Tribute to Joe Glover (24 May 2006)
Apabila menjelang Mei, aku sekeluarga akan teringat mendiang Joe Glover dan isterinya Pat yang sekurang-kurang setahun atau dua tahun sekali akan berkunjung ke Taiping untuk menziarahi semula tempat kerjanya sebagai askar British pada tahun 1957 - 1959.
Rupa-rupanya kunjungan yang terakhir pada bulan Mac 2005 bersama isterinya Pat adalah kunjungan terakhir buat beliau. Joe meninggal dunia pada 24 Mei 2006 setelah dua bulan sebelumnya menjalani pembedahan jantung.
Joe menyifatkan kunjungan mereka berdua ke Taiping pada bulan Mac 2005 itu adalah yang amat berbaloi jika dibandingkan tahun-tahun sebelumnya. Kebetulan pada bulan Mac 2005 itu aku belum terlibat dengan mana-mana kalendar perlumbaan, jadi aku berpeluang mengambil beberapa hari cuti menemani mereka berdua termasuklah membuat satu sidang akhbar dengan wartawan The Star.
Mungkin kerana terlalu gembira dengan lawatan dan layanan kami sekeluarga, Joe dan Pat bercadang untuk datang lagi pada tahun seterusnya 2006 dan merancang untuk bercuti mengelilingi Semenanjung bersama-sama kami sekeluarga.
Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan kami sekeluarga ialah sewaktu ketibaannya di Taiping pada 3 Mac 2005. Setelah menjemputnya di Stesen Bas (Joe dan Pat menginap di Penang dan sanggup berulang-alik setiap hari ke Taiping), aku, orang rumah aku seorang itu dan anak jantan aku seorang itu membawa mereka ke sebuah restoran di hotel untuk makan tengahari.
Joe mempelawa anak jantan aku seorang itu membuat pesanan dahulu. Mungkin memikirkan tetamu kami adalah "Mat Salleh", anak jantan aku seorang itu mengorder Fried Rice. Bila sampai giliran Joe, dia dengan yakin dan selamba menyebut; "Nasi Goreng dua!". Merah padam muka anak jantan aku seorang itu!
Selain dari menjadi kenalan karib kami di Taiping, Joe juga mempunyai kenalan karib di KL iaitu Geetee yang mengusahakan sebuah Kiosk Makanan Cina di Summit.
Berikut adalah koleksi-koleksi Joe yang kebetulan merupakan seorang peminat photograf sewaktu bertugas di Taiping.
lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment