Di sinilah Tesco kami, di sinilah Giant kami
Bapa menyewa di sebuah setinggan di Lorong Dua di Pekan
Kamunting ini. Rumah berlantaikan simen yang pecah-pecah berdindingkan 4 kaki
bata dan selebihnya papan hingga ke bumbung. Ada sebuah bilik yang sebenarnya
hanya partition 6 kaki tidak berpintu. Emak mengantungkan tirai yang acapkali putus
atau koyak kerana menjadi tali gayut mainan Tarzan kami. Partition di
tengah-tengah rumah itu membahagikan ruang hadapan dan ruang dapur. Bilik air
hanyalah satu kawasan 3 kaki x 3 kaki tidak berdinding. Jambannya pula di luar
rumah jenis tong atau lebih dikenali dengan nama Jamban Angkut sebab ada
pekerja yang mengangkut tong tersebut pada masa-masa tertentu. Memang sebuah rumah ada sebuah jamban tapi
jamban kami sentiasa sahaja ada jiran atau orang lalu-lalang (termasuk
pelanggan di kedai berhampiran) yang menumpang kerana bapa seorang pembersih
sentiasa membersihkan jamban angkut tersebut .
Rumah sewa kami ini berbumbungkan zink yang berirama sayu
bila rintikan hujan. Iramanya rancak bila hujan menggila. Ketika itu kami tiga
beradik di dalam pelukan emak kerana itulah caranya untuk berhubung sesama
kami. Bapa tenang sambil merenung zink yang acapkali tertusuk juga titisan
hujan.
Ketika langit cerah tak kira pagi atau petang, pekan kecil
Kamunting itu menjadi tempat mainan kami. Biasanya aku dengan kawan-kawan
lelaki meninggalkan kakak dan adik perempuan aku dengan rakan-rakan perempuan
mereka. Tak genglah dengan perempuan! Tetapi kalau aku tiada kawan, dengan muka
tidak malu aku mengekori mereka pula.
Lebih-lebih lagi semasa cuti sekolah hujung minggu. Bermaharaja-lela
kami di pekan kecil Kamunting ini. Mainannya mudah sahaja! Kami hanya menyusur
dari satu lorong ke satu lorong. Menyusur bermakna kami berjalan. Sekali-sekala
berlari. Basikal? Ketika itu bapa tidak mampu membeli basikal untuk kami.
Kalau ada baki duit sekolah hari-hari sebelumnya, susuran
kami lebih meriah! Manakan tidak dengan sebelah tangan, kadang-kadang dua-dua
belah tangan penuh dengan kudapan. Ada sahaja kudapan yang boleh dikongsi. Dari
Ais Krim Malaysia hinggalah makanan ringan yang ada setengahnya seperti Asam Katok
yang tidak lalu untuk ditelan pada hari ini.
Pekan kecil Kamunting itu berkomunitikan pelbagai bangsa dan
agama. Menariknya kami semuanya dikenali dan mengenali.
“Itu Gemuk anak Wan Ami (army)”. Kata Abeng merujuk aku
kalau bersusuran di Kedai Basikalnya.
“Itu kurus dia punya kawan, anak Muniandi Gunting Rambut”.
“Itu pendek, anak Aliang, kedai ikan sebelah”.
Maka Ais Krim Malaysia dan Asam Katok itulah kami berkongsi
bibir!
Di sinilah Tesco kami, di sinilah Giant kami.
Di sinilah kami bersusuran sehingga azan Magrib menamatkan
mainan kami.
No comments:
Post a Comment