Tuesday, March 18, 2008

Isteri yang selamat (safety wife?)



Siratan asal pada 28-Jun-2007,
(http://thejourney.weblog.uum.edu.my/)

Siratan kali ini bukanlah untuk menentukan ciri-ciri menjadi isteri yang selamat. Hanya mengenai isteri tersayang saya, seorang isteri kepada “OSH Practitioner”.

Isteri saya seorang guru tabika. Seorang yang aktif dalam sukan dan persatuan. Saya mengenalinya juga (dan jatuh cinta) semasa aktif memanjat gunung dan dalam beberapa aktiviti sukan yang lain.

Semasa bercinta dan seterusnya berkahwin, saya sudahpun bekerja dalam lapangan “OSH” ini. Oleh kerana “terpanggil” untuk menge-OSH-kan diri saya dan persekitaran luar kerja saya, saya masih teringat antara “hadiah-hadiah” pertama saya sama ada kepada isteri saya atau keluarga mertua saya ialah berkaitan dengan OSH. Dan saya pastikan juga apa yang ada di keluarga mertua saya mesti ada di rumah orang tua saya dahulu.

Antaranya saya hadiahkan “peti ubat” lengkap dengan ubat-ubatan asas seperti di “jadual” dalam Akta Kilang dan Jentera, 1967 (Peraturan). Saya beli tiga peti ubat; satu di rumah sendiri, satu di rumah orang tua dan satu di rumah mertua. Begitulah juga sehingga hari ini, kalau saya ingin membeli “kudapan istimewa” sebagai contoh; Mee Udang Sungai Dua, saya pastikan ada tiga pangku yang berasingan. Kalau pergi Pasar Ramadhan, jenuhlah jari saya membimbit tiga pangku ini kerana kedudukan tiga rumah ini adalah dalam lingkungan lima kilometer sahaja.

Oleh kerana saya “faham”, sebenarnya telah dimaklumkan dan pernah menerima “NCR – non compliance” dari DOSH (Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan) serta auditor dari CB (Certification body OSHSAS 18001/EMS ISO 14001), saya memastikan tiada sebarang ubat seperti “paracetamol” diletakkan di dalam peti ubat ini.

Ini menjadi isu malah “berbalah” dengan isteri saya. Bagi isteri saya, peti ubat mesti ada ‘Panadol” (Panadol sebenarnya jenama kepada “paracetamol”.)

Saya cuba pastikan sistem “housekeeping 5S” (Sisih, Susun, Suci, Seragam, Sentiasa Amalkan) diamalkan di rumah saya, walaupun saya “agak malas” untuk berkemas. Kini anak lelaki saya mewarisi tabiat buruk ini.

Saya pastikan semua kunci-kunci (kunci kereta, rumah, pejabat, basikal, dan lain-lain) berlabel (juga bernama dan lengkap nombor “hand phone”). Kemudian kunci-kunci ini mesti diletakkan di dalam rak yang juga berlabel. Ini bermakna dengan sekali pandang sahaja kita boleh tahu kunci apa yang tiada dalam rak tersebut. Malah ini juga sebagai persediaan menghadapi kecemasan. (Salah satu kursus yang saya gemar mengajar ialah “key management” yang mana telah diperkenalkan dan di amalkan di Celestica, Kulim Hi Tech dan juga Tasek Corperation Berhad, Ipoh)

Label-label ini bukan sahaja semata-mata ditulis pada kertas pemegang plastik tapi saya tempah dan diperbuat dari plastik. Sebelum ini ya, saya menggunakan pemegang plastik yang mudah dibeli di kedai tapi tidak tahan lama.

Untuk mengelakkan bilangan anak kunci yang banyak, saya menggunakan sistem “master key” terhadap mangga-mangga utama seperti pintu pagar, pintu besi rumah, pintu keluar dapur dan pintu pagar belakang. Dengan hanya satu anak kunci sahaja boleh membuka semua mangga-mangga ini. Tetapi ingat kalau anak kunci ini hilang atau anda rasa ianya kecurian, anda perlu menukar kesemua mangga-mangga yang berkongsi satu anak kunci ini.

Sistem “master key” ini bukan sahaja di rumah saya tetapi diamalkan juga di rumah orang tua saya dan mertua.

Saya juga pastikan ada sesalinan kunci-kunci untuk rumah saya disimpan di rumah orang tua dan juga rumah mertua saya. Begitu juga kunci-kunci di rumah orang tua saya dan mertua mempunyai sesalinan lengkap di rumah saya.

Rumah saya ada dua set lampu kecemasan yang akan menyala jika bekalan elektrik terputus. Malah turut dilengkapi dengan suis penghidup lampu automatik yang akan menyala pada waktu-waktu yang ditetapkan. Suis yang berharga tidak sampai RM 20.00 dipasang satu di ruang tamu dan satu lagi di dapur menghala ke bilik air. Kedua-dua alat kecemasan ini juga turut dipasang di rumah orang tua dan mertua saya.

Selain dari “OSH Practitioner” saya juga terlatih khas dalam bidang “Fire Safety” dan juga merupakan seorang pelatih (instructor) untuk Bomba Sukarela. Oleh itu saya cuba memastikan laluan terus (pintu utama ruang tamu hingga ke pintu dapur belakang) tidak terhalang dengan apa-apa objek.

Sekali lagi isteri saya berbalah dengan saya. “Ruang itu terlalu kosong”, katanya dan ada sahaja yang diletaknya. Kalau tidak meja kayu jati, diletaknya pasu bunga lengkap dengan kaki pasu setinggi tiga kaki! Objek-objek ini pula tidak kekal. Setiap bulan (kadang-kadang lebih kerap) bertukar tempat dengan objek lain yang ada di dalam rumah ataupun dengan objek baru.

Sewaktu anak saya baru belajar berjalan, dia sering terjatuh tergelincir di atas tikar-tikar plastik, baldu dan tikar Sarawak. Saya berbalah lagi dengan isteri. Tetapi isteri saya dengan tenang menjawab; “kita perlu mengajar anak kita cara berjalan dengan betul bukan menyeret kaki di atas tikar itu.”

Tetapi isteri saya pula sering memarahi (marah sayang) saya kalau saya terlupa (sebenarnya sering terlupa) mengunci pintu pagar, pintu-pintu rumah, pintu kereta, steering kereta, lampu bilik air dan sebagainya terutama apabila hendak tidur.

‘Abang ni jaga “safety” kat kilang sahaja! Safety kat rumah, anak isteri abang lupa!” ayat “standard” yang entah beberapa kali telah diperdengarkan dan akan pasti kedengaran lagi. Kadang-kadang saya berseloroh; “sayang, itu “security” bukan “safety”, abang jaga “safety” bukan jaga “security”. Nanti abang minta boss abang tambah satu lagi jawatan abang “cum Security Manager”!”. Akhir sekali isteri saya “give up” dan dia mengambil keputusan dia sendiri akan memastikan semua perkara-perkara itu diperiksa olehnya sendiri sebelum masuk tidur.

Bertambah lagilah satu kerja tak rasmi isteri saya.

Setiap pagi hinggalah tiga minggu yang lalu, isteri saya akan bangun lebih awal dari saya setiap hari. Mengosok seragam kilang saya, mengosok baju kerjanya, membasuh atau menyidai kain baju yang sudah dibasuh malamnya, membacuh milo untuk anak saya, membacuh teh-o untuk saya. Kadang-kadang menyediakan sarapan nasi goreng untuk anak saya. Kemudian mengejutkan saya dan anak diikuti dengan mengemas bilik tidur. Semasa saya berpakaian, dia menghidupkan injin kereta (memanaskan injin).

Tugasnya berterusan dengan menghantar anak ke sekolah. Terus ke kelas tabika. Pulang ke rumah, menyapu rumah (setiap hari!) dan selang dua hari mengelap rumah. Kemudian ambik anak sekolah. Hantar anak sekolah mengaji. Ambik anak. Malam hantar ke kelas takwando. Anak saya sehingga kini tidak mengikuti mana-mana tusyen. Saya sendiri mengajarnya beberapa malam dalam seminggu dan kini hanya di setiap hujung minggu.

Waktu malam mencuri-curi waktu melihat tv sambil melipat kain dan terbangun-terbangkit membasuh kain baju sementelah seragam kerja saya perlu diberus dahulu kerana sentiasa bergelumang dengan simen keras kalau tidakpun minyak dan gris.

Tetapi saya tidak pernah mendengar sekumitpun rungutannya mengenai kerja-kerja rutin ini.

Saya rasa sifat “pembersih” ayah saya turun kepada isteri saya dan tidak kepada saya. Isteri saya sering bertanya mengapa saya tidak mewarisi sifat “pembersih” tersebut sedangkan anak lelaki saya sudah mula menunjukan tanda-tanda mewarisi sifat buruk saya.

Oleh sebab itu saya tidak suka isteri saya memasak bukan kerana masakannya tidak sedap tetapi saya amat kesiankannya dan pada masa yang sama kalau dia masak saya akan makan banyak. Kalau dia goreng kutiaw, saya akan makan tiga pinggan malah akan berulang lagi sehingga habis dalam kuali. Kalau dia masak tom yam sekurang-kurangnya habis nasi dua tiga pinggan sekali makan. Kalau dua kali makan sudah berapa pinggan.

Saya memanjakannya dengan membawa isteri (dan anak saya) ke mana sahaja saya pergi di hujung minggu sama ada mengajar atau terlibat dengan penganjuran sukan bermotor. Saya biarkan mereka “bermalas-malas” di bilik hotel. Isteri saya dengan timbunan majalah-majalah wanita, perempuan kesukaannya, anak dengan kerja-kerja sekolah, komik, alat mainan. Malah mereka tidak pernah mengganggu atau membebankan saya semasa saya bertugas. Tahulah di mana mereka hendak mencari makan dan sebagainya.

Tetapi saya kesiankannya juga apabila setiap kali balik dari percutian hujung minggu ini (sebenarnya menumpang pekerjaan hujung minggu saya yang kerap sehingga anakpun sudah mula bosan terperap di hotel dan malas untuk mengekor bersama), isteri saya mula sibuk sebaik sahaja sampai di rumah yang biasanya pada waktu malam. Kelam kelibut dia mengeluarkan baju terpakai dalam beg. Mula membasuh dan pada masa yang sama mengemaskan rumah dan menyiapkan apa yang perlu untuk keesokan harinya.

Mengapa saya menulis mengenai isteri saya hari ini? Hari ini hari Khamis. Esok adalah hari cuti di Kedah dan petang ini saya akan kembali ke Taiping setelah menjadi “orang bujang” dari hari Isnin, Selasa, Rabu dan hari ini Khamis. Jumaat dan Sabtu, saya ada di Taiping dan biasanya Sabtu dan Ahad saya mengajar di UUM Kampus KL atau kursus UUM di Perai.

Setiap pagi Khamis ingatan saya begitu kuat kepada anak dan isteri. Bukan tidak pernah berjauhan. Saya pernah (sebenarnya kerap) meninggalkan mereka semasa menyertai “offroad rally” atau “4x4 expedition” menggunakan jalan darat hingga ke Utara China. Malah sebelum ini pun saya bekerja di Kulim selama hampir dua tahun dan di Ipoh setahun tetapi ketika itu sejauh manapun saya berkerja saya masih tinggal di Taiping. Setiap pagi memandu 110 km dari Taiping ke Kulim dan kembali ke Taiping dengan 110 km lagi setiap petang. Kemudian memandu 85 km dari Taiping ke Ipoh dan kembali ke Taiping dengan 85 km lagi setiap petang. Jarak tepat 200 km dari Sintuk ke Taiping masih “meragui” saya untuk berulang tetapi di Jepun, jarak sejauh ini adalah menjadi rutin dengan penggunaan pengangkutan awam yang “efficient” seperti “bullet train”.

Ada kawan sinis ujarnya pada saya; “maknanya setiap malam Jumaat kau ada di rumah le”. Sekurang-kurangnya saya berkesempatan untuk bertahlil dan membaca Yasin di malam Jumaat bersama-sama jemaah kawasan perumahan saya di surau hanya selang beberapa rumah sahaja dari rumah saya.

Adakah susah menjadi isteri kepada seorang “OSH Practitioner”? Atau sifat-sifat “selamat dan sihat” ini perlu ada untuk setiap isteri untuk memastikan keluarganya selamat dan sihat?

Dalam perjumpaan mesyuarat Penaja Persatuan “OSH Practitioner” pada 23 Jun 2007 Sabtu di Wisma Perkeso, Prai, salah seorang jemputan dalam kata-kata ucapannya (bertajuk “What Next?”) menyentuh kerjaya sebagai seorang “OSH Practitioner” ini sebagai satu kerja mulia dengan salah satu kerjanya untuk memastikan orang lain agar tidak cedera. Walaupun mungkin mereka (isteri-isteri) yang mewarisi atau mengamalkan OSH di rumah masing-masing ini tidak akan bergelar “OSH Practitioner” tetapi saya pasti merekalah yang sebenarnya “OSH Practitioner”.

Dengan ini saya ingin membuat satu penyataan bahawa dengan sejujur dan seikhlasnya, saya amat-amat menyayangi dan mengasihi isteri saya tanpa berbelah bagi dari saat perkenalan, seterusnys bertunang, berkahwin, mempunyai anak dan sentiasa berdoa agar berkekalan sehinggalah akhir hayat (bukan ke anak cucu kerana mengikut perangkaan terbaru Jabatan Agama Negeri, angka penceraian di usia lanjut kini kian meningkat!).

Maafkan abang kalau abang begitu “berat mulut” untuk menzahirkan ini melalui kata-kata.

….. sekadar siratan untuk ingatan termasuk diri sendiri

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Apa ada pada nama


Nama 1; Bulldog Kuan (Photo 1, berdiri kanan sekali. Tengah ialah Douglas Choong, Setiausaha Royal Perak Motorsport Club. Kiri sekali aku.)

”Ayah panggil Uncle tu Bulldog?”, tanya anak aku.

“Dia tak marah ke, ayah?”, tanya dia lagi keheranan.

Aku mengenali Bulldog Kuan (nama sebenar Kuan Huah Chin) pertengahan 80an. Semasa itu dia menunggang Yamaha Daytona 250cc tetapi mendahului semua penunggang superbike yang lain semasa Lucky Strike Explorer 1986, seperti Dr. Zaini (Ninja GPZ 900R), Yong Yin Fah (bapa Alex Yong sekarang Hanifa Yong), Kamaruddin, body guard Sultan (Gold Wing), Yussof Bakar (GPZ 1100R) dan lain-lain. Daytona itu masih ada di kedai merangkap rumahnya di No. 8, Jalan York, Pulau Pinang. Sekarang dia pakai Virago.

Satu hari aku terima fax (fax pejabat). Entah macamana masa itu boss aku lalui tepi mesin fax dan dia ambik fax itu. Boss ni dah banyak kali sound aku; jangan buat urusan luar guna fax pejabat.

”Ehh, awak kenai ka Bulldog Kuan ni?”, tanya boss aku macam percaya tak percaya.

Aku sengih sahaja. Jawab aku ringkas sahaja.

”Kalau kongsi bilik tu dah banyak kali. Cuma tak kongsi katil sahaja!”

Boss tak jadi marah sambil sua kertas fax tu kepada aku.


Nama 2: Suzuki San (Tercegat kanan)

Suzuki San ini Engineer Toyoto Motor di Nagasaki. Nama sahaja Suzuki tapi tak tahu naik motor. Tak tahulah dia buat-buat tak tahu.

Masa ralli Malaysia ke China tahun 2000, di Utara Thai sebelum Myanmar, Toyota Land Cruisher dia “wire short” habis tangkap bateri. Hendak jadi cerita ”jump cable” dalam Isuzu Invader aku pula ada mamat mana lak pinjam tak pulang balik.

Kami dua kereta 4x4 itu yang last sekali. Tahan kereta Thai, satu pun tak ada ”jump cable”. Akhirnya satu Mamat Siam ini naik motor berhenti. Bolehlah faham cakap bahasa “ayam-itik” dengan dia. Tapi “jumpa cable” itu ada dekat kedai yang dia boleh tolong bawa pergi.

Aku suruh Suzuki San naik motor Mamat Siam itu, tapi dia geleng-geleng kepala, katanya tak pernah naik motor!

Last-last aku yang kena pergi. Tu dia punya jauh. Kami cross lintang lebuhraya jam 9 malam dengan motor tak ada lampu. Pejam mata aku tengok kereta yang datang. Masuk kampung keluar kampung. Aku ingatkan Mamat Siam ini hendak jual aku dah!

Rupa-rupanya dia betul-betul nak tolong kami. Jumpa juga kedai itu. Tauke kedai itu siap ikut kami bukan sahaja bahawa ”jumpa cable” tetapi dengan bateri spare lagi.

Bila siap semua, aku buat-buatlah sua 100 bath kat Mamat Siam. Dia geleng-geleng kepala sambil sengeh-sengeh. Habis kata aku, dia nak lebih lagi.

Aku sua 200 bath. Dia geleng juga. Aku sua 500 bath. Dia geleng juga. Rupa-rupanya dia ikhlas. Lega aku. Kalau tidak habis duit aku!


Nama 3: Tumpang Sabtu.

Orangnya kecil sahaja, berdiri paling kanan depan Tuk-Tuk dalam photo no. 1. Dia dari RTM. Kecil tapi ligat orangnya. Dua kali rali aku kongsi bilik dengan dia. Nama sahaja aku ada bilik. Tapi macam tak payah ada bilik. Bilik buat syarat nak mandi dan berak sahaja.

Itupun nasib baik aku dapat sebilik geng Melayu kalau tidak boss aku selalu bubuh kau sebilik dengan geng Jepun atau Taiwan/Korea.

Aku sampai hotel paling awal jam 1 atau 2 pagi, sebab aku ”sweeper”, iaitu kereta last sekali. Pagi pula jam 3 atau 4 pagi sudah bangun sebab aku akan jadi ”zero car” iaitu kereta yang keluar awal sekali check jalan. Maknanya aku cuma jumpa Tumpang Sabtu semasa dia dalam mimpi. Dua, tiga minggu rali sempat sembang malam last sekali sahaja.

Tapi yang aku suka duduk sebilik dengan Tumpang Sabtu sebab ”ration” dia banyak. Kalau setakat maggie dan biskut tak heranlah, siap dengan serunding dan sambal tumis. Aku pula pergi rali sampai border Tibet pun lenggang kangkung sahaja. Orang rumah suruh bawa ”Pak Berahim”, aku kata tak payahlah!

Yang paling aku suka dekat Tumpang Sabtu ini ialah dia suka beli buah dan segala makanan semasa rali. Sekali-sekala jumpa masa tengah rali, dia pesan makanlah apa yang ada atas meja (dalam bilik) bila sampai hotel nanti. Entah macamana buah durian pun dia boleh seludup masuk bilik.

Seorang lagi yang pernah sebilik dengan aku semasa rali ialah Mustafa Omar, Ketua Pengarang Metro Harian masa kini.

Tiga nama ini memang aku tak boleh lupa.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Di mana Yow Sua Yin?

Catherine (Yow Ah Choy) lari dari rumahnya di Bukit Kiara Selangor semasa berumur 15 tahun (tahun 1943). Dia kemudiannya dimasukkan ke pusat jagaan remaja (Army Salvation Camp) di Ipoh. Catherine kemudiannya melarikan diri sekali lagi ke Taiping. Di Taiping beliau bekerja di sebuah kedai menjual pakaian kepunyaan seorang Pakistan. Beliau berkahwin dengan seorang askar British, Derek Norkes. Catherine kemudiannya mengikuti Norkes kembali ke UK pada tahun 1948.

Walaupun sering melancong ke Thailand, Catherine seakan-akan tidak mahu menjejaki ke Malaysia hinggalah pada tahun 2004, teman lelakinya, John mengajak Catherine kembali ke Malaysia untuk menjejaki keluarganya.

Bukit Kiara masa kini (pada tahun 2004) sama sekali berbeza pada tahun 1940an. Hanya Taiping menjadi ingatan kepada Catherine. Saya yang dikenali melalui internet berjaya menemukan Catherine dengan jirannya, Chan Siew Yok, yang kini menjual tiket loteri di hadapan sebuah supermarket di Taiping.

Yakin kedua-dua ibubapanya sudah meninggal dunia, Catherine masih berharap agar dapat berjumpa dengan kakak-kakaknya. Kakak nombor 4, Yow Sua Yin (gambar besar no. 3) yang berkahwin dengan seorang anggota polis Melayu yang berasal dari Utara (?). Kakak nombor 5, Yow Ah Fung (gambar no. 4).

Gambar no. 1, ialah Catherine semasa berumur 18 tahun dan gambar no. 2 semasa berumur 16 tahun. Kedua-dua gambar diambil di Taiping.

Gambar no. 5 ialah Catherine dan teman lelakinya, John bersama anak saya di hadapan rumah saya semasa kunjungan mereka pada tahun 2004.

Sesiapa yang mungkin mengenali atau mengetahui kakak-kakak Catherine terutama kakak nombor 4, Yow Sua Yin (nama Islam tidak diketahui), bolehlah menghubungi saya di;
lukmanw@gmail.com

Ayah yang ku benci – Bhg. 3




Siratan asal pada 27-Jun-07,


(http://thejourney.weblog.uum.edu.my/)

(Pro-Canselor UUM dan juga Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Abdul Hamid Pawanteh telah merasmikan Hari Kualiti & Majlis Penganugerahan UUM pagi tadi di Dewan Mua’dzam Shah, UUM. Ucapan perasmiannya begitu menarik dan beliau juga berkongsi pengalamannya menuntut di UiTM (ketika itu ITM) dan juga interaksi dengan anaknya sendiri. Saya tertarik dengan salah satu ungkapannya; “Less Rigid, More Flexible”. Inilah salah satu konflik (doktorin?) pada diri saya untuk membentuk anak lelaki saya yang sekarang berusia 10 tahun di mana menurut kedua-dua orang tua saya, anak lelaki saya ini memiliki perangai dan keperibadiannya saling tidak tumpah seperti saya semasa kecil dahulu.)

Ayah juga cuba membentuk kami terutama aku untuk mengikut kerutinanan ini. Tetapi aku menganggap kerutinan itu adalah kongkongan. Kami tiga beradik mempunyai jadual waktu masa bermula dari 6 pagi hingga ke 10 malam. Semuanya tertulis dalam jadual masa tersebut.

Ayahku juga mempunyai sistem pemetaan (maping) tersendiri untuk pergerakan aku sahaja. Kakak dan adik perempuan tidak “seaktif” aku. Ayah melukis secara kasar kedudukan rumah kami dan juga sekolah. Kemudian dia melakarkan bulatan dengan radius meliputi rumah serta sekolah. Pergerakan aku ditetapkan hanya di dalam radius (rutin ke sekolah, padang permainan dan kedai) dan tidak perlu kebenaran khas. Tetapi jika keluar dari radius tanpa kebenarannya, siaplah aku.

Aku pernah mencuba keluar dari radius sini. Sengaja berkunjung ke pekan kecil berhampiran sekolah dengan mengikuti rakan. Entah bagaimana ayahku tahu sehingga hari ini pun aku tiada jawapannya. Ayah menunggu kepulangan aku dengan tali pnggang askarnya. Pertanyaannya ringkas sahaja; mengapa aku sudah pergi hingga melebihi kawasan yang ditetapkan. Tanpa menunggu jawapan keluar dari mulutku, piat, piat, dua kali hujung tali pinggang askar itu melibas betis kakiku.

Seingat-ingat aku ayah tidak pernah menggunakan rotan untuk menghukum aku. Ibu hanya mencubit pinggang yang kadang-kadang aku masih mampu boleh mengeliat melarikan diri. Ayah kalau tidak sempat mengambil tali pinggang askarnya, alamat berpiallah telinga aku.

Kerana tali pinggang askar itulah aku berupaya menghafal kali-kali sehingga kali 12 seawal usia 8 tahun. Setiap malam di meja makan aku “berlagu” menghafal kali-kali dengan jelingan anak mata ke tali pinggang askar yang sengaja diletakkan di penghujung meja makan.

Dalam ketegasan membentuk kami tiga beradik, ayah masih cuba “mengikut rentak” semasa. Aku masih teringat ayah bersusah payah membeli “tiket wayang gelap” untuk cerita “Menanti Hari Esok” arahan Tan Sri Jins Shamsuddin dan lakonan Noor Kumalasari yang “box office”. Cerita tersebut dilakonkan di Taiping dan ada babak-babak di Stesen Keretapi Taiping serta di sebuah kampung di Taiping. Ayah terdengar kami tiga beradik asyik bercerita mengenainya dan ayah berjaya membeli empat tiket tayangan tengah malam. Walaupun begitu keempat-empat tiket itu tidak berdekatan tempat duduknya. Kami keluar rumah seawal 8 malam untuk tayangan 12 tengah malam dengan menaiki bas dan kembali ke rumah dengan menaiki teksi sapu.

Mungkin kerana aku tidak merokok sehingga hari ini adalah disebabkan ketegasan ayahku. Dia memberi amaran kepada aku, kalau didapati merokok dia akan “mengerjakan” aku sehingga “separuh mati”.

Ayahku seorang perokok tetapi seingat-ingat aku dia tidak pernah menyuruh aku membeli rokok. Ayahku juga seorang yang amat pembersih yang kadang-kadang aku membencinya kerana sikap “pembersih” ini. Dia akan tahu kalau ada “perokok” yang datang ke rumah waktu ketiadaannya. Dia akan merungut kalau ada anak mancis di halaman rumah atau kesan abu rokok di dalam rumah. Manakan tidak setiap hari dia akan membersihkan sekeliling rumah tanpa meninggalkan sehelai daunpun.

Menurut ibu, setahun dua ini ayah sudah berenti dari menyapu halaman. Pergerakannya juga amat perlahan. Dia pernah “tersesat” dalam perjalanan pulang mengambil pencen walaupun kedudukan bank tersebut hanya 500 meter dari rumah.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/




Caption photo;

Nasib baik dulu tak ada Google Earth, kalau tidak lagi senang ayah buat maping!





Monday, March 17, 2008

Kalau diberi peluang memilih jamban


Dua perkara yang paling aku elakkan kalau diberi peluang memilih jamban.

Pertama; jamban mestilah berdinding dan berpintu sampai atas iaitu sampai bumbung.

Ingatkan paras tengkok tu dinding dan pintu jamban yang ada di Malaysia ini sudah habis “sexy”, rupa-rupanya, pengalaman “berjamban” di China lagi hebat.

Kalau jamban “hajat besar” dindingnya hanya paras pinggang dan ada yang tak ada pintu. Nasib baik ada kawan yang “selalu” ulang-alik ke China bagi tips suruh bawa payung bila nak melepas “hajat besar”.

Kalau jamban “hajat kecil” takungnya memanjang dan tinggi aras lutut macam koridor tanam bunga. Ala-ala tempat minum lembu!

Kedua; kalau ada makcik ke, kakcik yang sedang buat kerja (bukan mengerjakan atau dikerjakan) dalam jamban tu ingat-ingatlah gantung signboard ka apa yang patut. Sudah banyak kali aku melangkah aja masuk pintu dan hendak tarik zip, makcik dan kakcik ni buat-buat do-no sahaja.

Tapi ada suatu kakcik Indon masa aku kerja kilang dulu, dia akan bercakap atau menyanyi sorang-sorang. Sekurang-kurangnya orang lelaki tahu ada kaum bukan sejenis mereka sedang buat kerja di dalam!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Ayah yang ku benci – Bhg. 2


Siratan asal pada 26-Jun-2007,
(http://thejourney.weblog.uum.edu.my/)

Ayahku seorang askar. Seorang askar yang berdisiplin sehinggakan ke hari ini walaupun telah lama meninggalkan seragamnya. Disiplinnya yang keterlaluan itulah yang membuatkan aku membencinya.

Disiplinnya membentuk satu rutin yang jitu. Ketika sihatnya dulu, setiap pergerakannya boleh diramal. Setiap pagi tepat 6 pagi (tanpa bantuan jam loceng) sudah berada di bilik air (bermula di tandas dan bilik mandi) dan boleh kedengaran amalannya membuang kahak. Kemudian rutinnya bermula selepas sholat subuh. Bercukur tanpa cermin. Bersarapan kemudian membaca akhbar. Menyapu keliling rumah dan berehat seketika dengan menyambung pembacaan akhbar. Sehingga hari ini aku kehairanan bagaimana ayah boleh ke tandas (dan melakukannya) setiap hari.

Enam petang menonton berita tv di RTM 1. Ketika itulah aku resah kerana terlepas rancangan kartun atau siri kegemaran lain di siaran lain. Setiap senja tepat jam 7 malam dia akan bergerak keluar dari rumah ke surau untuk sholat Magrib. Tidak kira sama ada hujan atau tidak dia akan bergerak melalui laluan yang sama. Jam 8 malam menonton berita kemudian memerhatikan kami menghabiskan kerja-kerja sekolah.

Kalau hari pencen kami sekeluarga sudah tahu apa yang akan terhidang di meja makan. Rutinnya terlalu sempurna. Lapan pagi dia akan keluar rumah ke bank berdekatan untuk mengambil pencen kemudian terus ke bandar (pejabat pos dan sebagainya) untuk menjelaskan bil-bil yang ada. Dia akan singgah ke pasar membeli perut dan sayur lobak jeruk. Sebelum jam 11 pagi dia sudah kembali berada di rumah dan ibu akan memasak Masak Lemak Perut dengan Sayur Lobak Jeruk. Anehnya kami sekeluarga tidak pernah jemu-jemu dengan resipi ini hinggalah ke hari ini.

Selepas Asar, ayah akan mengayuh basikalnya ke pekan kecil berhampiran untuk mengunting rambut ala askar dan aku mengekorinya dengan basikalku. Tiada peluang untuk aku bergaya dengan fesyen rambut kerana ayah akan memastikan rambut aku juga digunting ala askar. Berguntinglah aku dengan muka yang semasam-masamnya, apatah lagi mengenangkan keesokan hari sudah pasti diejek “gonjeng” dengan rakan-rakan sekolah. Semacam dendam apabila aku melangkah remaja cuba menyimpan rambut panjang.

Selepas mengunting rambut, ayah akan ke kedai ubat Cina yang terletak berhadapan kedai gunting untuk membeli barangan dapur/rumah seperti yang telah dicatatkan dalam “Buku Tiga Lima”nya itu.

Ayahku mempunyai sistem inventori tersendiri. Bukan sahaja semua barangan sekolah atau pakaian dilabelkan dengan nama-nama kami tiga beradik, semua barangan “guna habis” di rumah ada tarikh pembelian. Seperti contoh ubat gigi, minyak masak, minyak tanah (untuk dapur), minyak rambut, ubat nyamuk dan hampir kesemuanya yang lain mempunyai tarikh pembelian pada kotak pembungkus. Dengan sistem yang diamalkan oleh ayahku ini, kami tidak pernah kehabisan barangan-barangan keperluan seisi rumah. Ayah boleh mengagak dengan tepat bila sesuatu barang itu akan kehabisan dan dia akan memastikan barangan itu dibeli sebelum barangan yang sedia ada habis digunakan.

Rutinnya kadang-kadang menjadi bahan jenaka kepada aku. Aku boleh mengagak dengan tepat di mana dia berada pada waktu-waktu tertentu. Terlalu rutin dan terlalu tepat kerutinannya. Malah aku berani “bertaruh” dengan rakan-rakan di mana ayah berada.

Ayah juga cuba membentuk kami terutama aku untuk mengikut kerutinanan ini. Tetapi aku menganggap kerutinan itu adalah kongkongan. Kami tiga beradik mempunyai jadual waktu masa bermula dari 6 pagi hingga ke 10 malam. Semuanya tertulis dalam jadual masa tersebut.

Ayahku seorang yang berdisiplin. Disiplin yang dibentuk semasa berkhidmat di dalam askar dan diamalnya walaupun sudah tidak lagi menjadi seorang askar. Dia percaya seseorang itu perlu mempunyai disiplin yang tinggi dan mengamalnya untuk menjadi seorang manusia yang berjaya.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
Caption photo;
Ini bukan gambar ayah aku, dia kebanyakannya di dapur askar

Ayah yang ku benci – Bhg. 1


Siratan asal pada 25-Jun-2007,
(http://thejourney.weblog.uum.edu.my/)

Ayahku lahir dalam tahun 1933. Sekarang agak uzur dan tidak berkesempatan lagi ke surau sementelah surau yang berhampiran rumah yang didiaminya itu perlu menongkah tangga untuk ke ruang sholat.

Seingat-ingatku, aku mula membenci ayahku seawal umurku 10 tahun. Sebelumnya aku adalah pemuja ayahku. Ayahku adalah wira kepadaku. Apa sahaja boleh dilakukannya. Sehinggakan adakalanya aku lebih suka sekiranya ibuku "berdiam diri" kerana asmanya menyerang dan ketika itulah ayahku akan mengambilalih peranan ibuku di dapur. Ada sahaja resipi baru dengan hanya rencah-rencah yang ada di dapur. Kami (kakak dan adik perempuan aku) akan berpeluang menikmati makan tengahari atau malam dengan makanan ala kadar tetapi terlalu istimewa lengkap dengan hiasan memenuhi pinggan. Ayahku pernah bertugas di bahagian dapur askar untuk beberapa tahun

Ayahku seorang askar. Seorang askar yang berdisiplin sehinggakan ke hari ini walaupun telah lama meninggalkan seragamnya. Disiplinnya yang keterlaluan itulah yang membuatkan aku membencinya.

Seingat-ingat aku disiplinnya itu yang menentukan perjalanan hidupnya. Bermula dengan jam, semua jam di dalam rumah akan dipercepatkan selama 15 minit. Jangan sama sekali berjanji dengan ayahku. Aku masih ingat ketika kami tinggal di Kuala Lumpur pada awal 80an dan pulang ke Perak sekali setahun untuk menyambut Hari Raya dengan menaiki keretapi menggunakan waran. Walaupun ayahku tahu keretapi ke utara akan bertolak pada pukul 12 tengah malam dan waran telah ditukarkan kepada tiket-tiket perjalanan awal seminggu, dia masih tegas mahu keluar dari rumah seawal 7 malam sedangkan Rumah Pangsa Jalan Hang Tuah itu tidak seberapa jauh dari stesen keretapi. Malah ketika itu ibukota Kuala Lumpur tidaklah sesibuk seperti sekarang. Hanya kurang setengah jam kami sekeluarga telah sampai ke stesen keretapi. Jenuhlah menunggu sehingga jam 12 tengah malam. Apatah lagi keretapi ketika itu memang terkenal dengan kelewatannya. Acap kali keretapi hanya bertolak seawal jam satu atau dua pagi.

Ketika pulang ke ibukota lagi hebat kerenahnya. Jarak kampungku hampir 30 km dari stesen keretapi. Kami sekeluarga biasanya telah berada di stesen keretapi seawal jam 4 atau 5 petang sedangkan keretapi dijangka tiba jam 12 tengah malam. Mujurlah ibuku sentiasa siap dengan pelbagai makanan dari yang seberat nasi hingga ke pelbagai kudapan.

Mungkin semasa usia tujuh hingga sembilan tahun, semuanya disediakan oleh ibuku, aku mula merasakan kebencianku bertunas apabila menjangkau usia 10 tahun semasa aku bersekolah rendah darjah empat. Beg sekolah dengan jadual waktu keesokan hari mesti disiapkan sebelum jam 9.00 malam. Kerja sekolah mesti bermula selepas Magrib. Kami makan malam seawal 6.30 petang! Sekitar jam 9.00 pula sekadar teh-o dengan biskut.

Peraturan di meja makan adalah kemestian. Kerusi jangan ditarik hingga mengeluarkan bunyi. Bercakap hanya perlu. Pinggan mesti diangkat ke singki selepas makan. Kerusi perlu disorong kembali. Mungkin kerana aku lelaki, aku dikecualikan membasuh pinggan tetapi aku ditugaskan mengelap meja dan mengutip sisa makanan yang tumpah.

TV hanya dibenarkan selepas berita iaitu jam 8.30 malam dengan syarat semua kerja sekolah telah siap dan mesti ditutup pada pukul 10.00 malam. Sesiapapun tidak dibenarkan menukar siaran lain ketika berita dan waktu azan diperdengarkan.

Kami diajar memaklumkan "kami hendak pergi sekolah sekarang" apabila hendak melangkau keluar pintu rumah. Aku masih ingat hanya menyebutnya seperlahan yang mungkin kerana anak jiran sering mengejek-ejek ungkapan itu. Begitu juga sebaik sahaja sampai di rumah perlu memberi salam dan memaklumkan "kami dah balik!".

Stokin perlu dimasukkan ke dalam kasut. Kasut perlu dihentak ke lantai dan pastikan semua pasir atau tanah tiada pada tapak kasut. Kasut -kasut perlu disusun mengikut susunan nama yang telah ditanda dengan "Art Line Maker" di rak kasut kayu yang diperbuat sendiri oleh ayahku. Sememangnya ayahku amat suka pada "Art Line Maker" ini!. Sebut sahaja peralatan sekolah ataupun harian, semuanya bertanda lengkap dengan nama-nama kami tiga beradik. Kasut, stokin, baju dan seluar sekolah malah singlet, semuanya ada tanda nama-nama masing-masing. Tulisannya agak besar, sebagai contoh di kolar baju sehinggakan semua pelajar lain di sekolah tahu namaku kerana tulisan di kolar baju ini mudah dibaca oleh mereka.

Caption photo;
Gambar ayah terbaru (Mei-2007)

Korek Telinga


Semalam dalam kereta, orang rumah aku cerita lagi pasai aruah Makcik Biah. Cerita ini sebenarnya dua tiga kali sudah aku dengar. Tapi pasai hendak jaga hati orang rumah, aku tumpang gelak juga. Anak lelaki aku juga gelak sakan. Tak tahu pula sama ada dia pernah dengar cerita ini ataupun dia pun sama nak ambik hati ibu dia.

Cerita 1.

Macam biasa apabila petang-petang dengan cuaca elok dan angin sepoi-sepoi, Makcik Biah ini rajin ”melawat” pot lepak kaum-kaum ibu di perumahan Mak Mertua aku itu. Pot itu tak lah spesial sangat. Cuma ada dua tembok untuk menengek di kiri kanan pintu pagar rumah Mak Mertua aku itu. Kalau ramai yang mari lepak, Mak Mertua atau adik ipar aku bawa keluar kerusi kecik dua tiga. Bergantung kepada ”qorum”!

Petang itu topik KL. Biasalah Mak Mertua aku cerita dia baru balik KL rumah anak sulong dia yang kerja Proton itu.

Kemudian Makcik Biah menyampuk, dia teringin sangat nak pi KL lebih-lebih asyik dengan orang dok cakap pasai KL sahaja.

”Makcik Biah tak pernah pi KL ka?” , tanya adik ipar aku.

”Kay El Makcik tak pernah pergi tapi Kuala Lumpur pernahlah.......”


Cerita 2

Sebulan sekali. Kadang-kadang berkali-kali dalam sebulan, orang rumah aku bawa mak dia pi beli barang dapur. Biasanya kalau tak Tesco, pergi Giant. Mak Mertua aku lebih suka pergi Giant sebab tak payah naik ”esclator” atau ”lift”. Dua benda ini Mak Mertua aku gayat.

Hari itu Makcik Biah nak tumpang sama beli barang dapur.

Lepas beli barang dapur campur barang bilik mandi dan sebagainya, orang rumah aku bawa kaum-kaum ibu ini pi makan kat ”Food Court”.

Macam biasalah, kaum-kaum ibu ini order teh. Terkejut Makcik Biah tengok benda puteh plastik yang tersisip tepi cawan teh itu.

“Apa ni Yah?“, tanya Makcik Biah kat Mak Mertua aku.

”Ini sudu bacuh teh”

”La, aku ingat korek telinga!”

Banyak lagi cerita. Kita sambung nanti.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Photo Caption;
Ini ”korek telinga” yang aku kumpul dari hotel.

Budak Kedai Buku, Budak Panggung Wayang


“Apa cita-cita awak apabila besar nanti?”, tanya Cikgu Dolah yang berbadan gempal pendek itu.

“Saya nak jadi Doktor”, kata Syarifuddin anak Pak Aji Bakhil (bapa dia sendiri yang cakap macam tu!).

“Saya nak jadi Cikgu”, kata Wan (sudah terlupa nama penuhnya) yang kemetot dan berambut ekor kuda tapi kiut miut itu

“Saya nak jadi askar”, kata Ibrahim Mamak yang hitam legam.

Pelbagai jawapan lagi dimulutkan oleh budak-budak sekolah rendah darjah 6 (ketika itu tahun 1979). Semuanya jawatan yang hebat-hebat termasuklah engineer, lawyer, pilot dan sebagainya. Mungkin masa itu belum ada Siti Nurhaliza (Datuk ke atau Datin Seri?) dan Mawi, kalau tidak ramai yang nak jadi artis. Adapun Uji Rashid dan Hail Amir dengan rambut afro dan ”sideburns” labuh macam Elvis.

”Awak pula nak jadi apa?”, akhirnya sampai juga soalan itu kepada aku yang duduk barisan belakang sekali.

”Saya, saya nak jadi budak kedai buku!”

”Budak kedai buku? Cita-cita lain tak ada ka?”, tanya Cikgu Dolah lagi.

“Ada!”

‘Apa dia?”

“Saya nak jadi budak panggung wayang!”.

Satu kelas gamat dengan gelakan sehingga Cikgu Dollah terpaksa godam rotan tangkai bulu ayam dua tiga kali atas meja guru.

Memang itulah cita-cita aku semasa darjah 6. Sebelumnya semasa darjah 4 ketika aku dan keluarga tinggal di kuarters askar Port Dickson, cita-cita aku hendak jadi askar. Tetapi setiap hari semasa perjalanan ke sekolah aku melihat rekrut-rekrut yang didenda berjemur di tengah padang terik matahari, berguling-guling di padang kawad ataupun memikul balak, membuatkan aku menukar kerjaya.

Cita-cita aku mudah sahaja. Mengapa?

Kalau jadi budak kedai buku, aku berpeluang baca buku atau komik secara percuma. Kalau jadi budak panggung wayang (sebenarnya tukang suluh nombor kerusi), aku berpeluang tengok wayang percuma.

Ini gara-gara aku yang “hantu” komik dan juga hantu wayang. Tapi taklah sampai jadi iblis atau syaitan! Dan aku paling takut baca komik hantu, apatah lagi tengok cerita hantu!

”Apalah awak ini! Badan sahaja besar tetapi cita-cita kecil”, kata Cikgu Dollah apabila mendengar penerangan cita-cita aku itu.

Itulah aku.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/


Photo Caption;
Kedai Buku Terpakai Chowrasta. Aku hendak cari buku Fluid Engineering, mamak kedai buku tu offer novel porno bahasa Inggeris dan tape blue pula!