Sunday, April 19, 2009

Apa kesudahan mimpiku ini?

Apa kesudahan mimpiku ini?

Sukar untuk aku mempercayai mimpi! Elok-elok mimpi kencing di tebing sungai, tiba-tiba basah tilam. (Ini monolog lama!)

Pertengahan 80an aku sering bermimpi memanjat tangga. Biasanya tangga batu. Bila sampai di hujung tangga, terbentang pintu. Tapi aku tidak dapat melangkah terus kerana anak tangga yang di atas sekali tiada!

Ada ruang tergangga di antara anak tangga teratas dengan muka pintu.

Tidak lama selepas itu aku gagal peperiksaan ulangan di UM.

Aku bermimpi mimpi yang sama sewaktu beria-ria di ITM. Tidak lama selepas itu juga aku meninggalkan ITM.

Kemudian mimpi itu sudah tidak mengunjungi lena aku.

Penghujung 90an aku sering mimpi melayangkan badan. Kadang-kadang aku bermimpi aku mampu terbang.

Tidak lama selepas itu aku terlantar di hospital kerana demam panas dan di-diagnosis-kan mempunyai tahap hemoglobin yang rendah, di samping itu beberapa penyakit lain mula mendekati aku.
Kata pakar, orang yang ber-hemoglobin rendah ini biasanya tinggal di pergunungan Himalaya. Mereka mampu hidup dengan kekurangan oksigen. Spesis hidupan lain yang ber-hemoglobin rendah ialah unggas yang boleh terbang seperti burung. Disebabkan rendah hemoglobin itulah mereka boleh terbang.

Keluarnya hospital aku memulakan hobi baru – mendaki gunung dan bukit. Merata gunung dan bukit ku daki.

Kemudian mimpi itu sudah tidak mengunjungi lena aku.

Akhir-akhir ini aku bermimpi memandu kereta. Dalam mimpiku tidak kira dengan kelajuan yang tinggi atau rendah, aku membrek tetapi brek tidak berfungsi. Kereta yang ku pandu terus mengelunsur. Anehnya tidak melanggar apa-apa!

Adakah ianya merupakan ingatan agar aku tidak terlanjur! Terlanjur membuat sebarang keputusan.

Usia baru melangkah nombor keramat 40 ini aku sudah membuat keputusan drastik meninggalkan kerusi empuk tapi panas di sektor swasta untuk menghenyakkan punggung besar aku di kerusi keras tapi sejuk di sektor kerajaan. Itu bukan keputusan terlanjur!

Terlanjur dalam pergaulan! Nauzubillah semoga Allah tetapkan hati aku ini bersama-sama keluargaku, bersama-sama isteri aku seorang itu dan bersama-sama anak jantan aku seorang itu.

Amin.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments: