumah jagaan anak-anak yatim bukanlah semuanya dihuni oleh anak-anak yatim atau piatu sahaja. Terdapat juga anak-anak yang miskin dan anak-anak terbiar. Oleh yang demikian janganlah kita sebagai penganjur meletakkan syarat untuk menjemput anak-anak yatim atau piatu sahaja. Jemputlah semua anak-anak yang ada disitu.. Jangan dipinggirkan anak-anak yang lain. Jangan lupa juga untuk menjemput 3 atau 4 orang pengiring yang terdiri dari pengurus atau pekerja dari rumah tersebut.

2. Sediakan kenderaan atau tambang
Rumah-rumah anak yatim tidaklah mempunyai peruntukan yang besar bagi membiayai tambang atau sewa bas. Jika anda ingin menjemput mereka sediakan kenderaan yang sesuai. Atau jika mereka perlu uruskan sendiri pengangkutan, berikan sedikit peruntukan untuk sewa pengangkutan pergi dan balik. Jika syarikat atau jabatan anda memiliki bas sendiri adalah lebih baik.

3. Tempatkan mereka bersama tetamu anda yang lain
Jangan diasingkan anak-anak tersebut diruang yang khas yang berasingan dari tetamu lain. Tempatkan mereka bersama-sama tetamu lain. Mereka ingin sekali berinteraksi dan bermanja dengan orang lain. Adalah lebih afdhal jika mereka diselangselikan dengan tetamu disetiap meja.

4. Anak-anak yatim bukanlah bahan pameran
Seringkali berlaku anak-anak yatim ini akan dapat bertemu dengan tetamu khas seperti VIP atau artis ketika sesi bergambar atau sidang akhbar. Sebelum itu mereka ditempatkan dimeja barisan belakang. Mereka cuma dipanggil kedepan apabila tiba sesi bergambar atau ketika menjadi latarbelakang sesi fotografi artis.

5. Selera kita mungkin sama dengan selera mereka
Adalah tidak manis jika tetamu dihidangkan dengan makanan yang berbeza dengan anak-anak yatim.. Mereka juga ingin menikmati juadah yang istimewa seperti orang lain. Oleh yang demikian jangan diasingkan hidangan mereka dengan hidangan tetamu-tetamu lain.

6. Jika memberi hadiah, berilah kepada semua
Jika anda akan memberi sumbangan atau cenderamata berikan kepada semua mereka. Tentukan jumlah mereka yang akan hadir dan sediakan sumbangan atau cenderamata yang secukupnya. Selain dari wang mereka juga memerlukan pakaian dan alat-alat tulis.

7. Beri peluang mereka tunjukkan bakat
Kebanyakan rumah anak-anak yatim mempunyai pasukan kompang atau nasyid mereka sendiri. Selain dari persembahan artis jemputan, mereka peluang anak-anak ini menunjukkan bakat mereka. Mereka merasa dihargai jika diberi peluang memberikan persembahan mereka. Tapi jangan lupa memberi notis awal semasa mengundang mereka. Mereka juga mempunyai aturacara yang ketat sepanjang bulan ramadhan..

8. Jangan tahan mereka hingga larut malam
Anak-anak perlu menjalani tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Mereka perlu hadir kesekolah pada awal pagi. Oleh yang demikian jangan menahan mereka didalam majlis anda sehingga larut malam. Lepaskan mereka pulang lebih awal supaya mereka dapat bangun sahur dengan segar dan seterusnya dapat bersekolah esok paginya. Awalkan acara penyampaian sumbangan dan cenderamata.

Semoga apa yang dipaparkan diatas boleh menjadi panduan kepada kita semua dalam mengendalikan majlis-majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim kelak. Jika anda ingin membuat sebarang penambahan atau komen, dipersilakan.

Terdapat lebih 300 orang anak-anak yatim, piatu, anak-anak miskin dan terbiar dibawah naungan Yayasan Pembangunan Nur Hikmah di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak . Jika anda ingin agar kami menguruskan undangan bagi pihak anda sila hubungi kami di talian hotline kami 1700 800 020 atau hubungi Pejabat Yayasan Pembangunan Nur Hikmah 03-8733 2411 atau boleh terus hubungi rumah-rumah berkenaan seperti berikut :

1. Pondok Penyayang Raudah, Batu 11 Gombak, Selangor
No. Telefon : 03-61852068 (Ustaz Mukhtaruddin)

2. Asrama Anak-Anak Yatim Qanaah , Taman Greenwood, Gombak
No. Telefon : 03-61892001 (Puan Shamsiah)

3. Asrama Penyayang Nur Iman, Setapak, KL
No. Telefon : 019-2519082 (Ustazah Sharimah)

4. Persatuan Anak Yatim Flat Sri Sabah, Cheras, KL
No. Telefon : 012-2427558 (Puan Kalsom)

5. Rumah Jagaan Nurhikmah, Tmn Mesra, Kajang, Selangor
No. Telefon : 03-87396994 (Hj. Osman)

6. Asrama Anak-Anak Yatim Nurul Iman, Manjoi, Ipoh, Perak
No. Telefon : 016-5460071 (En. Khairul)

Terima kasih

* Anda juga boleh menaja sajian sahur untuk anak-anak yatim melalui Program Mangkuk Tingkat. Sila klik MangkukTingkat.com

-----------------------------------------------------

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sebaik-baik rumah kaum muslimin ialah rumah yang ada anak yatim yang diasuh dengan baik dan sejahat-jahat rumah kaum muslimin adalah rumah yang ada anak yatim yang selalu diganggu dan disakiti hatinya." Riwayat Ibnu Majah

Huraian

i) Penghormatan dan bantuan kepada anak yatim mestilah dijaga terutama mereka yang terdiri daripada keluarga yang susah kerana anak yatim begitu memerlukan perhatian yang sewajarnya dalam meneruskan kehidupan sebagaimana yang dirasai oleh anak-anak yang lain. Mereka begitu rindukan belaian kasih sayang dan juga keprihatinan semua pihak agar mereka turut gembira.

ii) Rasulullah s.a.w juga merupakan anak yatim di mana bapanya Abdullah meninggal ketika umurnya 2 bulan dalam kandungan. Manakala ibunya Aminah pula meninggal ketika baginda baru berumur 6 tahun iaitu ketika usia seseorang itu dahagakan kasih sayang seorang ibu. Datuknya Abdul Muttalib turut meninggalkan baginda ketika usia baginda 8 tahun.

iii) Allah turut menyebut bagaimana keadaan nabi dan bagaimana pula Allah membantu baginda sehingga menjadi pemimpin yang teragung. Firman Allah dalam ayat 6 - 11 surah ad-Duha yang bermaksud :

"Bukankah Dia yakni Allah mendapati engkau wahai Muhammad yatim piatu lalu Dia memberikan perlindungan. Di dapatiNya engkau mencari-cari jalan kebenaran lalu Dia memberikan petunjuk. Didapati-Nya engkau miskin lalu Dia memberikan kekayaan. Oleh itu, janganlah engkau mengasari anak yatim. Jangan engkau menengking orang yang meminta pertolongan. Maka hendaklah engkau menyebut-nyebut nikmat Tuhanmu sebagai tanda syukur kepadaNya."

iv) Islam melarang umatnya daripada mengkhianati dan menghina anak yatim. Tetapi hendaklah memastikan agar hak mereka dalam memiliki harta, ilmu dan kasih sayang sentiasa terjaga. Pastikan mereka lahir sebagai anak yang soleh yang mampu membantu ibu atau bapa mereka yang telah meninggal dunia kerana sesungguhnya membiarkan mereka bererti kita telah mengkhianati agama dan menghina mereka bererti kita turut membenci Rasulullah s.a.w yang juga merupakan anak yatim piatu. Oleh itu bimbinglah mereka ke jalan yang diredhai Allah dan jauhilah mereka daripada jalan kesesatan. Allah telah memberi amaran melalui firmanNya dalam Ayat 1-2 Surah al-Ma'un yang bermaksud : "Tahukah engkau tentang orang yang mendustakan agama. Dia ialah orang yang menindas serta berlaku zalim terhadap anak yatim !"

-------------------------------------------------------
YAYASAN PEMBANGUNAN NUR HIKMAH
No. Pendaftaran : 646393-A
No. 16-3, Jalan Mesra Niaga,
Taman Mesra,
43000 Kajang,
Selangor Darul Ehsan.
Telefon : 03-87332411
Faks : 03-87332967
Laman web : http://www.nurhikmah.org.my/home/
EMAIL : presiden@nurhikmah.org.my

AMARAN :

Pihak Yayasan Pembangunan Nur Hikmah tidak pernah melantik mana-mana pihak atau mengeluarkan surat kebenaran atau apa-apa surat rayuan kepada pihak ketiga bagi memungut derma atas nama Yayasan Pembangunan Nur Hikmah atau Khidmat Nur Hikmah. Sebarang sumbangan hendaklah dibuat terus kepada Yayasan Pembangunan Nur Hikmah samada melalui cek atau secara online ke Akaun Maybank 564306010030.

Sebarang kemusykilan atau pertanyaan sila email kepada presiden@nurhikmah.org.my atau telefon 019-2158 827 (24 jam) .
Dipetik dari sini.

Kalau tak mampu, sedekahlah doa!

http://ummu-sofiah.blogspot.com/

http://budimulia-nurulhuda.blogspot.com/

http://nurulihsan08.blogspot.com/

http://rumahbaitalamin.blogspot.com/

http://rumahanakyatimnuruliman.blogspot.com/

http://pertubuhankebajikanpengkalanhulu.blogspot.com/

Doakanlah anak-anak yatim ini dibukakan hati mereka untuk mendapat taufik dan hidayah-Nya, semoga berjaya di masa akan datang sebagai insan yang dapat membantu mereka yang lain yang senasib dengan mereka semasa kecil.

Kalau anda ada rezeki yang lebih, sudi-sudilah membuat sumbangan sedaya yang berkemampuan kepada mana-mana anak-anak yatim ini.

Kalau tak berkemampuan, sedekahkanlah doa!.

Friday, August 14, 2009

Beef-gut Part 4; Buai laju-laju





Buai laju-laju
Sampai Pokok Sena
Apa dalam baju?
Sekuntum Bunga Cina

Buai laju-laju
Sampai Pokok Lada
Apa ada belakang Land Rover tu?
Ada selambak Perut Bulat Muda

Thursday, August 13, 2009

Beef-gut Part 3










Perut Bulat Muda Sumbat Telur

Antara menu Nasi Padang yang aku gemari selain Daging Kering Cili Hijau dan Bergedel ialah Perut Bulat Muda Sumbat Telur. Ada beberapa buah warung di Chow Kit menjual menu-menu kegemaran aku ini. Dato Lat turut memuatkan lukisan mengenai Kedai Nasi Padang ini dalam bukunya bertajuk Mat Som.

Di Hawker Center Pusat Penjaja Bangunan Supermarket Larut Matang Jalan Panggung Wayang, Taiping (tapi supermarket ini sudah tutup) ada sebuah gerai yang terkenal dengan menu Nasi Padang ini. Nama gerai ini ialah Gerai 31, Densiko Nasi Padang. Gerai paling tepi menghadap ke Bazar Melayu ini dibuka seawal 10 pagi hingga petang.

Bersebelahan gerai ini juga terdapat gerai-gerai lain yang turut menjual Perut Bulat tetapi tidak disumbat dengan telur. Bagaimanapun menunya bercampur dengan pelbagai menu tempatan.

Berbeza dengan Gerai Densiko, menunya hanya selera Padang yang biasanya gorengan kering dan ditabur Sambal Cili Hijau.

Kebiasaanya aku membeli Perut Bulat Muda Sumbat Telur untuk juadah berbuka puasa.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Beef-gut Part 2





Perut Lembu

Paling enak Perut Kitab atau Perut Bulat Muda. Perut Kitab biasanya mak aku tebus saja dengan serai, halia dan garam saja. Kemudiannya dicicah dengan Air Asam. Ada juga Perut Bulat Tua yang rasanya agak pahit.

Ada satu lagi jenis Perut yang mirip Perut Kitab iaitu Perut Bingkai Nyiru atau Perut Bingkai Bidang. Perut Bingkai Nyiru ini paling banyak dijual terutama jenis import-beku.

Manakala Perut Bulat Muda dan Perut Kitab biasanya dari daging segar yang baru disembelih. Perut Bulat Muda menjadi rebutan peniaga-peniaga sate.

Sabtu lepas aku ke Market Daging Taiping. Sudah lama aku tak menjejak kaki ke market ini. Kunjungan aku pada pukul 10 pagi itu hanya menyaksikan Perut Bingkai Nyiru import-beku sahaja yang tinggal, manakala Perut Bulat Muda dan Peut Kitab telah kehabisan seawal pagi.

Antara menu yang yang sering dikaitkan dengan Perut sama ada Perut Kitab, Perut Bulat Muda dan Perut Bingkai Nyiru ialah Sate Perut, Sup Perut (ala Siam), Perut Masak Lemak, Kerabu Perut dan sebagainya.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Keterangan gambar; 1. Sate Perut Bulat Muda, 2. Sup Perut Kitab, 3. Perut Bingkai Nyiru Masak Lemak Cili Api dengan Bilimbing. 4. Perut Kitab Rebus, 5. Perut Bulat Muda Rebus, dan 6. Kerabu Perut Kitab.