Paa
Semalam air mata aku mengalir lagi. Turut mengalir ialah air mata orang rumah seorang aku itu. Anak jantan aku seorang itu pula hanya kedengaran dengkuran keletihannya dari atas sofa, baru balik dari “ride” bersama rakan.
Sementara menunggu masa bertolak ke Airport Penang untuk mengejar penerbangan jam 7.00 pm ke Langkawi, aku secara tidak sengaja ‘tertonton” dari mula filem Paa di TV2 RTM lakonan anak-beranak Amitabh Bachchan dan Abhishek Bachchan.
Aku pernah membaca liputan film Paa (terbitan 2009) ini yang mengisahkan tentang penyakit genetik yang amat jarang berlaku iaitu Progeria. Dikatakan kurang dari 50 orang kanak-kanak di dunia yang mengidapnya. Tubuh badan penghidap Progeria akan berumur (aging) lima kali pantas dari umur sebenar.
Sebelum ini aku tidak begitu berminat untuk menontonnya kerana anggapan Paa meniru filem Jack (1996 arahan Francis Ford Coppola yang sinonim dengan The God Father) lakonan Robin Williams bersama-sama beberapa pelakon hebat lain seperti Bill Cosby dan Jennifer Lopez. Walaupun Jack bukan penghidap Progeria tetapi kelahirannya pra matang menyebabkan beliau mempunyai simptom Progeria.
Dalam filem Paa ini, Amitabh Bachchan sebagai Auro, 12 tahun pengidap Progeria tinggal bersama ibunya Vidya (lakonan Vidya Balan) dan neneknya Bum (lakonan Arundhati Nag). Tanpa disedari Auro bertemu bapa kandungnya iaitu Amol Artee (lakonan Abhishek Bachchan), seorang Ahli Parlimen muda yang jujur semasa majlis penerimaan hadiah di sekolahnya.
Berbeza dengan filem Jack yang lebih menumpukan kisah Jack dengan rakan sekolah dan persekitarannya, filem Paa masih dengan elemen tradisi Hindustannya iaitu; percintaan ibu bapa semasa belajar dan juga pergolakan politik dengan isu setinggan di India.
Bagaimanapun filem Paa ini berjaya mengelakkan sinonim lawak bodoh Hindustan.
Lakonan ini membolehkan Amitabh menjulang Award Pelakon Terbaik dan pada masa yang sama juga filem ini mendapat Award Filem Terbaik. Lakonan Arundhati Nag sebagai nenek Auro (Bum) yang tabah memelihara cucunya itu yang lahir tanpa pengetahuan ayahnya juga berjaya meraih Award Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Antara kekuatan filem Paa ini solekan prosthetic Auro, seorang kanak-kanak 12 tahun yang berwajah dan bertubuh seorang dewasa 80 tahun hasil tangan Christein Tinsley and Dominie Till, pereka solek artis yang terkenal di Hollywood. Antara hasil tangan mereka ialah The Passion of the Christ, Catwoman, trilogy The Lord of the Rings.
Apa pun aku masih menganggap filem Taare Zameen Par masih tiada tandingan jika dibandingkan dengan filem Paa ini.
Turut membanggakan aku (tanpa pengetahuan aku), adegan Auro bersekolah difilemkan di Sekolah King Edward VII Taiping.
lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
3 comments:
eh sekolah king edward??? wahhh kena tgk nih...my old school ehehehe
Ada pokok besar - lupa lak nama pokok tu. Ada padang luas.
Walaupun tak pernah bersekolah di Taiping, bangga juga kita.
Herannya tak dengarpun shooting pada tahun 2009
erm tuh laa...takde dengar pulak ada shooting. abg cakap baru saya perasan.
Post a Comment