Anak seorang. Anak-anak ramai!
Kadang-kadang aku pernah terkilan dengan ketentuan ilahi dan rezeki aku setakat ini hanya memiliki seorang anak lelaki. Dialah sulong. Dialah bongsu. Dialah abang. Dialah adik. Tapi dia bukan kakak!
Mungkin juga pengaruh bapa aku yang tegas ”laksana seorang askar”, aku terbawa-bawa dalam pembentukan peribadinya. Sementelah aku terbabit dalam pengajaran subjek berkaitan keselamatan ini.
Bagaimanapun aku yakin dia memahami pendirian aku itu.
Pemahaman ini diterimanya dan diterjemahkan dengan menjadikan rumah aku sebagai ”pot” pertemuan sesama rakan sebayanya.
Di rumah aku itulah mereka ber-PS2 di hujung-hujung minggu. Dari Piala Dunia ke Liga Inggeris. Dari MotoGP ke F1 hinggalah ke Grand Theft Auto yang mana anda perlu menjiwai watak penjenayah untuk mendapat mata kemenangan. Takut juga aku dengan game sebegini!.
Jemu dengan PS2, mereka akan membedek notebook lama aku yang aku wariskan kepada anak jantan seorang aku itu. Jemu dengan komputer, mereka di atas loteng yang dijadikan perpustakaan mini dengan membelek ratusan komik, majalah, novel, encyclopedia dan sebagainya. Sudah tentu komik The Adventure of Tin-Tin menjadi pilihan mereka.
Kalau ada apa-apa aktiviti sekolah seperti pertandingan sepanduk, projek kampung, projek kitar semula dan sebagainya, rumah aku itu bertukar menjadi bengkel kerja seni dan pertukangan tangan mereka.
Dua, tiga bulan sehingga menjelang beberapa hari sebelum UPSR rumah aku menjadi ”pot” singgahan mereka mengulangkaji dan membuat soalan-soalan UPSR tahun-tahun sebelumnya.
Pada masa yang sama orang rumah aku seorang itu menyediakan kudapan-kudapan dan se-jag dua minuman. Kalau dia sibuk, aku mengambil-alih tugasnya! Bukan memasak tetapi start motor keluar pergi beli kuih!
Bila bilal mengazankan seruan, mereka bersama-sama ke surau berhampiran untuk bersolat.
Dua-tiga minggu ini selepas UPSR, rutin mereka bertukar. Aku pula kini menjadi driver mereka. Awal pagi sudah tercegat di hadapan rumah dan kemudian aku hantar mereka bersesak dalam satu kereta ke Padang Esplanade atau Lake Garden untuk berlatih bola. Ada yang mengayuh basikal dan ada juga yang dihantar ibubapa ke rumah aku. Syarat aku mudah sahaja, pastikan ibubapa masing-masing mengetahui dan mengizinkan pergerakan mereka. Malah aku juga mengambil nombor telefon ibubapa mereka.
Kalau jemu di padang. Mereka bertukar ke gelanggang tertutup futsal. Dengar khabarnya masa mendatang untuk mencuba pula paintball!
Kehadiran aku diterima oleh mereka. Awalnya agak keberatan mereka untuk berbual-bual sewenang-wenangnya dengan kehadiran aku dalam kelompok mereka semasa perjalanan. Lama-kelamaan tembok itu runtuh dengan sendirinya.
Biasanya apabila matahati sudah tegak di kepala, aku mengambil mereka semula. Sebelum pulang biasanya kami singgah untuk membasahkan tekak. Memandangkan ada seorang-dua yang ”tidak lalu” minum cendol, kami biasanya perkena Ais Kacang (ABC) di Taiping.
Memang betullah anak aku seorang tapi anak-anak aku ramai!
lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar,blogspot.com/
No comments:
Post a Comment