Thursday, February 18, 2010

Taiping Lake Garden 4






Taiping Lake Garden 4

Cadangnya esok (Jumaat) aku akan kembali berjogging berjalan mengelilingi Taman Tasek Taiping. Memandangkan esok pagi juga aku akan menaiki kapalterbang di Penang dan seterusnya menyambung penerbangan ke Miri, aku ke Taman Tasek Taiping pagi ini.

Hari ini perjalanan bertambah jauh dengan tambahan mengelilingi dan menaiki Bukit DO. Hari ini juga aku berjaya merakamkan Air Pancut dari Jeti Spritzer.

Seperti minggu lepas perjalanan aku mesti terhenti-henti. Sama ada terhenti mengambil gambar, atau terhenti kemengahan (berjalanpun boleh termengah!) ataupun terhenti kerana sapaan kenalan.

Ramai warga Taiping yang aku kenal turut sama-sama mengeluarkan peluh di sini. Antaranya ialah Major Bersara Shabir yang biasanya tak pernah lekang dengan topi Esso-nya tapi kali ini bertopi lain (beliau adalah Tauke Esso Kamunting), Tauke Chendol An-Anshari yang aku tak pernah ketahui nama sebenarnya, Pak Mat Sangkut dengan basikal klasiknya (tak dapat tangkap gambar sebab dia kayuh laju sangat!) dan lain-lain lagi.

Hari ini di Padang Esplanade dan gelanggang takraw/bola tampar bersebelahannya penuh dengan kakitangan MPT. Biasanya hanya di waktu petang sahaja gelanggang-gelanggang berpenghuni.

Rupa-rupanya kakitangan MPT ini sedang berlatih untuk satu kejohanan antara majlis tenpatan di Seri Iskandar esok. Rata-rata yang menyapa aku kini bukan lagi sebagai pemain yang sedang berlatih. Kini mereka adalah sama ada pengurus pasukan ataupun pemerhati sahaja.

Itulah adalah penanda mereka dan diri aku ini juga sudah meningkat usia.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Posting sebelum ini di sini.

Dalam perjalanan balik ke rumah, aku singgah di Warung Basir berhadapan Tapak Pasar Malam/Pagi Kamunting. Cadangnya nak perkena Tosai dan Susu Lembu. Tosai pula sudah habis. Akhirnya aku hanya bungkus sekeping Capati dibawa pulang.

"Tak kan sekeping saja hari ini, bang?", tegur Abang Mat, "Packing Specialist" di Warung Basir itu. Aku hanya senyum melerek.

Tuesday, February 16, 2010

The Day the Earth Stood Still


The Day the Earth Stood Still

Semalam di Astro Channel 413 Star Movie menayangkan entah kali ke berapa filem The Day the Earth Stood Still. Filem fiksyen sains lakonan “The Matrix” Keenu Reeves (sebagai makluk asing, Klaatu) dan Jennifer Connelly sebagai Helen Benson, seorang astrobiologist di Princeton University.

Helen ditugaskan oleh kerajaan untuk mengkaji Klaatu. Manakala Klaatu pula datang ke dunia membawa misi memusnahkan manusia demi memelihara bumi yang akan turut musnah jika dibiarkan dihuni oleh manusia.

Sebenarnya komuniti Klaatu sendiri telah mengalami satu evolusi yang drastik akibat kegagalan mereka menguruskan persekitaran mereka.

Dalam usaha Klaatu untuk menyempurnakan misinya, dia diyakinkan oleh Helen dan Jaacob Benson (anak tiri Helen yang degil dilakonkan oleh Jaden Smith) bahawa jika manusia diberi peluang (sepertimana komuniti Klaatu semasa mengalami evolusi dahulu), manusia akan berubah.

Satu ungkapan yang amat menarik bagi saya ialah dialog antara Helen dengan Klaatu iaitu (lebih kurang); manusia akan berubah jika terdesak.

Filem ini hanyalah fiksyen ataupun hayalan. Tapi akan berubahkah manusia jika terdesak? Ataupun manusia akan mudah melupai apa yang mereka alami semasa terdesak apabila kembali sempurna?

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

*Filem ini diarahkan oleh Scott Derrickson dan diterbitkan pada tahun 2008. Filem ini diadaptasikan oleh cerita pendek fiksyen sains Harry Bates yang bertajuk Farewell to the Master (1940) dan pertama kali difilemkan pada tahun 1961 dengan tajuk yang sama iaitu The Day the Earth Stood Still.

RM 25.30 untuk sarapan sebegini?





RM 25.30 untuk sarapan sebegini?

Tahun-tahun lepas aku hanya membayar RM 17.50 harga sarapan seorang kanak-kanak (bawah 12 tahun) untuk anak jantan aku seorang itu. Itupun kadang-kadang jenuh bersoal-jawab kerana pertugas kasyier yang ragu-ragu dengan saiz badan anak jantan aku itu.

Tahun ini aku membayar harga penuh iaitu RM 23.30 untuk harga sarapan dewasa untuk tambahan anak jantan aku seorang itu.

Biasanya pagi Sabtu dan Ahad aku tidak bersarapan di hotel. Aku lebih suka bersarapan di Warung Mokcik Kelate di Pasar Bandar Baru Bangi Seksyen 1 itu. Kalau makan Nasi Dagang berlauk Ikan Tongkol dengan Timun Bendang serta Daging Bakar pun baru sekitar RM 5.00. Kenyang sampai makan malam!

Tapi kalau hari Isnin, isteri aku seorang itu dan anak jantan aku seorang itu sentiasa mendesak untuk bersarapan bersama-sama.

Pagi ini tidak seperti pagi-pagi sebelum ini, aku hanya bersarapan seperti di dalam gambar di atas. (Kononnya untuk healthy diet le!)

Tiba-tiba terasa terkilan kerana membayar RM 25.30 untuk makanan seperti gambar di atas.

Sayangkan duit atau sayangkan badan!

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com

Tempat lepak di KL






Tempat lepak di KL

Kalau di KL inilah tempat lepak kami tiga beranak, aku, isteri aku seorang itu dan anak jantan seorang itu.

Di Borders, The Curve ini kami boleh lepak berjam-jam lamanya. Dulunya kami akan bersila sahaja di lantai membaca majalah-majalah yang ada. Kunjungan kali ini sudah ada papan tanda yang tidak membenarkan pelanggan duduk di lantai sambil membaca majalah.

Pertama kali juga hari ini kami membeli secawan kopi berharga RM 9.50 dengan cukai 5 % (48 sen) dan jumlahnya yang dibulatkan menjadi RM 10.00.

Seperti biasa juga, kami melepak hampir tiga jam di sini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspoy.com/

Monday, February 15, 2010

Perjalanan tidak kesampaian

Peta dari internet

Perjalanan tidak kesampaian

Selepas bersarapan lewat di hotel semalam, aku, isteri aku seorang itu dan anak jantan aku seorang itu menuju Tol Sungai Besi. Di sini kenderaan tidak begitu banyak. Malangnya apabila menghampiri susur keluar Nilai, kenderaan sudah mula tidak bergerak.

Ingatkan perjalanan pada Hari Raya China Pertama tentulah tidak sesesak perjalanan sehari dua sebelum Hari Raya China.

Kesesakan di lebuhraya ini hanya berakhir selepas susur keluar Senawang.

Kami memasuki susur keluar Air Keroh tetapi terperangkap di jalan raya sebaik sahaja selepas membayar tol. Kehadiran polis trafik juga tidak banyak dapat membantu. Terlalu banyak kenderaan yang memasuki Bandar Melaka. Di laluan-laluan pintu masuk ke Zoo Melaka, Taman Buaya, Botanical Garden dan beberapa tempat lain sudah tercegat anggota traffik memberi isyarat melarang masuk dan mengarahkan meneruskan perjalanan. Hampir kesemua tempat-tempat lawatan ini penuh sesak!

Kami sampai ke rumah kakak aku di Taman Seri Teluk Mas di Umbai jam 2 petang! Mengambil masa 4 jam dalam perjalanan dari KL dengan waktu bertolak jam 10 pagi.

Melihatkan kesesakan kenderaan menuju ke Pusat Bandar dan Banda Hilir, aku mengambil jalan lama ke Jasin dan menghala ke Muar. Entah di mana silapnya aku termasuk ke Lebuh AMJ ke Muar. Mujurlah ternampak laluan U-Turn menghala ke Teluk Mas melalui Kampung Bukit Meta.

Semasa merangkak-rangkak dalam perjalanan, aku sudah membayangkan kepada isteri aku seorang itu untuk mencuba Asam Pedas versi Melaka. Kalau boleh nak perkena Asam Pedas Ikan Pari!

Walaupun aku tidak suka makan Ikan Pari yang dimasak selain dari dibakar, keinginan untuk makan Asam Pedas Ikan Pari itu tiba-tiba menjelma dalam fikiran aku. Sementelah beberapa tahun lalu semasa terlibat beberapa siri penganjuran Cub Prix di Melaka, sering juga dibawa kenalan untuk makan Asam Pedas selain Ikan Bakar yang terkenal di Umbai dan Serkam (ujud sebelum Umbai) itu.

Antara tempat Asam Pedas yang sering diperkatakan ialah deretan kedai sebelah Pasar Borong Batu Berendam, Kedai Hajah Mona dan Kedai Asam Pedas Claypot di Jalan Kota Laksamana, kedai apa nama dekat Bukit China, bersebelahan dengan Perigi Hang Li Poh, Kedai Pak Tunggal tepi jalan Teluk Mas dan banyak lagi.

Bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang. Kakak aku rupanya sudah siap terhidang di atas meja makan Asam Pedas Ikan Pari! Tetapi lebih kepada Asam Pedas versi Perak. Bagaimanapun makan bertambah-tambah kami!

Setelah bermalas-malasan dan anak jantan aku seorang itu bertempur beberapa round di alam PS2 dengan sepupu-sepupunya itu, kami keluar rumah jam 4 petang.

Berbekalkan Pisang Goreng Pisang Raja dan Tempe Goreng yang dibeli di Medan Selera Taman Seri Teluk Mas itu kami menuju ke Banda Hilir.

Mulanya aku menyangkakan Ubi Keledek Goreng. Rupa-rupanya Pisang Raja yang dihiris menyerupai kepingan Ubi Keledek.

Seperti biasa, perjalanan pulang akan dicari agar tidak melalui perjalanan ,mendatang. Kami bercadang untuk pulang ke KL melalui Masjid Tanah, PD dan Bagan Lalang.

Semasa melalui Kelebang berhampiran Stesen Minyak Caltex, aku terpandang deretan kereta di susur jalan. Menyangkakan ada kenduri ataupun rumah terbuka, aku memperlahankan kenderaan. Rupa-rupanya mereka semua itu adalah pelanggan sebuah warung yang di hadapannya berlonggokan timbunan buah Kelapa Muda. Beratur orang di dalamnya sampai ke pinggir jalan! Tidak pula diketahui apakan menu geranan warung yang tidak bernama ini. Apa yang pasti kunjungan akan datang, warung ini akan dirisik.

Sekali lagi ketika menghampiri Masjid Tanah, selepas sahaja sebuah selekoh kelihatan deretan kereta di pinggir jalan di kawasan Pokok Kelapa Sawit. Di bawah-bawah teduhan daun-daun Kelapa Sawit ini terbina bebarapa warung dengan pelanggan-pelanggannya sedang menjamu selera. Terdapat sebuah papan tanda tertulis Warung D’Sawit. Ini juga salah satu tempat yang akan kami singgah di kunjungan akan datang. Keadaannya juga saling tak tumpah dengan
Warung Kelapa sawit di Juru.

Kami menuju ke Pengkalan Balak. Cuba mencari Warung Yong Tau Fo yang diceritakan oleh blogger Explorer. Malangnya jalan ke Pantai Pengkalan Balak ini sesak teruk dengan kenderaan yang bertali-arus. Kami meneruskan perjalanan ke Kuala Linggi.

(Bila sampai di hotel malamnya baru perasan Gerai Mesra Ria Yong Tau Fu ini di Medan Selera Puteri , Pantai Puteri , Tanjung Kling bukannya di Pengkalan Balak. Macamana pula boleh terbayangkan Pengkalan Balak!)

Kami sampai di Bt 4 PD jam 6.30 petang. Ada hajat untuk singgah Pasar Malam Ahad malam Isnin yang terkenal di situ tapi tempat kereta hampir langsung tidak kelihatan menyebabkan kami meneruskan perjalanan.

Cadangnya hendak makan malam di Seaview Seafood Village berdekatan Stesen Janakuasa TNB selepas Pekan PD. Tutup pula hari ini.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Bukit Pelanduk dan seterusnya ke Bagan Lalang. Tiba di Bagan Lalang sekitar jam 8 malam. Tiba-tiba teringatkan Warung Ikan Bakar yang banyak di tepi pantai Bagan Lalang dan Sungai Pelek ini.

Entah mengapa, mungkin kerana kegelapan malam, kami tidak berjumpa langsung kelibat papan-papan tanda warung-warung ikan bakar ini. (Balik hotel baru perasan, tempatnya di Sungai Pelek hanya beberapa km lagi sahaja patut dituju!)

Isteri terus mencadangkan agar kami ke Down Town di KLIA di mana pekan kecil ini menjadi tumpuan kepada pekerja-pekerja penerbangan menjamu selera.

Aku silap arah menuju ke LCCT, sepatutnya menuju ke KLIA! Terus sahaja kami membatalkan hasrat ke Down Town. Aku mencadangkan untuk ke Warung Roti Canai Valentine di Jalan Semarak, KL.

(Ini bukan sempena Hari Valentine! Warung Mamak bersetentangan Bangunan Celcom Jalan Semarak ini memang terkenal dengan Roti Canai Garing dan Ranggup. Maggi Goreng dan Nasi Lemak Ceduknya juga mengancam!)

Kami menggunakan Lebuhraya MEX dari Putrajaya ke KL untuk keluar Jalan Tun Razak. Setibanya di persimpangan Jalan Semarak, Kampung Baru sudah kelihatan Warung Roti Canai Valentine ini yang gelap gelita. Mungkin peniaganya juga menyambut Valentine!

Kami berpatah balik ke Quality Hotel dan singgah ke Restoran Lotus Jalan TAR perkena Maggi Goreng, Ketiaw Goreng, Set Roti Nan dengan Ayam Tandori, Teh Tarik, Teh O Ais dan Susu Lembu.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Saturday, February 13, 2010

Sup Urat Chow Kit


Sup Urat Chow Kit

Mungkin kerana kekenyangan Nasi Kerabu dengan Gulai Ikan Tongkol dan Timun Bendang serta Daging Bakar pagi tadi, aku tidak makan tengahari. Bila dalam perjalanan pulang petang tadi dari Bangi ke Hotel Kualiti KL, tiba-tiba aku teringatkan Sup Urat Chow Kit yang telah lama tidak dinikmati. Bila teringatkan Sup Urat, terkenang pula Sate Urat di Brunei.

Lalu lintas di Chow Kit agak lenggang. Mudah saja untuk parking kereta dan membeli sebungkus Sup Urat, sebungkus Sup Ayam Kampung dan sebungkus Sup Kambing.

“Ini Lidah Kambing tak mahu ka abang?” tanya penjual Sup. Aku tersenyum kambing saja!

Bila sampai hotel baru teringat perjalanan kali ini kami sengaja tak bawa pinggan mangkuk seperti biasa kerana esok kami bercadang untuk ke Melaka dan kemungkinan besar keesokan harinya pula menyambung perjalanan ke destinasi yang belum diputuskan.

Aku telefon “Room Service”. Bukan nak order makanan tapi minta dua mangkuk dan dua pinggan kosong!

Menghadaplah kami tiga beranak, aku, isteri aku seorang itu dan anak jantan aku seorang itu dengan Sup Urat, Sup Ayam Kampung dan Sup Kambing dicecah dengan sebuku roti “whole meal”.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Cerita dulu klik di sini.
















Gulai Ikan Tongkol dengan Timun Bendang


Gulai Ikan Tongkol dengan Timun Bendang

Semenjak tahun 2003 semasa aku bergelar pelajar hujung minggu di Bangi ini, Gerai Mokcik Kelate ini adalah favourite kami (bersama pelajar lain) untuk bersarapan.

Gerai bersetentang Pasar Bandar Baru Bangi Seksyen 1 mesti ada Gulai Ikan Tongkol dengan Timun Bendang. Menariknya lagi pada setiap hari ada dua jenis menu berisikan Ikan Tongkol dan Timun Bendang ini iaitu Lemak Kuning dan Gulai Merah.

Biasanya aku menjamu selera dengan Nasi Dagang bersama Gulai Ikan Tongkol dengan Timun Bendang ini dan Daging Bakar. Kunjungan hari ini pada jam 9.30 pagi, Nasi Dagangnya telah kehabisan. Daging Bakar masih ada untuk sekali makan. Biasanya Daging Bakar yang habis awal. Aku memilih Nasi Kerabu untuk sarapan pagi ini.

Mulanya tergerak hati juga hendak mencicip Pulut Tanak dengan Kelaput Parut dan Ikan Rebus Goreng Garing. Tetapi menu ini kurang ngam kalau disiram dengan kuah Gulai Ikan Tongkol dengan Timun Bendang. Tak mengapalah lain kali ada rezeki boleh merasa Pulut dengan Kelaput Parut dan Ikan Rebus Goreng Garing.

Terdapat juga beberapa makanan tradisional Kelantan di sini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/












Taiping Lake Garden 3


Taiping Lake Garden 3

Di sepanjang jalan semasa langkah-langkah kaki tanpa diatur.

Posting sebelum ini.

lukmanw@gmail.com
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/