Tuesday, March 18, 2008

Ayah yang ku benci – Bhg. 3




Siratan asal pada 27-Jun-07,


(http://thejourney.weblog.uum.edu.my/)

(Pro-Canselor UUM dan juga Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Abdul Hamid Pawanteh telah merasmikan Hari Kualiti & Majlis Penganugerahan UUM pagi tadi di Dewan Mua’dzam Shah, UUM. Ucapan perasmiannya begitu menarik dan beliau juga berkongsi pengalamannya menuntut di UiTM (ketika itu ITM) dan juga interaksi dengan anaknya sendiri. Saya tertarik dengan salah satu ungkapannya; “Less Rigid, More Flexible”. Inilah salah satu konflik (doktorin?) pada diri saya untuk membentuk anak lelaki saya yang sekarang berusia 10 tahun di mana menurut kedua-dua orang tua saya, anak lelaki saya ini memiliki perangai dan keperibadiannya saling tidak tumpah seperti saya semasa kecil dahulu.)

Ayah juga cuba membentuk kami terutama aku untuk mengikut kerutinanan ini. Tetapi aku menganggap kerutinan itu adalah kongkongan. Kami tiga beradik mempunyai jadual waktu masa bermula dari 6 pagi hingga ke 10 malam. Semuanya tertulis dalam jadual masa tersebut.

Ayahku juga mempunyai sistem pemetaan (maping) tersendiri untuk pergerakan aku sahaja. Kakak dan adik perempuan tidak “seaktif” aku. Ayah melukis secara kasar kedudukan rumah kami dan juga sekolah. Kemudian dia melakarkan bulatan dengan radius meliputi rumah serta sekolah. Pergerakan aku ditetapkan hanya di dalam radius (rutin ke sekolah, padang permainan dan kedai) dan tidak perlu kebenaran khas. Tetapi jika keluar dari radius tanpa kebenarannya, siaplah aku.

Aku pernah mencuba keluar dari radius sini. Sengaja berkunjung ke pekan kecil berhampiran sekolah dengan mengikuti rakan. Entah bagaimana ayahku tahu sehingga hari ini pun aku tiada jawapannya. Ayah menunggu kepulangan aku dengan tali pnggang askarnya. Pertanyaannya ringkas sahaja; mengapa aku sudah pergi hingga melebihi kawasan yang ditetapkan. Tanpa menunggu jawapan keluar dari mulutku, piat, piat, dua kali hujung tali pinggang askar itu melibas betis kakiku.

Seingat-ingat aku ayah tidak pernah menggunakan rotan untuk menghukum aku. Ibu hanya mencubit pinggang yang kadang-kadang aku masih mampu boleh mengeliat melarikan diri. Ayah kalau tidak sempat mengambil tali pinggang askarnya, alamat berpiallah telinga aku.

Kerana tali pinggang askar itulah aku berupaya menghafal kali-kali sehingga kali 12 seawal usia 8 tahun. Setiap malam di meja makan aku “berlagu” menghafal kali-kali dengan jelingan anak mata ke tali pinggang askar yang sengaja diletakkan di penghujung meja makan.

Dalam ketegasan membentuk kami tiga beradik, ayah masih cuba “mengikut rentak” semasa. Aku masih teringat ayah bersusah payah membeli “tiket wayang gelap” untuk cerita “Menanti Hari Esok” arahan Tan Sri Jins Shamsuddin dan lakonan Noor Kumalasari yang “box office”. Cerita tersebut dilakonkan di Taiping dan ada babak-babak di Stesen Keretapi Taiping serta di sebuah kampung di Taiping. Ayah terdengar kami tiga beradik asyik bercerita mengenainya dan ayah berjaya membeli empat tiket tayangan tengah malam. Walaupun begitu keempat-empat tiket itu tidak berdekatan tempat duduknya. Kami keluar rumah seawal 8 malam untuk tayangan 12 tengah malam dengan menaiki bas dan kembali ke rumah dengan menaiki teksi sapu.

Mungkin kerana aku tidak merokok sehingga hari ini adalah disebabkan ketegasan ayahku. Dia memberi amaran kepada aku, kalau didapati merokok dia akan “mengerjakan” aku sehingga “separuh mati”.

Ayahku seorang perokok tetapi seingat-ingat aku dia tidak pernah menyuruh aku membeli rokok. Ayahku juga seorang yang amat pembersih yang kadang-kadang aku membencinya kerana sikap “pembersih” ini. Dia akan tahu kalau ada “perokok” yang datang ke rumah waktu ketiadaannya. Dia akan merungut kalau ada anak mancis di halaman rumah atau kesan abu rokok di dalam rumah. Manakan tidak setiap hari dia akan membersihkan sekeliling rumah tanpa meninggalkan sehelai daunpun.

Menurut ibu, setahun dua ini ayah sudah berenti dari menyapu halaman. Pergerakannya juga amat perlahan. Dia pernah “tersesat” dalam perjalanan pulang mengambil pencen walaupun kedudukan bank tersebut hanya 500 meter dari rumah.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/




Caption photo;

Nasib baik dulu tak ada Google Earth, kalau tidak lagi senang ayah buat maping!





No comments: