Thursday, June 18, 2009

Pameran Buku MPH di Taiping Sentral


Pameran Buku MPH di Taiping Sentral

Saban tahun permintaan anak jantan seoang aku itu untuk ke Pameran Buku Kebangsaan di KL tidak dapat ditunaikan. Walaupun ada ketikanya tarikh pameran bertembung dengan jadual aku mengajar di KL, permintaannya agak sukar dipenuhi. Dengan lapan jam kelas pengajaran setiap hari Sabtu dan Ahad, sukar untuk mencuri sengkang waktu mengunjungi pameran tersebut. Hanya yang sempat dikunjungi ialah gedung-gedung buku yang berkongsi lokasi dengan pusat membeli-belah seperti KLCC, Curve, Mid Valley dan lain-lain.

Namun begitu jika ada pameran yang diadakan di sekitar Taiping, Ipoh dan Pulau Pinang pasti kami tiga beranak akan sampai.

Mulai 17 Jun hingga hujung bulan ini, penerbit dan pengedar buku MPH mengadakan pameran Buku MPH di Taiping Sentral setiap hari dari jam 10.30 pagi hingga 10.30 malam.

Kami tiga beranak baru sahaja pulang mengunjungi pameran ini sebentar tadi. Dari jam 8.00 malam kami menghabiskan masa hampir dua jam membelek-belek buku di sini. Hasilnya seperti di pameran-pameran buku dan kedai-kedai buku yang biasa kami kunjungi, banyak jugalah buku-buku yang dibawa pulang.

Biasanya aku cenderung membeli buku-buku berkaitan mata pelajaran yang diajar, buku-buku motivasi, travel, komputer, fotografi dan seumpamanya, tetapi entah mengapa kali ini aku membuat keputusan untuk membeli buku-buku keagamaan.

Antara buku-buku yang aku beli bertajuk Kisah Bapa dan Anak dalam Al-Quran serta Travelog Dakwah. Sebenarnya aku mencari buku yang berkaitan Kisah-kisah Pesanan Luqmanul Hakim kepada Anaknya tetapi setakat ini belum berjumpa yang dapat menarik minat aku. Manakala buku Tavelog Dakwah karya Prof. Dr. Muhd Kamil, Professor Perakaunan di UiTM yang terkenal dengan buku-buku motivasi di samping beberapa buah buku kepakaran bidangnya ini telah lama berada dalam senarai buku yang aku ingin memilikinya.

Anak jantan seorang aku seorang itu pula membeli buku bertajuk Leftenan Adnan Wira Bangsa dan Hamster, Kaedah Mengatasi Masalah Secara Pratikal. Manakala orang rumah seorang aku itu membeli beberapa buah buku berkaitan pendidikan pra-sekolah. Kesemuanya berharga hampir RM 100.00 juga.

Tiba-tiba aku teringatkan deretan kedai buku di JACC, Woduk Melati, Tanah Abang, Jakarta. Buku-buku yang dibeli hampir 30 buah tetapi masih belum melebihi RM 100.00.

Seorang rakan sesama universiti memaklumkan bahawa buku-buku di India (dalam Bahasa Inggeris!) lebih murah harganya dari Indonesia. Termasuklah buku-buku kejuruteraan, perubatan dan keagamaan. Berita ini yang ”membarakan” aku hendak ke India pula selepas ini. Sementelah tiga hari lepas aku baru sahaja mendapat email dari rakan iaitu seorang doktor India muda di KL yang baru pulang menjelajah ke Utara India dengan motosikal Enfield yang disewa.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

No comments: