Tuesday, March 24, 2009

Lima bulan sudah sebagai felo



Lima bulan sudah sebagai felo

Sudah hampir lima bulan saya menjadi felo di asrama pelajar di UUM ini di mana tiga blok pelajar perempuan dan dua blok pelajar lelaki. Ada sekitar 700 orang pelajar semuanya di mana hampir seratus orang adalah pelajar antarabangsa yang majoritinya dari Timur Tengah.

Biasanya sebagai seorang felo, pelajar akan menghubungi saya atau seorang felo lagi dan kadang-kadang terus ke Pengetua, jika mereka menghadapi apa-apa permasalahan.

Biasanya kes sakit demam terutama yang memerlukan pengangkutan. Terima kasih juga kepada Jawatankuasa Pewakilan Mahasiswa (JPM) yang banyak membantu terutama kes-kes kecil yang tidak merujuk kepada felo.

Seorang rakan felo (di asrama lain) memberitahu saya bukan sahaja kes sakit demam yang ditanganinya malah meliputi sampai kes ”stress”. Kalau stress kerana exam tak mengapa. Ini stress ditinggalkan boyfriend! Alhamdulillah saya ”belum lagi” menghadapi kes-kes sebegini. Lebih-lebih lagi saya hanya berada dua, tiga hari sehaja seminggu di asrama. Kebanyakan pelajar terutama JPM berjumpa saya untuk membantu mereka menjayakan projek-projek mahasiswa mereka.

Minggu lepas dan minggu ini saya menghadapi beberapa kes. Bermula dengan seorang pelajar Timur Tengah lelaki yang histeria di awal pagi. Rakan sebiliknya yang juga senegara mengadu pelajar ini sudah empat malam tidak tidur (minggu depan adalah minggu peperiksaan) dan mula meracau tidak ketentuan.

Rakan felo menghubungi ambulan setelah rakan-rakannya sendiri gagal untuk membawanya turun dari tingkat tiga asrama. Memandangkan badannya yang agak besar, pemandu ambulan mencadangkan kami mendapatkan bantuan dari seorang Ustaz untuk menenangkannya dahulu. Alhamdulillah usaha Ustaz yang dipanggil itu berjaya. Itupun jenuh juga ”berbalah” dengannya atau ”benda lain”!

Lewat petang semalam saya dihubungi melalui telefon oleh seorang pelajar perempuan mengadukan biliknya dimasuki ular. Klik di sini untuk cerita lanjut.

Tidak tahu apa pula yang akan mendatang. Semoga semuanya dapat ditangani dan diatasi dengan selamat. Amin.

Terasa macam ayah pula kepada pelajar-pelajar ini. Seorang pelajar Msc OSH saya (mahasistua) pernah bertanya kepada saya; rasa macam ayah ke atau rasa macam abang? Jangan rasa macam suami sudah!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments: